Tuesday, January 26, 2010

Faizal bersemangat jayakan Satu Suara



Walaupun keadaan kakinya yang masih belum pulih, Faizal Tahir masih bersemangat untuk terus aktif dalam bidang nyanyian. Dunia nyanyian yang sudah sebati dengan dirinya membuatkan penyanyi yang popular dengan lagu Bencinta ini serius menerima lamaran Datuk Siti Nurhaliza untuk sama-sama menjayakan Konsert Satu Suara.

Konsert yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada Februari depan ini menyaksikan kehebatan tiga penyanyi terbaik masa kini iaitu Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Aizat.

Bagi Faizal Tahir, menerima pelawaan untuk menjayakan konsert Satu Suara merupakan saat yang telah dinantikan sekian lama.

“Saya sudah terlalu lama mengidam untuk mengadakan konsert. Buat masa ini, saya masih lagi dalam proses untuk sembuh dan mengambil ubat untuk mencairkan darah. Menurut kata doktor, saya memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan lagi untuk sembuh sepenuhnya,” katanya pada sidang media Konsert Satu Suara baru-baru ini.

Katanya lagi, untuk konsert itu dan demi peminat yang datang menonton, dia akan pastikan kesihatan dan vokalnya dalam keadaan baik.

“Saya tidak kisah sekiranya pada hari itu nanti, saya terpaksa bertongkat atau duduk. Apa yang penting, saya dapat menyanyi dengan baik tanpa menghampakan pihak penganjur dan peminat,” jelasnya lagi.

Namun, Faizal tidak menolak kemungkinan akan menarik diri sekiranya tahap kesihatannya tidak memuaskan daripada akan menghampakan banyak pihak.

“Kalau masa AJL dulu, saya buat keputusan sendiri, tapi kali ini saya perlu mendengar dan mendapatkan nasihat daripada doktor. Dalam konsert itu nanti, saya bukan nyanyi satu lagu, tapi banyak. Jadi, kalau keadaan kaki saya ini boleh mengancam nyawa, saya berharap pihak penganjur akan faham,” kata Faizal yang berharap segala-galanya berjalan seperti yang dirancang.

Katanya, peluang yang datang ini tidak mungkin ada lagi. Oleh itu katanya, waktu ini dia perlu lebih efektif dalam menjaga kesihatannya.

“Inilah merupakan peluang terbaik saya. Konsert ini juga adalah medan permulaan yang bagus bagi artis baru seperti saya untuk menimba pengalaman di dalam industri ini,” katanya.

Dalam konsert itu nanti, Faizal akan mendendangkan 10 hingga 15 lagu termasuk beberapa buah lagu duet bersama Aizat.

Konsert hasil usaha sama Yayasan Aeon Malaysia dan Siti Nurhaliza Produtions (SNP) yang bakal dipersembahkan di Panggung Sari, Istana Budaya selama tiga hari berturut-turut bermula 12 hingga 14 Februari akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: