Wednesday, January 27, 2010

Solekan terapi minda bagi wanita


ZURIDAH Md. Hassim


SEMUA wanita dilahirkan cantik. Namun bagi menambah nilai pada kecantikan asli itu, pelbagai cara dilakukan sama ada melalui solekan, pembedahan atau suntikan.

Cara yang paling murah adalah melalui solekan. Namun bukan semua pandai bersolek cara yang betul.

Banyak wanita bersolek mengikut pandai-pandai sendiri dan hasilnya tidak memuaskan. Sebenarnya, jika kena dengan teknik solekan wanita akan tampil anggun dan bergaya.

Sehubungan itu, seseorang wanita harus mengetahui teknik bagaimana hendak mengaplikasikan sesuatu alat solek ke muka.

Ia agak mudah, dapatkan nasihat pakar solekan yang boleh membantu anda. Kini banyak kelas-kelas solekan yang memberi pendedahan kepada teknik solekan diri, andaman atau jurusolek artis profesional.

Menurut pemilik CantikDotCom, Zuridah Md. Hassim, 33, bersolek merupakan terapi minda pada wanita.

''Apabila cantik, diri akan ceria dan sekali gus mempengaruhi aktiviti seharian kita. Begitu juga jika sedih, untuk menghilangkan kemuraman itu, dicadangkan supaya wanita itu mencantikkan diri dan bersolek.

"Insya-Allah, kesedihan itu akan hilang sedikit demi sedikit malah ia sebagai pemangkin kepada keyakinan diri.

''Sebab itulah orang kata, solekan itu adalah senjata kuat dalam memberi semangat untuk hidup. Walaupun hanya mengoles nipis gincu bibir, kecantikan pasti akan terserlah. Belum lagi dengan solekan mata, pipi dan sebagainya,'' katanya yang telah berguru dengan dua jurusolek artis profesional iaitu Breakers Lim dari Mac dan Amu (Amu Bridal Centre).

Ujar wanita yang masih bujang ini, memang ramai wanita di luar sana ingin mempelajari solekan yang betul tetapi mungkin kerana kekangan tempat dan guru yang sesuai.

Justeru itulah yang membuka hatinya untuk membuka CantikDotCom, iaitu agensi yang mengendalikan kursus solekan bagi membantu golongan wanita yang ingin belajar tata rias yang betul.

''Dalam kelas saya, pelajar akan didedahkan bagaimana untuk menghias wajah. Antara teknik- teknik solekan yang diajar teknik solekan personal, teknik solekan ke pejabat, waktu senggang dan jamuan makan malam.

''Bagi yang ingin mendalami ilmu solekan dan bercita-cita menjadi jurusolek artis, bolehlah mengambil kursus lanjutan yang turut diadakan di CantikDotCom,'' kata yang telah melahirkan lebih 30 jurusolek artis dan 55 pelajar solekan.

Tambah Zuridah yang lebih dikenali sebagai Zue, elemen solekan sebenarnya banyak dan bergantung kepada majlis yang dihadiri.

"Sekiranya kita tidak dapat membezakan, itulah menyebabkan solekan kita tidak bersesuaian dengan tema majlis dan sebagainya

''Justeru itu, melalui CantikDotCom, kami mengadakan bengkel solekan meliputi penekanan teknik kebersihan muka dengan betul, teknik mencari soket mata, teknik solekan pembayang mata, pembentukan kening, garis mata, penggunaan maskara, pemerah mata dan gincu bibir,'' katanya yang juga perunding kecantikan Mary Kay.

Zue yang turut menjadi pengajar jemputan kepada Kolej Komuniti Paya Besar, Pahang dan Jempol (Negeri Sembilan) memberitahu, untuk menjadi seorang jurusolek artis, seseorang itu harus melepasi empat tahap.

Tahap pertama menyolek diri sendiri mengikut kesesuaian majlis, tahap kedua (teknik shading dan solekan corrective), ketiga (menyolek orang lain) dan tahap keempat (mendalami solekan artistik).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: