Wednesday, January 27, 2010

Du Lala cetus fenomena di China


Du Lala yang kisah kejayaannya kini menjadi inspirasi wanita muda China. - AFP


DI MATA dunia wanita yang menggalas nama Du Lala ini mungkin bukan siapa-siapa. Dia bukan aktivis mana-mana pertubuhan kemanusiaan, jauh sekali dikenali sebagai selebriti.

Namun pada usia baru mencecah 30 tahun dia dianggap ikon bagi sekelompok wanita moden China.

Segala-galanya bermula selepas Du Lala diangkat sebagai 'heroin' dalam sebuah novel yang yang berjaya memecah rekod di China.

Wanita yang bersifat lembut tetapi tegas ini 'membuka mata' golongan wanita negara itu berikutan kejayaannya memecah 'siling kaca' dalam dunia korporat yang selama ini dikuasai oleh kaum lelaki.

Novel tersebut turut menjadi buku panduan tidak rasmi bagi wanita-wanita berkerjaya yang bercita-cita besar di China, yang kini merupakan negara pemegang kuasa ekonomi ketiga terbesar di dunia.

Novel The Story of Du Lala's Promotion (Cerita tentang Kenaikan Pangkat Du Lala) mencapai kejayaan luar biasa sehinggakan penulisnya - yang suatu ketika dulu juga merupakan wanita profesional seperti Du Lala - segera menampilkan novel kedua "Du Lala 2: Splendid Days", yang turut mendapat sambutan menggalakkan.

Penulis menggunakan nama samaran, Li Ke, bagi mengekalkan sedikit privasinya di tengah-tengah kehangatan terhadap penerimaan novel tersebut.

"Sedikit ketenangan mungkin lebih baik daripada menjadi individu selebriti yang dikenali setiap hari. Ramai individu yang melakukan perkara-perkara luar biasa sebenarnya lebih suka mencari ketenangan daripada kemashyuran," kata penulis.

Li Kei menyifatkan heroin dalam novelnya sebagai manusia biasa lain, mungkin lebih cantik daripada sesetengah orang tetapi tidak lebih daripada itu,

Baru menamatkan pengajian di universiti, pengalaman pertama Du Lala ketika memasuki sektor pekerjaan bertukar pahit - apabila beliau menjadi mangsa gangguan seksual bosnya sendiri.

Dia kemudian mendapat pekerjaan di DB, sebuah syarikat multinasional yang nama dalam novel fiksyen tersebut ialah Fortune 500.

Dalam novel pertama itu Du Lala digambarkan seorang wanita biasa yang serba ringkas yang mendaki kejayaan dari bawah sebagai pembantu jualan dan akhirnya berjaya menyandang jawatan pengarah sumber manusia.

Dalam tempoh itu pelbagai cabaran dan halangan ditempuhi termasuk rasa cemburu dan iri hati daripada rakan-rakan sekerja serta bergelut dengan politik pejabat.

Kini, golongan wanita muda di China mereka menggunakan novel tersebut sebagai panduan untuk memperbaiki dan meningkatkan kerjaya mereka sendiri.

"Ia memberi panduan dan idea kepada saya. Saya belajar banyak perkara dalam novel ini termasuk bagaimana berkomunikasi, kelangsungan hidup di pejabat, minta kenaikan gaji dan mengenai skandal cinta di dalam pejabat yang dianggap tabu.

"Saya tidak lagi berasa keseorangan. Terdapat beribu-ribu Du Lala yang cuba untuk berjuang sendiri dan mendapatkan kehidupan yang lebih baik, seperti saya," kata seorang peminat, Yan Nan, 28.

Menurut Yan yang bekerja di sebuah syarikat asing di Beijing, novel tersebut cukup praktikal untuk golongan wanita muda.

Yan berkata, dia menyukai Du Lala kerana wanita itu mewakili kumpulan pekerja kolar putih yang berjuang dalam dunia pekerjaan.

"Dalam banyak perkara saya suka Du Lala walaupun saya tidak bekerja dengan sebuah syarikat besar multinasional.

"Saya mengagumi Du Lala kerana dia bijak dan kuat bekerja. Apa yang dia dapat dan perolehi bukan hasil daripada dia mengambil kesempatan ke atas guangxi (kroni), sebagaimana selalu berlaku di China," katanya.

Faktor kejayaan novel tersebut cukup mudah untuk dijelaskan - melalui watak heroin pembaca menyukai pejuangannya untuk berdikari dan bebas daripada bergantung kepada orang lain termasuk dari segi kehidupan peribadi.

"Ini amat berlawanan dengan kebanyakan wanita muda China yang lebih cenderung untuk mencari lelaki kaya untuk dikahwini.

"Sebaliknya Du Lala berkerja keras dan bergantung kepada keupayaannya sendiri untuk memastikan kejayaan masa depannya. Itu yang saya suka padanya," kata seorang lagi pembaca, Rui Menggui, 28.

Rui berkata Du Lala menampilkan imej seorang wanita muda moden yang jujur, tabah dan berpengetahuan.

Sementara itu, novel tulisan Li Ke ini sudah diadaptasi ke teater dan siri televisyen yang dijangka siap tahun ini.

Li Ke kini juga berada di tempat ke sembilan dalam senarai penerima bayaran termahal di China pada 2009 dengan pendapatan 3.5 juta yuan (RM1.75 juta).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: