SEBAIK sahaja tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), M.D Idris Abd. Rahman, 41, tidak membuang waktu lapangnya begitu saja.
Pada usia 17 tahun, Idris sudah tahu mencari sumber rezekinya sendiri. Matlamatnya ialah dia mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin.
"Saya tidak belajar tinggi, tamat sahaja SPM, saya terus bekerja sebagai tukang cuci pinggan di KL Hilton selama dua tahun," akuinya tanpa rasa malu. Peluang yang diperolehnya dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Bagaimanapun, Idris terpaksa meninggalkan kerjayanya itu kerana mahu membantu keluarganya yang juga terlibat dalam bisnes katering. Lebih sedekad menimba pengalaman dalam bisnes itu, Idris mendapat tawaran bekerja di Kelab Sunway, di Petaling Jaya. Tetapi bukan sebagai pencuci pinggan.
Sebaliknya, Idris diberi kepercayaan di bahagian dapur. Setiap hari, dia perlu memasak makanan segera sahaja.
Semasa bekerja di Kelab Sunway, Idris sedar bahawa dia mempunyai bakat dalam bidang masakan. Pada suatu hari, tanpa disengajakan Idris mengambil alih tugas tukang masak. "Memang masa itu pesanan makanan ada tetapi chef pula tidak ada, jadi saya tanpa berfikir panjang terus mencapai peralatan memasak.
"Saya memang ingat ketika itu saya masak spageti. Semua kawan tengok, rupa-rupanya salah seorang chef eksekutif sedang memerhatikan saya masak di belakang," ujarnya.
Bermula dari detik itu, Idris ditawarkan jawatan chef dan bakatnya dalam masakan semakin menyinar sehingga dia berdikari memulakan perniagaan sendiri.
Penat berbayar
Penat lelah Idris berbayar apabila dia berjaya menubuhkan Dr. Grill Catering yang diusahakan sejak sedekad lalu. Lebih membanggakan Idris, bisnesnya itu bukan saja dikenali di sekitar Kuala Lumpur, bahkan hingga ke Sabah dan Sarawak.
Apakah yang membuatkan perniagaan kateringnya dikenali? Kambing panggang merupakan antara menu istimewa katering Idris. "Saya memilih menu itu kerana selain ia agak sukar diperoleh, biasanya kambing panggang hanya boleh didapati di hotel-hotel. "Bukan semua orang mampu untuk makan atau menganjurkan majlis-majlis di hotel. Sebab itulah saya mengambil inisiatif ini untuk memberi pilihan kepada orang ramai terutama mereka yang menggemari kambing," ujar bapa kepada tiga anak itu.
|
|
"Saya tidak boleh membalutnya sesuka hati sahaja," seloroh Idris. Penggunaan pembalut aluminium turut dititikberatkan bagi memudahkan proses pembungkusan kambing dan langkah seterusnya. Rempah ratus yang telah dimasak akan disapu di seluruh kambing. Apakah bahan-bahan rempah ratus yang digunakan? "Untuk rencah kambing panggang, kami menggunakan serbuk kuzi, kari, kunyit, beriani, bawang, serai dan halia yang dikisar," jelasnya yang turut menabur serbuk lada hitam sebelum kambing dipanggang bagi menghilangkan bau hamis.
"Kalau ditanya kuantiti sukatan yang diperlukan untuk bahan tersebut memang saya tidak boleh jawab. Ini kerana saya lebih suka memasukkan bahan masakan mengikut air tangan. "Sebab bagi saya memasak ni lagi sedap kalau kita campak semua bahan yang sesuai. Sebelum ramuan tersebut digaul, kambing perlu dicucuk-cucuk dagingnya dengan pisau supaya ramuan rempah ratus meresap ke dalam daging," katanya.
Idris yang dilihat cukup cekap dalam melakukan proses itu, sempat berkongsi ilmu mengenai tempoh memerap kambing yang ingin dipanggang. Dalam nada bersahaja, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu mengatakan, dia tidak pernah mempercayai dengan teori lebih lama kambing diperap maka rasanya lebih enak.
Ini kerana mengikut pengalaman Idris petua tersebut sebenarnya tidak begitu tepat. Keenakan sesuatu makanan terletak kepada perencah yang digunakan bukannya tempoh masa. Selesai membungkus kambing dengan teliti kambing itu diikat dengan dawai. Teknik ikatannya bebas tetapi yang harus diutamakan ialah bermula dari kaki. Dawai itu berfungsi untuk memudahkan proses mengangkat dan memasukkan kambing ke dalam tong pembakar.
Masa yang diperuntukkan untuk memanggang kambing pada peringkat awal ialah satu jam. Cara memanggangnya juga mudah letakkan di dalam tong pembakar secara mengereng.
"Tempoh 30 minit diperlukan untuk membakar bagi satu bahagian, cukup sahaja masa ia pelu diterbalikkan dan angkat selepas 30 minit kemudian. Bahagian atas tong pembakar itu pula perlu ditutup dengan kertas pembalut aluminium," tuturnya.
Apa yang menariknya mengenai kambing panggang Dr. Grill ialah ia tidak memerlukan tempoh masa yang lama untuk dimasak selama enam jam. Adakah masa yang sesingkat itu mampu melembutkan daging kambing? "Belum tentu lebih lama kambing dipanggang, daging akan lebih lembut. Mengapa ia lembut? Sebabnya, saya memilih kambing biri-biri dari Australia dan New Zealand sahaja.
Tepat satu jam, dawai dan pembalut aluminium ditanggalkan. Ini bermakna kambing yang dipanggang 70 peratus siap dimasak. Sementara itu, sebelum ia digantung untuk proses memanggang, Idris meletakkan ramuan terakhir. "Jangan lupa untuk letakkan minyak kelapa juga kerana ia akan mengekalkan rasa asli kambing itu. Pada masa yang sama, daging itu tidak akan terlampau kering," jelas Idris yang banyak dibantu isterinya, Asrah Ramsi.
Sekitar 30 minit, kambing yang siap dipanggang akan dipotong dan dihiasi dengan brown sauce, bawang besar dan lada benggala.
INFO
- Arang perlu disusun lebih banyak diletakkan di bahagian depan dan belakang berbanding tengah. Ini kerana bahagian tengan merupakan tulang rusuk kambing dan ia akan mudah terbakar.
- Untuk mengetahui sama ada kambing itu masak sepenuhnya, gunakan pisau lalu cucuk pada bahagian daging kambing. Kemudian letakkan pisau itu pada lengan untuk mengetahui sama ada panas atau tidak.
- Mereka yang ingin mengusahakan kambing panggang mestilah mampu bertahan untuk berdepan dengan api.
- Pengambilan air berkarbonat amat sesuai ketika menikmati kambing panggang untuk menghilangkan rasa muak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: