Saturday, January 16, 2010

Meneroka Gua Niah


GUA-GUA di Taman Negara Niah pernah didiami oleh manusia zaman batu lebih 40,000 tahun lalu.

SEJAK perkhidmatan penerbangan AirAsia dari Singapura ke Miri, Sarawak diperkenalkan September lalu, bekas bandar minyak di bumi Kenyalang itu mula mendapat perhatian pelancong dari kota Singa.

Sebelum ini, pelawat dari pulau Temasek biasanya akan ke negeri-negeri di Semenanjung seperti Johor, Melaka, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur untuk bercuti atau menikmati keindahan alam semula jadi.

Walaupun Sarawak hanya dipisahkan oleh Laut China Selatan atau sejam penerbangan dari Changi ke Kuching, bumi Kenyalang itu belum begitu dikenali dalam kalangan warga Singapura.

Sebelum AirAsia memperkenalkan laluannya ke Miri, memang terdapat penerbangan dari Singapura ke Kuching melalui penerbangan syarikat lain tetapi ia tidak menawarkan tambang murah dan jadual penerbangan yang kerap.

Sebagai sebuah negeri yang besar, kurang kemudahan pengangkutan dan penginapan, para pelancong dari Singapura hanya berpeluang berkunjung ke Kuching dan kawasan berhampiran seperti Santubong, Bau, Kota Samarahan, Lundu, Serian dan Tebedu.

Tentunya lawatan mereka terhad di sekitar Kampung Budaya Sarawak di Santubong, Taman Hidupan Liar Matang dan Semenggoh, Taman negara Bako dan Batang Ai serta Tanah Tinggi Borneo, Tasik Biru, dan rumah panjang Iban dan Bidayuh yang berdekatan.


GUA Besar dan rumah peninggalan kurator Muzium Sarawak Tom Harrison yang diteroka sejak 1957.

Pelancong yang hanya bertumpu di Kuching mungkin tidak dapat menikmati tarikan sebenar Sarawak yang cukup terkenal dengan hutan rimba, bukit-bukau, gunung-ganang dan sungai-sungai yang menjadi nadi pengangkutan negeri itu.

Sehubungan itu, Lembaga Pelancongan Sarawak (LPS) mengambil langkah proaktif menerusi pelbagai pameran pelancongan di Singapura anjuran National Association of Travel Agents Singapore dan Pelancongan Malaysia.

Letitia Samuel dari LPS berkata, Miri menawarkan pelbagai tarikan unik dan semula jadi yang masih belum dikenali. Antaranya Gua Niah dan hutan belantara Borneo yang terletak di pinggir bandar raya

Jika sebelum ini ramai pelancong yang terlepas peluang mengunjungi Taman Negara Niah kerana laluan penerbangan, bagi mengatasi masalah itu Miri kini dijadikan transit menukar pesawat.

Bagi menggalakkan lebih ramai pelancong berpeluang mengunjungi Taman Negara Niah, lapangan terbang Miri kini menjadi transit untuk menukar pesawat ke destinasi tersebut.

Gua-gua di Taman Negara Niah pernah didiami oleh manusia zaman batu lebih 40,000 tahun lalu.

Gua-gua itu mula diteroka pada 1957 oleh kurator Muzium Sarawak yang dikenali sebagai Tom Harrison. Harrison mengendalikan ekspedisi arkeologi untuk mengkaji peninggalan sejarah manusia zaman itu.

Di kawasan gua itulah artifak zaman batu dan rangka manusia moden tertua di Asia Tenggara ditemui. Penemuan itu menandakan wujudnya satu peradaban manusia dan menjadikan taman itu sebagai satu pusat arkeologi terpenting di dunia.

Burung walit


Chalet atas air yang terdapat di Borneo Tropical Rainforest Resort.

Terdapat tiga gua utama di Taman Negara Niah iaitu Gua Pedagang, Gua Besar dan Gua Lukisan.

Gua Pedagang mengambil sempena kawasan gua itu yang dijadikan oleh pedagang tempatan untuk berjual-beli sarang burung walit yang dipungut di sekitar gua-gua yang terdapat di Taman Negara Niah.

Pelawat yang ke gua itu masih dapat melihat bekas tapak atau rangka seperti tiang pondok dan kedai tempat pemungut dan penjual sarang burung walit yang dibina lebih lima dekad lalu.

Walaupun kegiatan memungut sarang burung walit tidak serancak seperti pada tahun 50-an hingga lewat 70-an, pelawat yang masuk ke gua itu pada hari ini dapat melihat kegiatan memungut sarang burung walit oleh pemungut-pemungut tempatan.

Lebih mengagumkan ialah pelancong dapat melihat bagaimana pemungut-pemungut itu dengan lampu suluh yang diikat di kepala. Mereka akan memanjat tiang-tiang kayu atau buluh yang disambung dan digantung di siling gua yang tingginya menyamai tujuh atau lapan tingkat bangunan untuk mencari sarang burung walit.

Pemungut-pemungut itu sanggup bertarung nyawa seperti Spiderman kerana nilai harga sarang burung walit yang belum diproses itu mencecah sekitar RM3,000 hingga RM7,500 sekilogram.

Selain tarikan Gua Pedagang, pelancong juga berpeluang melawat Gua lukisan. Terdapat lebih 100 lakaran atau lukisan neolitik dari zaman batu di beberapa bahagian dinding Gua Lukisan.

Lukisan itu terdapat dalam pelbagai saiz dan ukuran serta mempunyai rupa bentuk manusia, perahu, dan lakaran abstrak dan geometri. Ia dipercayai dilukis dengan menggunakan pewarna merah yang diperoleh daripada tumbuhan.

Sementara itu, di Gua Besar terdapat pembentukan lapisan batu-batan gua seperti stalagmit dan stalaktit serta kesan kerja-kerja arkeologi.


POKOK periuk kera antara flora yang paling banyak ditemui di kawasan tanah lembab sekitar Tasik Loagan Bunut, di Miri.

Selain gua, Miri juga menawarkan peluang kepada pelancong yang mahu mendekati diri mereka dengan alam semula jadi seperti kehijauan hutan belantara, melihat binatang liar, memetik buah-buahan dan mandi-manda di air terjun yang jernih dan sejuk airnya.

Seorang pengusaha hotel, Henry Law Ing Hua, 59, membina sebuah pusat peranginan dinamakan Borneo Tropical Rainforest Resort bersebelahan dengan Taman Negara Bukit Lambir.

Terletak 36 kilometer (km) dari Miri atau 30 minit memandu dari Lapangan terbang Miri, pusat peranginan seluas lebih 300 hektar itu dilengkapi 50 bilik tidur dan calet, serta hostel untuk mereka yang datang secara berkumpulan.

Pusat peranginan itu dibuka secara berperingkat sejak 1 Jun 2007 menyediakan pelbagai aktiviti seperti meredah hutan, menaiki bot menyelusuri sungai, melihat ternakan peliharaan dan berjalan di dalam hutan pada waktu malam.

Pusat itu juga dilengkapi kemudahan untuk berkhemah di hutan, memanjat dinding, memancing ikan di dalam kolam dan beriadah seperti bermain badminton, bola keranjang dan futsal.

Terdapat juga dusun buah-buahan seperti buah nangka, cempedak, rambutan, longan dan nanas. Selain itu terdapat mempelam, sukun, durian, jambu, laici dan sebagainya.

Ing Hua yang merupakan pengarah urusan pusat penginapan itu berkata, beliau merancang untuk membuka safari.

Dengan kemudahan yang terdapat Miri, para pelancong dari Singapura yang ingin mengharungi kehidupan alam semula jadi, tidak perlu lagi pergi jauh untuk menikmati peluang itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment