Saturday, January 16, 2010

Sentuhan pereka Perancis


SOPHIE THEALLET

Sebuah meja dapur kayu usang di apartmen Sophie Theallet di Brooklyn, Amerika Syarikat (AS) bagai menjadi saksi rekaan pakaiannya yang mewah. Sentuhan rekaan Theallet bukan calang-calang, apatah lagi ia digayakan wanita seperti Michelle Obama.

Siapa sangka, apartmen yang cukup sederhana di kota New York itu ialah lokasi penghasilan rekaan-rekaan berkelas tinggi yang diusahakan Thealllet, wanita kelahiran Perancis.

Pada awal tahun ini, dua helai rekaan pakaiannya telah digayakan oleh Michelle, Wanita Pertama AS itu. Pada bulan lalu, Theallet juga telah dipilih sebagai pemenang tahunan anugerah Majlis Pereka-Pereka Fesyen AS.

Dengan anugerah berprestij tinggi berupa wang kemenangan AS$200,000 (RM668,000) itu, Theallet dapat membayar balik hutang lamanya. Katanya, apa yang lebih penting ialah kemenangan itu membuka ruang kepada pinjaman-pinjaman kewangan akan datang.

Kejayaan itu memberikannya pengiktirafan yang cukup besar. Pengarang paling berpengaruh majalah Vogue, Anna Wintour adalah salah seorang juri yang memilih pemenang anugerah itu. Sementara figura fesyen terkemuka dunia, Diane von Furstenberg pula mengepalai penganjuran anugerah itu.

Merupakan bekas graduan Sekolah Fesyen Studio Bercot di Paris, Theallet berhijrah ke kota New York sejak 12 tahun yang lalu. Walaupun rekaan Theallet lebih menjurus kepada veteran namun dia akhirnya melancarkan koleksi pret-a-porter tiga tahun lalu.


REKAAN Theallet turut bersifat berani apabila menggabungkan warna-warna kontra.

Dia juga telah memenangi beberapa anugerah pereka di Perancis pada sekitar tahun 1980-an dan pernah berkhidmat lama bersama pereka tersohor, Jean-Paul Gaultier dan Azzedine Alaia.

"Gaultier mengajar saya tentang 'singgah pada benda yang kosong' dan Alaia pula mengajar saya erti kesusahan. Saya telah datang ke AS lebih sedekad yang lalu kerana menggemari tempat ini dan teringin untuk menetap di sini. Pada awalnya, saya bekerja sebagai konsultan dan selalu pulang ke Paris kerana masih bekerja bersama Alaia," ujarnya.

Menurut Theallet, apartmen tiga tingkat yang dikongsi bersama suaminya dan rakan perniagaan, Steven Francoeur di bangunan Art Deco, berhampiran Jambatan Brooklyn juga telah menjadi bengkelnya. Di tengah-tengah operasi perniagaannya terdapat sebuah meja dapur gaya sederhana yang Theallet akui ketinggiannya tidak sesuai untuk menjahit atau kerja-kerja melukis. Ia mungkin hanya sesuai untuk duduk dan makan. Namun, meja itulah yang menjadi nadi kepada perniagaan yang semakin berkembang ke seluruh dunia itu.


DI dalam ruang apartmen yang sederhana inilah, Theallet dan seorang pekerjanya menghasilkan rekaan-rekaan fesyen berkelas tinggi.

Dengan bantuan seorang pekerja sepenuh masa, Theallet mereka corak untuk fabrik kapas, sutera dan muslin. Selepas itu, rekaannya dicetak di Korea Selatan, Vietnam dan India sebelum dihantar kembali ke AS. Kemudian, dia membuat prototaip dan menghantarnya ke kilang-kilang di AS untuk penghasilan pakaian. Sebelum dipasarkan, pakaian-pakaian itu dihantar ke apartmennya untuk melakukan kerja pembalutan, pelabelan dan kawalan kualiti.

"Saya akan menghasilkan 40 item untuk setiap koleksi. Maka, untuk setahun terdapat 80 item," jelas wanita yang kini sedang sibuk menghasilkan koleksi musim luruh/sejuk 2010 untuk Minggu Fesyen New York pada Februari ini.

"Idea dan inspirasi saya datang dari jauh. Saya berasal dari barat daya Perancis. Tetapi, saya anggap diri ini sebagai warganegara dunia pelbagai kaum. Saya juga mendapat inspirasi daripada Afrika, Kanada dan Mexico. Kadangkala gaya hidup yang manis di beberapa buah negara turut menjadi sumber inspirasi saya," katanya.

Gaya rekaan Theallet selalunya mendukung sentuhan Bohemian chic. Ada kalanya menyuntik cita rasa kain kaftan Afrika Utara dan kadang-kadang menampilkan busana kain kapas rona Afrika sub-Sahara. Dia langsung tidak malu untuk menggabungkan warna-warna kontra misalnya oren dan hijau ataupun gangsa serta biru.

"Permulaan bagi pengakhiran ketakutan adalah apabila anda berani melakukan apa yang menyebabkan ketakutan," kata Theallet memetik kata-kata daripada sepotong puisi India.

"Walau semewah manapun sesuatu koleksi namun tiada pakaian yang lebih chic daripada sehelai dres kain kapas," tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: