DIA mensasarkan usia 30 tahun untuk mendirikan rumah tangga. Namun, sebagai manusia, kata pelakon Irma Hasmie Ibrahim yang hangat bercinta dengan juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 26, dia hanya mampu merancang dan segala-galanya ketentuan tuhan.
“Setakat ini, hubungan saya dan Nabil berjalan lancar dan saya juga mengharapkan yang terbaik dalam hubungan kami pada 2010.
“Kami juga belum ada perancangan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat ini. Saya pula lebih suka serahkan soal kahwin ini pada rezeki dan jodoh. Kalau cepat jodoh saya sampai, cepatlah kami berkahwin. Saya berharap peminat juga mendoakan hubungan kami ini berakhir ke jenjang pelamin apabila tiba masanya nanti,” katanya.
Apapun, kata Irma, dia akan pastikan kisah cintanya dan Nabil tidak mendapat pendedahan yang keterlaluan daripada pihak media tahun ini. “Sebenarnya, saya tidak boleh buat apa-apa jika ada orang menyampah melihat kemesraan yang terjalin antara kami. Saya sedar ada orang tidak puas hati melihat kami berdua, sejak tahun lalu lagi. Saya anggap ia ujian yang menguji sejauh mana keteguhan cinta kami. “Sebenarnya, saya jarang menghadiri majlis bersama Nabil seperti heboh diperkatakan orang sebelum ini. Kalau adapun, ia berlaku secara kebetulan saja.
“Tapi kalau kami keluar berdua untuk minum memang ada dan ia sama saja seperti pasangan kekasih lain di luar sana,” katanya.
Irma yang bakal meraikan hari jadinya yang ke-28 pada 8 Januari ini juga merancang untuk meraikannya bersama keluarga.
“Saya jarang meraikan majlis hari jadi seperti orang lain. Selalunya, keluarga akan mengadakan bacaan surah Yasin pada Khamis malam Jumaat dan selepas itu, kami sekeluarga akan keluar makan bersama-sama. “Sambutan hari jadi tahun ini lebih bermakna dengan kehadiran Nabil dalam hidup saya,” katanya.
Mengenai perkembangan kerjaya seninya pula, Irma berharap dua cabang seni yang diceburinya iaitu lakonan dan pengacaraan berjalan lancar pada 2010.
“Saya masih di lokasi penggambaran drama bersiri sebanyak 26 episod, Aliff Firdaus arahan Rashid Sibir, sejak Disember tahun lalu.
“Saya pegang watak utama, Dira bergandingan dengan pelakon Beego (Aliff Firdaus) dalam drama ini. Saya terima tawaran buat cerita ini kerana tertarik dengan plot watak Dira yang berusaha melupakan kisah silamnya itu. “Dira juga kembali ke kampung halaman dan jatuh cinta dengan anak Pak Iman di kampung itu bernama Aliff Firdaus.
“Saya juga mendapat bimbingan pengarah bagaimana untuk menjiwai watak Dira seperti dikehendaki skrip,” katanya. Sebelum ini, Irma terbabit dengan musim kedua drama bersiri Awan Dania yang diterajui pelakon dan pengacara Scha Al Yahya dan telefilem, Terima Kasih Cikgu pada tahun lalu.
Bakat mengacaranya juga mendapat perhatian stesen televisyen tahun ini. Terbaru, Irma juga mengacarakan program Galaksi yang bersiaran untuk saluran TV9 tahun ini. Sebelum ini, program ini diacarakan pengacara Sazzy Falak. “Dari segi pengalaman mengacara, saya pernah buat program Chopp untuk TV9 tapi ia bersiaran selama lima minit saja.
“Sebagai orang baru, sudah pasti saya berasa gementar untuk buat program hiburan ini. Maklumlah, ia program hiburan yang disiarkan secara langsung selama sejam. “Namun, selepas bersiaran kali pertama Sabtu lalu, saya semakin menyesuaikan diri dan berusaha memberikan yang terbaik mengikut kemampuan diri,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: