Friday, January 8, 2010

Noryn lebih selesa kunci mulut

Enggan sentuh soal peribadi, seperti gosip kahwin dengan kerabat dari Terengganu

GOSIPNYA dikatakan hangat bercinta dengan kerabat dari Terengganu heboh diperkatakan orang, ketika ini. Tidak cukup dengan itu ada segelintir pihak yang membuat spekulasi, penyanyi jelita, Noryn Aziz sudah pun berkahwin dengan kerabat berkenaan. Namun, sampai hari ini, nampaknya Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abdul Aziz 33, lebih selesa mengunci mulut daripada bercerita soal peribadinya itu. "Saya tak nak sentuh soal peribadi ataupun soal kahwin seperti digosipkan itu. Kalau saya cakap salah, tidak cakap pun salah juga. Lebih baik, saya berdiam diri saja. Bagi saya, cerita peribadi adalah hak peribadi dan tidak perlu dikongsi dengan semua orang," katanya. Ditanya sama ada ceritanya sudah berkahwin itu sekadar gosip saja, anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini tidak memberikan sebarang jawapan. Malah, dia juga tak ingin mengulas ketika diminta komen sama ada dia akan mengundang pihak media pada hari perkahwinannya nanti.


"Saya tak nak sentuh apa-apapun mengenai perkara ini," katanya. Apapun, kata penyanyi yang sudah sedekad berstatus janda ini, dia bahagia dengan kehidupannya sekarang. "Saya bersyukur dengan kehidupan saya hari ini. Buat masa ini, saya ingin tumpukan perhatian pada Konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) nanti.


"Konsert solo di DFP ini adalah permulaan terbaik bagi saya pada 2010 dan disusuli projek Ikon & Friends. Banyak benda yang saya nak kejar dan saya juga banyak idea untuk dimasukkan dalam konsert itu nanti," katanya.


Dari segi perancangan album baru pula, kata Noryn, dia merancang untuk muncul dengan single terlebih dulu.


"Ia memang trend artis muncul dengan single terlebih dulu sekarang. Saya juga perlu menyesuaikan diri dengannya. Industri muzik kita lebih pada digital ketika ini. "Bagaimanapun, saya akan buat buat projek album ikon terlebih dulu selepas konsert ini. Projek ini membabitkan penyanyi popular Sheila majid, Dayang Nurfaizah dan Hazami yang berduet dengan artis popular Filipina, dan Indonesia. Saya akan berduet dengan artis Filipina dan akan ke Filipina pada Mac nanti," katanya. Noryn ditemui ketika sidang media konsert sulungnya di DFP itu yang berlangsung di Hotel Traders, Kuala Lumpur, di sini baru-baru ini. Hadir sama, jurucakap DFP, Liza Maria Karin. Mengulas lanjut mengenai konsert solonya di DFP, KLCC pada jam 9 malam, 12 Januari ini, Noryn yang lebih sedekad bergelar anak seni (sejak 1995) berkata, peluang menjayakan konsert itu bagaikan mimpi menjadi kenyataan dalam hidupnya.


"Sudah lama saya menanti peluang untuk buat konsert di DFP ini. Ia juga peluang bagi saya melangkah setapak lagi dalam kerjaya seni. Persembahan di DFP ini adalah tahap yang berbeza buat saya. Ia adalah persembahan ringkas, eksklusif dan meninggalkan kenangan manis buat khalayak nanti. Impian saya selepas ini ialah untuk buat konsert dengan iringan orkestra selepas ini," katanya. Noryn berkata, dia terima buat persembahan itu dengan mengikut kata hatinya. "Saya tidak fikir pun golongan penonton yang datang ke DFP sebelum ini. Saya juga sedar kelompok penonton DFP juga lain dari biasa. Pada pandangan saya, penonton yang datang ke konsert ini menghargai muzik. Konsert ini juga ada kelainan dari konsert saya di Istana Budaya sebelum ini.


"Sebagai persediaan, saya juga berbincang dengan pengarah muzik, Eric Li sebelum ini. Pada masa sama, saya juga menonton konsert antarabangsa seperti konsert Stevie Wonder, Amy Winehouse dan Sade sebagai rujkukan. "Seramai 11 pemuzik yang mengiringi persembahan saya juga sudah tahu lagu yang bakal disampaikan nanti," katanya. Berkongsi cerita pemilihan repertoire lagu yang disampaikan nanti, Noryn berkata, lagu yang dipilih adalah pilihan bersama peminat.


"Kebanyakan lagu yang saya sampaikan dalam konsert ini sering diminta peminat dalam persembahan seperti Get Here. "Saya juga akan menyampaikan lagu cover version jazz seperti Misty (Ella Fitzgerald), Lady Sings The Blues, I'm Allright, Love For Sale, Throught The Fire, Masquenada dan My Funny Valentine. "Lagu lain ialah single baru seperti Izinkan Aku dan Kesungguhan Cinta. Selain itu lagu Bila-bila Saja, Alam Maya, kembalikan, Cerita Cinta kerana saya juga sampaikan sebanyak 20 peratus lagu medley dari album Alam Maya.Jumlah keseluruhan lagu disampaikan ialah sebanyak 14 lagu. Saya juga ada elemen kejutan pada penonton dalam konsert ini nanti.


Lebih membakar semangat Noryn yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) ini ialah apabila tiket untuk menyaksikan konsertnya itu sudah habis dijual, sejak sebulan lalu. "Sebagai penyanyi, sudah pasti saya berasa gembira bila dapat tahu tiket konsert saya laris dan ia membuktikan orang beri peluang pada saya. . "Maklumlah, ramai orang ingat, susah nak masuk konsert jazz di DFP ini susah nak masuk. "Saya juga bersyukur kerana Bill Keith sudi menaja busana bakal digayakan nanti.Begitu juga, perhiasan tajaan dari Lazarre Diamond," katanya. Sementara itu, Liza berkata, pemilihan Noryn untuk buat persembahan di DFP kerana dia memenuhi kriteria yang dikehendaki. "Noryn bukan sekadar penuntut jurusan muzik. Dia juga penyanyi berbakat yang mempunyai latar belakang dalam bidang muzik. Persembahan Noryn juga dapat menarik kelompok penonton baru ke DFP. Ia juga kerjasama Noryn dan DFP," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: