Tuesday, January 19, 2010

Sarah-Ammar berpisah demi kerjaya



KISAH intim pasangan dua sejoli, Puteri Sarah Liyana dan Ammar Alfian Aziz sudah banyak diketahui umum. Kelibat dua pendatang baru arena seni lakon itu berkepit ke sana ke mari dan berdua-duaan juga bukan lagi asing pada pandangan ramai.

Tidak lama dahulu, dua anak muda itu pernah dikejar sensasi apabila gambar 'panas' mereka tersebar di Internet.

Bagusnya Sarah, 24, dan Ammar, 22, memberi reaksi bersahaja. Mereka juga selamba dan tidak menghiraukan apa kata orang lain. Sama ada nista atau pujian, itu bukan satu isu buat mereka. Pokok pangkalnya, perhubungan mereka disenangi orang tua masing-masing. Mereka juga tidak berselindung di sebalik istilah 'hanya kawan'.

Pada majlis pelancaran runut bunyi dan laman web rasmi filem lakonannya, Lu Pikirlah Sendiri The Movie Selasa lalu, Sarah hadir bersama kekasih hati.


AMMAR dan Sarah tidak kisah terpisah kerana kerjaya.

Pucuk dicita ulam mendatang. Kesempatan yang ada terus diraih untuk diajak berkongsi banyak cerita. Sementelah nasib malang Sarah masih belum berkesudahan.

Sudahlah filem pertama tergendala di tengah jalan, pasport pula dibekukan pihak imigresen gara-gara nama disenaraihitam ekoran kealpaan pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ditebak dengan persoalan yang masih berbuku di fikirannya, Sarah langsung tidak teragak-agak menceritakan perkara sebenar. Bukan menidakkan kealpaan atas tanggungjawab sebagai pemiutang tetapi apa yang berlaku ke atasnya seperti tidak mengikut prosedur. Lagipun, dia masih bergelar pelajar di sebuah kolej swasta di Selangor.

"Memanglah saya sudah menamatkan pengajian di UiTM untuk Diploma Pengurusan Hotel tapi sekarang saya masih belajar. Saya kini sedang menghabiskan kursus ijazah di Kolej Taylor.

"Tapi tak mengapa, saya sudah jelaskan separuh daripada bayaran yang sepatutnya. Apa yang menjadi masalah sekarang, saya masih tidak tahu sampai bila status pasport akan dibersihkan daripada senarai hitam," katanya dengan nada terkilan.

Ekoran disenaraihitam, Sarah jadi bingung apabila tidak dapat bersama ahli keluarganya menaiki penerbangan untuk bercuti di Krabi, Thailand, pertengahan Disember lalu.

Sesekali dia tertawa kecil mengenangkan peristiwa yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) itu.

Segala urusan pembayaran telah cuba dilakukan secepat mungkin tetapi semuanya bukanlah semudah yang disangka. Hasrat menikmati pemandangan dan percutian indah bersama keluarga hanya tinggal harapan.

"Saya harap pasport saya boleh digunakan dalam masa terdekat kerana bapa saya sedang merancang satu lagi percutian ke Krabi. Kali ini, saya sangat berharap boleh ikut serta," katanya bimbang.

Lebih membimbangkan Sarah, jika status pasportnya masih disenaraihitam, rencana menyambung pengajian ke Perancis sekitar pertengahan tahun ini juga akan turut tergendala.

Cinta sedia diuji



Ketepikan dahulu isu PTPTN, kemesraan Sarah dan Ammar mendorong perbualan terarah ke sudut peribadi. Sejauhmana keseriusan hubungan mereka, saya tanyakan kepada Ammar.

"Kami dah lama bercinta. Seingat saya sejak Jun 2008. Kami memang begini, lagipun ibu saya sangat rapat dengan Sarah," ujar Ammar.

Segalanya sudah jelas tetapi akan terikatkah mereka di atas tali yang lebih kukuh dalam masa terdekat.

Ketika asmara sedang berbunga serta usia hubungan yang sudah melebihi dua tahun, Sarah dan Ammar kini sedang mempersiapkan diri. Ada sesuatu bakal merubah rutin hubungan mereka tidak lama lagi.

Jika Sarah berhasrat ke Perancis menjelang pertengahan tahun, Ammar pula disunting sebuah agensi peragaan di New York dan bakal terbang ke kota metropolitan itu Mac depan.

Kata Ammar, dia akan diberi tempoh percubaan selama tiga bulan sebelum kontrak setahun menjadi miliknya.

"Sebenarnya sudah banyak kali saya menghantar profil untuk mendapatkan tawaran daripada luar negara, cuma kali ini sahaja saya bernasib baik kerana saya pernah ada kontrak setahun bersama Renoma.


BINTANG Sarah kembali bersinar pada tahun ini selepas beberapa siri kegagalannya dalam industri hiburan sebelum ini.

"Walaupun tiket pergi dan balik harus menggunakan duit sendiri, di New York nanti, saya dijanjikan, segala makan minum dan tempat penginapan akan ditanggung pihak agensi," kata Ammar yang menceburi bidang peragaan sejak berusia 16 tahun.

Anak sungai lagikan berubah, inikan pula hati orang. Itu yang menjadi kerisauan Sarah tatkala berjauhan dengan Ammar kelak. Kalau dikutkan hati, mahu sahaja Sarah menggesa agar tali pertunangan diikat terlebih dahulu sebagai jaminan hubungan mereka.

"Tapi bila difikirkan secara logik, kalau sudah tiada jodoh bertunang pun boleh putus. Jadi, kami berserah kepada keadaan. Jika Ammar balik dari New York nanti tengok saya dah tiada di Malaysia atau sudah jadi milik orang lain, apa boleh buat?" ujar Sarah berseloroh.

Bagi Ammar pula, biarlah dia mempunyai aset yang kukuh dan karier yang lebih terjamin sebelum soal jodoh menjadi fokus. Pertengahan Januari ini juga, Sarah akan berlakon bersama Ammar untuk drama 26 episod berjudul Nilofer. Dalam drama berkenaan, Ammar dan Sarah akan beraksi sebagai suami isteri.

Sarah dan Ammar sama-sama sedang mahu membina nama. Si jejaka sedang digilai ramai menerusi drama bersiri Tari Tirana manakala Sarah pula ada filem baru yang sedang menyusul.

Walaupun tidak sempat menonjolkan bakat menerusi filem kontroversi Aduh Saliha yang tertangguh entah sampai bila, dia kini sibuk mempromosi filem sulungnya, Lu Pikirlah Sendiri The Movie yang akan ke pawagam Februari nanti.

Memainkan watak Natasya, seorang anak hartawan yang cemerlang dalam pengajiaan di samping kerjaya sambilan sebagai model, Sarah bergandingan dengan Juara Raja Lawak 2, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil sebagai pasangan kekasih.

Filem komedi romantik arahan pengarah baru, Aminah Rhapor itu bukan sahaja sarat dengan elemen percintaan, malah turut menyelitkan mesej kasih sayang adik-beradik dan kekeluargaan.

Selain Sarah dan Nabil, filem terbitan SDAF Pictures (M) Sdn Bhd ini turut menampilkan penampilan sulung penyanyi genit Mila, kumpulan Meet Uncle Hussain, Zizan Raja Lawak, Vanida Imran, Liza Othman, Zaibo serta Hisham Ahmad Tajuddin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: