Tuesday, January 19, 2010

Hot FM Kita Punya pula


DARI kiri: Seelan Paul turut mengumumkan tentang bengkel muzik anjuran Hot FM yang akan disokong bersama oleh Ketua Pegawai Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar.

BERBANDING stesen radio swasta atau stesen radio milik kerajaan, Hot FM sering menjadi sasaran banyak pihak apabila isu pemutaran lagu-lagu dari luar negara diperkatakan.

Diselar sedikit menganaktirikan produk artis tempatan dan sangat 'bermurah hati' serta mudah menadahkan nyiru kepada produk muzik dari luar khususnya Indonesia, Hot FM tetap mempertahankan prinsip penyiaran lagu di corong radio nombor satu negara itu.

"Apa yang kami siarkan adalah hasil kajian dan penyelidikan yang telah dijalankan oleh pasukan penyelidik yang dilantik.


HOT FM Kita Punya dilancarkan khusus menyokong industri tempatan dengan menggalakkan anak-anak muda membikin karya sendiri.

"Kami bersaing dengan lebih 50 stesen radio di Malaysia. Pendengar pula hanya mempunyai peruntukan masa yang terhad untuk mendengar radio, jadi setiap kali mereka memilih Hot FM, kami mahu menyajikan muzik terbaik untuk mereka. Jika tidak mereka akan beralih ke radio lain," kata Ketua Pegawai Operasi Media Prima Radio Networks, Seelan Paul.

Kata Seelan yang ditemui pada majlis pelancaran Hot FM Kita Punya di Hard Rock Cafe minggu lalu, strategi dan penyampaian adalah faktor utama yang mengikat pendengar untuk setia sebagai pendengar Hot FM.

Sebab itulah, selain kandungan penyampaian dan muzik, Hot FM mendekatkan ikatan dengan pendengar khususnya pendengar muda dengan program-program yang seiring dengan aliran muzik semasa.

Hot FM pernah muncul dengan Hot FM Twisties Bingit yang melahirkan banyak band baru termasuk Modread yang kini muncul dengan album sulung. Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia tahun lepas, penganjuran Hot FM Lagu 1Malaysia pula mencatatkan lebih 500 penyertaan penciptaan lagu-lagu baru dan lebih separuh daripada jumlah itu adalah hasil dan penyanyi baru.

Terbaru, Hot FM melancarkan program Hot FM Kita Punya. Rasionalnya, Hot FM Kita Punya akan membuka ruang yang lebih luas kepada penyanyi dan pencipta lagu yang selama ini tercari-cari ruang dan peluang mengetengahkan karya mereka.

"Inilah cara kami di Hot FM untuk memberi sumbangan kepada industri muzik tempatan dalam masa yang sama cuba memenuhi cita rasa pendengar.

"Dalam kata lain, kami juga mahukan sokongan daripada pihak industri sendiri. Monkey Bone yang sebumbung dengan Hot FM di Media Prima pula memainkan peranan dalam soal royalti atau hak cipta terhadap lagu-lagu yang tersiar," jelas Seelan lagi.

Hot FM Kita Punya telah memulakan siaran sulungnya pada I6 Januari lalu. Ia akan berterusan pada setiap Sabtu dari jam 9 hingga 11 malam.

Dikendalikan sepenuhnya oleh Ikhwan, segmen itu bakal memperdengarkan barisan lagu yang hanya dihasilkan seratus peratus oleh rakyat Malaysia.

Sedikit kelonggaran diberikan apabila Hot FM lebih menekankan dalam komposisi lagu manakala penyanyi untuk lagu-lagu tersebut boleh terdiri daripada bukan kerakyatan Malaysia.

Begitupun, Hot FM tidak membataskan sumbangan lagu baru serta profesion, sama ada peserta itu amatur atau profesional.

"Setiap karya haruslah mempunyai audio yang berkualiti dan melepasi syarat penyiaran di radio," tegas Seelan lagi.


KEKUATAN Hot FM tidak sekadar terletak kepada pengisian lagu-lagu mereka, tetapi juga diperkukuhkan oleh barisan deejay mereka.

Pengiriman lagu perlu mempunyai butiran lengkap seperti tajuk lagu, komposer, penulis lirik serta penyanyi. Lagu tersebut boleh dihantar menerusi emel ke www.hotfm.com.my atau dalam bentuk digital melalui pengiriman pos.

Bengkel muzik untuk semua

Sebagai usaha melestarikan muzik tanah air, HotFM juga dalam agenda mengadakan sebuah woksyop muzik yang dijadualkan mengambil tempat menjelang Jun 2010.

Belum memutuskan nama-nama pemuzik profesional yang akan mengambil bahagian sebagai fasilitator, yang pasti Ketua Media Prima Radio Network (HotFM and FlyFM) serta Ketua Pegawai Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar sendiri akan turun padang pada bengkel berkenaan. Izham akan berkongsi ilmu untuk membentuk sebuah karya bermutu dan diterima masyarakat.

Woksyop itu terbuka secara percuma kepada semua yang berminat. Tempat adalah terhad, oleh itu mereka yang berminat sila nantikan perkembangan terbaru woksyop ini di masa-masa akan datang.

Untuk informasi lanjut, sertai stesen tersebut di gelombang udara Hot FM, atau layari laman web rasmi di www.hotfm.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: