Razak Ahmad, 47, terkenal di kalangan orang ternama hanya kerana kepakarannya meniup dan membuka kelopak bunga.
BAYANGKAN ada 40,000 kuntum bunga mawar yang perlu ditiup dan dibuka kelopaknya secara manual untuk menghiasi satu majlis persandingan berprofil tinggi dan ia perlu dilakukan kurang dari dua hari.
Bunyinya seperti tidak masuk akal, apatah lagi jika ia dilakukan oleh seorang lelaki.
Namun, bagi pemilik nama Razak Ahmad, dek minat yang mendalam, fasa pertama dalam proses menggubah bunga segar itu tidak pernah mendatangkan lelah kepadanya.
Malah semangat jejaka berusia 47 tahun ini kian berkobar apabila melihat bunga yang sebelum ini kuncup, kembang mekar walaupun belum tiba tempoh matangnya.
"Biasanya bunga akan tiba dari luar negara menggunakan kapal dalam keadaan masih menguncup.
"Bayangkan untuk menghasilkan kesan kembang, puluhan ribu bunga itu perlu ditiup dan dibuka kelopaknya.
"Memang nampak leceh tetapi saya puas hati apabila pelanggan menyukai hasil gubahan yang dilakukan," ceritanya ketika mengimbau semula pengalaman menggubah bunga untuk majlis persandingan anak perempuan Allahyarham Tan Sri Nasimuddin SM Amin Naza, Nur Diana serta pasangannya Izham Hakimi Hamdi.
Teknik meniup bunga yang dipraktikkan Razak ini nyata memberi kelainan pada karangan bunga, apatah lagi paduan warna merah yang dipilih membangkitkan kesan 'hidup' pada majlis persandingan berkonsepkan kolonial itu.
Rahsia sentuhan magis beliau ini turut menjadi ikutan pelanggan dan penggubah bunga lain. Maka tidak hairanlah anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini digelar trendsetter dalam bidang seni gubahan flora.
"Untuk apa jua majlis terutama persandingan, rugi jika gunakan bunga yang belum kembang sepenuhnya.
"Kadang-kadang stok bunga yang diimport sampai dua hari sebelum majlis dan tidak semuanya sempat mengembang. Kerana itu, ada penggubah yang terus menggunakan bunga tersebut untuk digubah.
"Walaupun bunga hidup mampu memberi kelainan pada dekorasi majlis, namun bunga yang tidak cukup kembang hanya mencacatkannya.
"Bagi mengelak daripada menggunakan bunga kuncup dan bunga kembang dua tiga hari selepas majlis tamat, teknik ini sangat sesuai digunakan.
"Anda pasti tidak kecewa dengan hasilnya. Jangan takut bunga itu rosak atau kelopaknya mudah tertanggal.
"Malah jika kena cara menjaganya, bunga boleh tahan lama," ungkapnya yang merupakan Perunding Acara dan Pereka Gubah Bunga di Flora etc., syarikat miliknya sendiri.
|
|
Bunga seperti manusia
Tidak lokek berkongsi petua bunga gubahannya tampak indah, Razak memberitahu, pemilihan jenis dan warna bunga perlu dititikberatkan sebelum menggubah. Namun apa yang lebih penting, bunga perlu segar dan kembang.
"Seperti manusia, bunga juga perlu minum. Untuk memastikan kesegaran dan tahan lebih lama, bunga segar perlu diletakkan di dalam bekas berisi air suam bersama ubat khas.
"Manakala apabila menggubah, elakkan bunga segar saling bertindih.
"Jika mengarang bunga mawar segar, ia akan kelihatan sempurna apabila setiap kelopak kembang dan digubah secara berpasangan," ujarnya yang terkenal dengan gubahan gaya pave yang padat tanpa banyak daun yang tampak mewah dan elsklusif.
Budak suruhan
Selain mawar, Razak turut menggemari bunga hydranger, lili, button pom-poms, geranium foliage dan cala, Casablanca lilies serta orkid bersama penggunaan daun Vittosperum, Viburnum dan Eucalyptus yang diimport dari Belanda, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan China.
Sentuhan ajaib Razak mula dikenali ramai selepas menghasilkan gubahan bunga segar pada majlis persandingan bekas penyampai televisyen terkenal, Datin Norjuma Habib Mohamed dengan suami, Datuk Mohamed Nazim Tun Razak pada Jun 2005.
Daripada seorang pemilik butik yang tidak dikenali, nama Razak Ahmad mula menjadi sebutan ramai.
Memiliki pengaruh besar dalam bidang seni gubahan bunga segar dan perancangan majlis terutama perunding perkahwinan, kini namanya tidak perlu diperkenalkan lagi.
"Tidak mudah untuk membina jenama Razak Ahmad dan Flora etc. Mungkin ramai yang tidak yakin dengan kemampuan anak tempatan menghasilkan dekorasi bunga segar seperti di Barat, lebih-lebih lagi ia memerlukan belanja yang besar," ujarnya.
Biarpun memiliki Ijazah Sarjana Muda Reka Fesyen dari Universiti Teknologi Mara, (UiTM), Shah Alam pada tahun 1980, Razak lebih cenderung menjadi penggubah bunga malah beliau sanggup merantau ke Brunei pada tahun 1985 untuk bekerja sebagai pereka dan penggubah jambangan bunga.
Setahun selepas itu, Razak mengambil keputusan untuk mendalami seni dekorasi bunga dan cita-cita itulah yang membawanya ke Chicago, Amerika Syarikat untuk melanjutkan pengajiannya di Truman College dalam jurusan Kesenian Liberal pada usia 25 tahun.
"Memandangkan kelas hanya pada waktu malam, saya manfaatkan waktu siang dengan bekerja di Company LA Premier, Chicago.
Selebriti Hollywood
"Ia merupakan sebuah syarikat gubahan bunga ternama khusus untuk meraikan majlis perkahwinan, makan malam dan parti peribadi orang kenamaan. Saya diberi jawatan yang paling rendah iaitu budak suruhan.
"Dari situ, banyak perkara yang saya pelajari daripada cara menggubah, memilih bentuk jambangan, komposisi warna bunga hinggalah ke jenis-jenis bunga daripada pemilik syarikat tersebut, Kevin Lee.
"Selepas dua setengah tahun, saya dinaikkan pangkat menjadi pereka gubahan," ceritanya yang gemar membelek majalah dekor luar negara.
Sepanjang bekerja di bawah Kevin Lee, Razak berpeluang menyediakan karangan bunga segar untuk majlis perkahwinan selebriti terkenal Hollywood seperti Brad Pitt dengan Jennifer Aniston pada Jun 2000.
Selain itu, beliau juga diberi kepercayaan menghias majlis perkahwinan Anthony Hopkins dan Drew Barrymore serta pasangannya Tom Green di Bel Air selain merias kediaman Oprah Winfrey, Ricky Martin, Keanu Reeves, Toni Braxton, Celine Dion dan Elizabeth Taylor.
Menghimpun pengalaman hampir dua dekad di negara Uncle Sam, Razak mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air pada 2004 bagi menemani ibunya, Soadah Abd. Hamid yang uzur dan mewujudkan Flora etc. juga atas dorongan ibunya.
"Bagi sesetengah orang, tidak mudah untuk melepaskan jawatan Ketua Pereka di sebuah agensi terkenal dan pulang ke tanah air.
"Di sana, pendapatan lumayan dan peluang juga cerah tetapi saya memilih untuk bersama keluarga," katanya.
Kerabat diraja
Melihatkan pencapaiannya yang bukan sedikit, tidak hairanlah karya sentuhan beliau menjadi pilihan kerabat diraja Brunei, isteri menteri-menteri dan golongan korporat tanah air.
Sungguhpun begitu, anak Melayu ini sentiasa merendah diri. "Saya hanya orang belakang tabir," katanya.
Menginjak usia 50 beberapa tahun lagi, Razak lebih suka memberi tumpuan penuh kepada Flora etc. yang diibaratkan seperti buah hatinya.
"Dalam minda saya terlalu banyak perkara yang perlu dirancang dan diselesaikan. Kesibukan di butik dan set adakalanya mengehadkan masa untuk saya keluar dengan kawan-kawan," akuinya.
Terletak di Suite 2.07, The Ampwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Flora etc. hanya memiliki dua orang pekerja dan menyewa di lot seluas 213 meter persegi namun berkat usaha dan doa arwah ibunya, butiknya itu telah berpindah ke lot yang lebih luas iaitu 854 meter persegi di bangunan sama, dua tahun lalu.
Selepas lima tahun, Razak memiliki 20 orang pekerja tetap dan separuh masa.
Sesekali, apabila ada projek besar ataupun berdepan dengan banyak majlis dalam satu masa, beliau terpaksa mengambil hampir 30 pekerja secara kontrak.
|
|
"Alhamdulillah, selepas projek pertama pada 2005, permintaan semakin meningkat sampai tak menang tangan.
"Dalam seminggu, lebih kurang lapan hingga sepuluh majlis yang perlu diuruskan," katanya.
Pelamin gubahan Flora etc. bermula pada harga serendah RM8,000 manakala bagi gubahan bunga untuk majlis, harga minimum yang dikenakan adalah RM3,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: