Sunday, January 3, 2010

Segalanya tentang sikap

Enjin Scania diuar-uarkan sangat berkuasa dan selamat. Namun, semua itu tidak bererti jika pemandunya cuai.


ENJIN bas yang terbaik tidak bermakna jika sikap pemandu tidak berubah.


UCAPAN takziah, perkongsian rasa simpati atau juga soal pampasan mungkin tidak mencukupi.

Tidak terubat sebenarnya perasaan ahli keluarga 10 penumpang yang terkorban dalam nahas bas dua tingkat Sani Express di laluan terus Kilometer 272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Plaza Tol Jelapang pada 26 Disember 2009 yang lalu.

Sekali lagi semua pihak mendesak agar sesuatu dibuat demi meredakan hiba dan seribu persoalan yang ditanggung keluarga mangsa.

Lebih utama, untuk memastikan tiada lagi kejadian buruk sebegitu berlaku pada masa akan datang.

"Setiap cadangan yang diberikan termasuk menghentikan operasi bas pada waktu malam dan mewujudkan lesen khas bagi pemandu bas dua tingkat turut akan dibincangkan," ujar Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datin Naimah Ramly.

Tambah beliau, pihak LPKP melakukan audit dan siasatan terperinci dari semua aspek berkaitan seperti pengurusan dokumen dan pengurusan kenderaan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Pengangkutan dan polis juga berganding tenaga dalam inkuiri itu.

Apabila kes kecelakaan seperti itu terjadi, masyarakat keseluruhannya menzahirkan rasa marah terhadap pihak yang hendak dipersalahkan.

Walaupun begitu, sebelum kita bercakap tentang isu-isu teknikal atau undang-undang, adalah lebih baik jika dinilai perkara yang lebih utama dan menyeluruh iaitu sikap manusia.

Tiada latihan

"Sesetengah pengusaha syarikat bas mengambil pemandu secara pelawaan lisan, atas hubungan kawan atau bersandarkan rasa percaya semata-mata.

"Sedangkan ada di antara para pemandu itu tidak mendapat surat pelantikan, tidak menerima latihan mencukupi dan mungkin juga pesalah trafik serius dan berulang," ujar Pengurus Operasi dan Sumber Manusia, Suasana Edaran Sdn. Bhd. (SESB), Zulkifli Sulaiman.

Pemandu tersebut juga digajikan tanpa tambahan imbuhan yang sepatutnya seperti pemotongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Socso atau manfaat lain pekerjaan. Itu tidak lagi menyebut tentang pemeriksaan kesihatan.

Menurut Zulkifli, semua perkara tersebut perlu diberi perhatian oleh majikan kerana secara tidak langsung boleh mencetus motivasi dan sikap bertanggungjawab para pemandu.

"Majikan perlu menjadikan mereka sebahagian daripada syarikat, maka mereka berasa dihargai.

"Dari situlah wujudnya kesefahaman dan dedikasi dalam tugas," terangnya sambil menambah bahawa para pemandu SESB dilindungi insurans kemalangan, insurans pembedahan dan skim rawatan di wad hospital kerajaan dan swasta.




Turut difahamkan, SESB membelanjakan peruntukan tinggi untuk teknologi enjin Scania dari Sweden.

Sistem enjin yang mempunyai kelebihan dari aspek kecekapan dan keselamatan itu diselaras secara khusus agar menepati struktur casis bas.

Tambahan lagi sistem sokongan dan inovasi Scania telah meningkatkan sistem respons kenderaan selain maklumat dan ruang penglihatan pemandunya.

Enjin ini juga memiliki sistem brek yang sofistikated, sensor penyeimbang elektronik terbaik dan unit paparan kamera bagi menunjukkan komitmen terhadap keselamatan jalan raya.

"Namun, semua itu jadi tidak bermakna jika kita mengabaikan faktor manusia iaitu pemandunya," terang Zulkifli yang mempersiapkan pemandu SESB dengan latihan lanjutan tentang ciri pengendalian bas berenjin Scania.

"Tentang sistem pengehad kelajuan pula, walaupun ia membantu aspek keselamatan, kita tidak boleh meminggirkan kemungkinan alat itu boleh dimatikan semudah ia dipasangkan," katanya.

Berkongsi soal integriti pemandu, Zulkifli menegaskan, para pemandu juga perlu dilatih agar patuh kepada sistem dua pemandu bagi setiap perjalanan.

Jalinan perhubungan dan persefahaman antara staf akan menentukan tahap kerjasama antara mereka seterusnya meningkatkan kelancaran perjalanan.

"Pemandu yang letih atau mengantuk boleh diganti dalam perjalanan. Secara tidak langsung, obligasi terhadap keselamatan penumpang terlaksana.

"Mengehadkan rutin perjalanan bagi setiap pemandu juga penting agar mereka tidak terburu-buru memandu hanya kerana hendak mengejar jadual perjalanan seterusnya," ujarnya.

Zulkifli berharap agar pihak LPKP menyegerakan sistem profil pemandu bas ekspres. Data itu merangkumi senarai butiran penting pemandu, rekod pekerjaan serta rekod kesalahan trafik untuk rujukan pengusaha syarikat bas dan pihak berkuasa.

Permit ali baba

Bagi membendung kejadian yang tidak diingini, pengusaha bas ekspres dapat memilih pemandu yang terbaik dari senarai profil itu demi menjaga kepentingan operasi syarikat mereka.

Tiga tahun lalu, Presiden Persatuan Ampunya Lori Pan-Malaysia, Er Sui See, pernah mendedahkan bahawa peningkatan jumlah nahas membabitkan bas ekspres dan kenderaan perdagangan antara lain dipercayai berpunca daripada perbuatan segelintir pengendali syarikat pengangkutan yang memperoleh permit secara 'ali baba'.


MALANG tidak berbau, tetapi kita dianugerahkan akal untuk menghidarinya.


Sui See mendakwa hampir 50 peratus daripada permit LPKP di telah dialibabakan oleh pemilik asal lesen tersebut. Taktik itu melibatkan syarikat-syarikat pengangkutan lori dan bas ekspres yang mahu mengaut keuntungan dengan cepat dan terselindung.

Gejala itu telah menyebabkan operasi bas dan kenderaan perdagangan terjejas kerana syarikat-syarikat yang membeli permit daripada pemilik asal itu tidak mementingkan aspek keselamatan dan syarat-syarat lain yang ditetapkan kerajaan.

Biar apa pun puncanya, kemalangan atau kecelakaan bukanlah sesuatu yang dicari. Ia terjadi tanpa dijangka.

Dalam pada kita tidak menolak dan yakin pada ketentuan takdir, wajarkah kita alpa sehingga tidak melakukan yang termampu bagi menghindarinya?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: