Wednesday, January 27, 2010

Que perkenal anak bulan depan


QUE bersama isterinya, Linda Jasmine ketika kehamilan puteri sulungnya, Tengku Ratu Haidar.


TIADA apa yang lebih menggembirakan hati pelakon berbakat, Que Haidar apabila dirinya kini bergelar ayah kepada seorang bayi perempuan yang diberi nama Tengku Ratu Haidar.

Bayi seberat 3 kilogram hasil perkongsian cinta antara Que dengan guru tari terkenal, Linda Jasmine itu dilahirkan kira-kira pukul 2 petang di Hospital Gleaneagles, Ampang pada 27 Oktober tahun lalu menerusi pembedahan.

Sejak dilahirkan, pasangan selebriti itu enggan mendedahkan wajah puteri sulung mereka itu sehingga tiba detik yang dirasakan benar-benar sesuai.

Bertemu Que pada majlis sidang media bangsawan Laksamana Cheng Ho di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), baru-baru ini Que memberitahu, dia bakal memperkenalkan anaknya itu kepada media dan khalayak bulan depan.

"Insya-Allah saya akan buat majlis cukur jambul untuk anak saya bulan depan. Ia masih dalam perancangan. Pada majlis itu nanti saya dan Linda akan perkenalkan kepada anda semua," katanya ringkas.

Mengulas mengenai kehidupannya kini setelah bergelar bapa, kata Que, selain mempunyai fokus yang lebih banyak berbanding zaman solonya dahulu, dia semakin memahami tentang pentingnya tanggungjawab.

"Banyak perkara yang benar-benar membuatkan saya gembira kini. Bermula dengan mengahwini Linda, bergelar suami dan kini bergelar bapa pula memperlihatkan kehidupan saya yang semakin tersusun.

"Makan dan pakai saya kini sentiasa teratur malah, setiap hari penuh dengan curahan kasih sayang dalam kehidupan kami.

"Peralihan ini secara tidak langsung mengajar saya untuk memperbaiki segala kelemahan dalam hidup saya sebelum ini. Apa yang saya harapkan kebahagiaan ini berkekalan selamanya," kata Que yang tidak lekang dengan senyuman sepanjang perbualan itu.

Menyentuh mengenai bayinya kini yang hampir berusia 3 bulan, kata Que, selain membesar dengan sihat hingga beratnya mencecah 7 kg, Ratu semakin bijak bertindak balas setiap kali terlihat kelibat ibu bapanya.

"Seronok melayan kerenah anak apatah lagi sekarang dia sudah semakin bijak dan kerap 'bercakap' dan seakan mengadu banyak perkara kepada saya setiap kali dia melihat saya," kata Que lagi menceritakan perihal puteri sulungnya itu.

Berbicara perihal kerjaya lakonan, Que kini sedang mempersiapkan diri bagi pertunjukan bangsawan Laksamana Cheng Ho yang bakal dipentaskan di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur pada 29 hingga 31 Januari ini pukul 8.30 malam.

Pementasan selama tiga malam berturut-turut itu dibuat secara percuma dan merupakan projek perintis Alumni Aswara dengan kerjasama Aswara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Pementasan itu diadakan bersempena penganugerahan Ijazah Sarjana Seni (MA Kehormat) kepada tokoh bangsawan, A. Rahman Bakar (Pak Rahman) yang bakal diadakan pada hari konvokesyen ke-7 Aswara pada 18 Mac ini.

Oleh sebab itu, karyanya diangkat untuk dipentaskan kepada khalayak sebagai mengenang jasa dan sumbangan beliau memartabatkan bangsawan sejak tahun 1995 lagi.

Selain Que Haidar sebagai Laksamana Cheng Ho, pelakon lain yang juga ahli alumni Aswara yang terlibat dalam pementasan tersebut ialah Abby Nadzri (Puteri Ang Di Po), Marlenny Deen Erwan (Yang Lu Sai Su), Xavier Fong U-Shin (Maharaja Meng) dan Along Eyzendy (Ma Ta Hai).

Tidak ketinggalan ialah artis jemputan yang bakal membuat persembahan tersebut ialah Aishah.

Selain Pak Rahman bertindak sebagai pengarah artistik, persembahan tersebut menerima sentuhan Mohd. Sharul Mizad Ashaari sebagai pengarah lakon.

Melibatkan hampir 30 pelakon yang terdiri daripada bekas graduan dan ahli alumni Aswara, kisah tersebut melatari semangat serta kesetiaan Laksamana Cheng Ho yang dipertanggungjawabkan oleh Maharaja Meng untuk membawa puterinya, Ang Di Po berlayar ke gugusan pulau di benua China.

Ketika dalam pelayaran, Puteri Ang Di Po yang menaruh hati kepada Laksamana Cheng Ho telah mengugut untuk membunuh diri sekiranya cintanya ditolak.

Bagaimanapun, demi taat setianya kepada Maharaja Meng serta prinsip enggan menderhaka, Laksamana Cheng Ho telah melakukan pengorbanan besar dalam hidupnya.

"Demi kesetiaan dan ketaatanku kepada Maharaja Meng. Demi kehormatan ku kepada ayahanda Maharaja. Ku korbankan cinta ku. Ku korbankan zuriatku," itu antara petikan dialog bagi watak Laksamana Cheng Ho dalam persembahan tersebut.

Pastikan anda meluangkan masa menonton dan menyaksikan pementasan tersebut dan untuk tempahan atau pun keterangan lanjut, sila layari laman sesawang www.aswara.edu.my atau hubungi talian 03-26971777 (sambungan 5046).

Kekok kembali ke pantas

Bercerita tentang lakonan teater, Que yang menamatkan pengajiannya di Aswara pada tahun 2000 sebelum ini pernah terlibat dan bagaikan sudah serasi beraksi di pentas teater.

Bagaimanapun, akui Que, sejak mula melibatkan diri dalam filem aktivitinya di pentas teater mahupun bangsawan bagaikan terhenti begitu sahaja.

"Saya memang sentiasa ternanti-nanti tawaran berlakon di pentas. Disember lalu apabila ditawarkan untuk pementasan ini saya terus terima apatah lagi dapat bekerjasama dengan Pak Rahman.

"Ini lakonan saya yang pertama selepas 'berehat' seketika selama tujuh bulan. Mula-mula melakukan latihan pada tiga minggu lalu memang terasa kekok sangat sebab nak mula kembali 'enjin' lakonan apatah lagi untuk pementasan bukannya senang.

"Bagaimanapun, lama-kelamaan keseronokan semakin menguasai diri dan saya gembira dapat bekerjasama dengan senior dan junior saya sendiri di Aswara.

"Selain itu, saya juga bakal menyumbangkan suara secara duet dengan Abby Nadzri menerusi sebuah lagu.

"Sebelum ini saya hanya menyanyi di pusat-pusat karaoke bagaimanapun, kali ini rasa lebih berdebar kerana perlu menyanyi di hadapan khalayak," katanya yang dijangka terlibat dalam sebuah lagi pementasan tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: