|
|
PHUA Chu Kang merupakan antara sitkom dari Singapura yang popular dan lama bertahan iaitu sejak 11 tahun lalu dengan menampilkan barisan pelakonnya yang terdiri daripada kaum Cina, Melayu dan India.
Selepas lebih sedekad menghiburkan para penonton di kaca televisyen (TV), sitkom yang menonjolkan watak seorang lelaki Cina bernama Phua Chu Kang itu mengorak selangkah lagi apabila ia diangkat ke layar perak.
Pelakon watak Phua Chu Kang, Gurmit Singh menyifatkan sudah sampai masanya sitkom yang turut mendapat sambutan hangat para penonton di negara ini diangkat ke medium filem selepas sekian lama mencipta nama.
"Sebenarnya idea untuk mengangkat Phua Chu Kang menjadi sebuah filem sudah tercetus sejak 10 tahun lalu iaitu sewaktu sitkom ini mendapat sambutan hangat daripada para penonton di Singapura.
"Bagaimanapun, pada ketika itu ia masih baru beberapa musim disiarkan di TV, jadi proses peralihan ke filem tidak diketengahkan secara serius," katanya ketika ditemui di Kajang, Selangor, baru-baru ini.
Pada pertemuan itu, Gurmit bersama para pelakon Phua Chu Kang sedang menjalani penggambaran Phua Chu Kang Pte. Ltd. The Movie arahan pengarah terkenal dari Singapura iaitu Boris Boo.
Menurut pelakon utama Phua Chu Kang berusia 44 tahun itu, siri sitkom itu tidak sama dengan filem yang akan diangkat ke layar perak antaranya termasuklah daripada segi jalan cerita dan lokasinya yang diadakan di luar Singapura.
"Selepas 11 tahun kami dapati sudah sampailah masanya Phua Chu Kang dibawa ke tahap yang lebih besar iaitu melalui layar perak. Sitkom dan filem Phua Chu Kang tidak sama terutamanya daripada segi watak-watak yang ditampilkan.
"Melalui filem ini, watak-watak yang ada dikembangkan lagi karakternya supaya ia lebih kelakar dan sesuai untuk diketengahkan melalui medium filem. Selain itu, bagi versi filem kami mengambil kawasan kampung sebagai lokasi utamanya.
kekal watak utama
"Filem ini antara lain menggambarkan tentang permulaan kisah Phua Chu Kang yang berlatar belakang kampung. Ia tidak seperti dalam sitkom yang lebih fokus kepada kawasan bandar," ujarnya.
Selain diangkat daripada siri sitkom kepada filem, kisah popular masyarakat berasal dari Singapura ini 100 peratus memilih Malaysia sebagai lokasi penggambarannya yang bermula sejak 4 Januari lalu di Kajang, Selangor.
Filem dengan kos pembikinan berjumlah RM1.8 juta itu juga mengekalkan watak-watak utamanya iaitu Phua Chu Kang lakonan Gurmit Singh, Rosie (Irene Ang) dan Frankie Foo (Lim Kay Siu).
Bagi Irene Ang pula, mengekalkan barisan pelakon serta tenaga kerja dalam Phua Chu Kang Pte. Ltd. The Movie sama seperti yang dipaparkan dalam sitkom mampu meneruskan kesinambungan jalan cerita dan juga sebagai tarikan utamanya.
"Apabila Phua Chu Kang dibawa keluar daripada sitkom sambutannya cukup baik sekali kerana ia masih mengekalkan para pelakon asalnya. Contohnya sebelum ini Phua Chu Kang pernah diangkat menjadi sebuah muzikal.
"Sambutannya amat memberangsangkan. Watak-watak yang ada sebelum ini juga pernah digunakan bagi membantu kempen-kempen kemasyarakat di Singapura dan ia berjaya menarik perhatian ramai," jelasnya.
Filem terbitan bersama Grand Brilliance, RAM, Hwa Yea, MM2 Entertainment dan sebuah syarikat dari Singapura, Scorpio East itu yakin pemilihan Malaysia sebagai lokasi penggambaran mampu menambah tarikan filem tersebut.
Tambah Irene, filem itu yang menggunakan campuran bahasa Inggeris, Melayu dan Cina itu bukan setakat untuk tayangan di Singapura, malah beliau berharap ia juga akan mendapat sambutan hangat di negara ini.
"Soal kenapa filem ini menjalani penggambarannya di Malaysia, itu kena tanya penerbit. Namun, sebagai pelakon kami rasa Malaysia begitu dekat di hati kami. Kami mahu menggambarkan suasana kampung dan malam di Malaysia.
"Senario dan adegan seperti itu tidak banyak terdapat di Singapura mungkin kerana arus pemodenan. Lagipun sitkom Phua Chu Kang pernah ditayangkan di kaca TV di Malaysia sejak lama dulu.
"Misalnya, sitkom Phua Chu Kang pernah ditayangkan di saluran ntv7. Jadi apabila penggambarannya dijalankan di sini ia mungkin akan lebih dekat lagi di hati para penonton," katanya lagi pada pertemuan singkat di lokasi penggambaran filem tersebut.
Phua Chu Kang Pte. Ltd. The Movie turut dilakonkan oleh pelakon dari Singapura Henry Thia, Neo Swee-Lin dan Zaibo dari Malaysia. Filem ini dijangka akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Julai depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: