|
|
BUKAN mudah untuk menerobosi pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dan membuat persembahan di dewan yang penuh prestij itu.
Dewan yang benar-benar eksklusif itu tidak akan hanya memilih mana-mana artis untuk ditampilkan bagi membuat persembahan di sana.
Manakan tidak, jika hendak senaraikan artis tempatan khususnya yang membuat persembahan di DFP, percayalah, ia hanya mampu dibilang dengan jari sahaja.
Hanya mereka yang terbaik dan memiliki kredibiliti yang cukup tinggi sahaja merupakan intan yang terpilih untuk beraksi di dewan tersebut.
Lantas, apabila nama Noryn Aziz dipilih untuk mengisi slot DFP Spotlight: Jazz pada 12 Januari lalu, persoalan yang mula timbul adakah Noryn memiliki ciri-ciri seperti mana yang diperlukan untuk beraksi di DFP?
Mungkin ramai yang tidak akan bersetuju dan ada yang akan menyokong tetapi, jawapannya adalah ya.
Nama dan populariti Noryn bukan seperti artis-artis lain di mana nama mereka sentiasa bermain di bibir peminat mahupun masyarakat.
Tetapi, bakat dan kehebatan vokal yang dimiliki Noryn merupakan aset utamanya untuk terus menjadi seorang penghibur yang disegani.
Bagi mereka yang pernah menonton persembahan Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abd. Aziz sebelum ini, mereka mengakui hakikat itu.
Mungkin lagu dan genre muzik yang dibawanya dispesifikasikan untuk kelas atau golongan masyarakat tertentu sahaja, tetapi itu bukan satu halangan buat Noryn untuk mempamerkan bakatnya kepada semua golongan.
Ternyata pengalaman selama menjadi penyanyi di lounge dan kelab malam telah banyak membantu serta mengajar Noryn untuk menjadi seorang penghibur.
Dan, kesemuanya itu cukup terserlah sewaktu dia mengadakan persembahan di DFP tempoh hari yang rata-rata mendapat pujian serta respons positif daripada penonton.
Memulakan persembahannya tepat pukul 9 malam dengan gaun petang yang sarat dengan labuci perak rekaan Bill Keith, Noryn tidak menunggu lama untuk menghangatkan suasana apabila tampil dengan lagu pertamanya, Lady Sings The Blues.
Ternyata lagu nyanyian asal Billie Holiday yang juga merupakan idola Noryn dibawakan dengan cukup baik dengan gayanya yang tersendiri.
Begitu juga sewaktu dia menyampaikan lagu keduanya, Feeling Good yang benar-benar memukau audiens dengan lontaran vokalnya yang ampuh itu.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada malam ini dan kehadiran anda benar-benar mengharukan serta menggembirakan saya,
"Apabila mengetahui kesemua tiket untuk persembahan malam ini habis dijual dalam masa yang singkat, membuatkan saya lagi bersemangat untuk membuat persembahan" ungkap Noryn dalam nada terharu sebelum memulakan rangkaian lagu-lagu seterusnya.
Menyedari namanya kembali menjadi perhatian apabila membuat kemunculan semula pada tahun 2007 menerusi album Alam Maya, Noryn tidak lupa untuk menyampaikan lagu-lagu dari album tersebut.
Menamakannya sebagai medley Alam Maya, Noryn terus melontarkan vokalnya menerusi lagu-lagu seperti Alam Maya, Make It On My Own, Lara dan Kembalikan dengan muzik yang lebih segar dengan diiringi lapan pemuzik profesional serta dua penyanyi latar, Najwa dan Mode.
Peluang beraksi di DFP juga digunakan sepenuhnya oleh Noryn untuk mempromosikan lagu-lagu terbarunya yang akan dimainkan di corong-corong radio tidak lama lagi.
Salah satunya ialah Kesungguhan Cinta yang merupakan komposisi sepenuhnya oleh Noryn sendiri dan lagu terbarunya itu menampilkan sisi lain Noryn.
Seperti mana yang pernah dikatakan Noryn sebelum ini, dia mahu tampil dengan muzik yang berbeza tetapi masih mengekalkan sentuhan muziknya seperti mana sebelum ini.
Tidak keterlaluan dikatakan, Kesungguhan Cinta mampu menarik perhatian pendengar kelak kerana ciri lagu itu yang mesra telinga.
Entah mengapa, apabila mendengar lagu tersebut fikiran terus melayang kepada lagu-lagu yang pernah disampaikan oleh Datuk Sheila Majid dan Liza Aziz.
Persembahan Noryn di DFP bukan sekadar mahu menonjolkan bakatnya kepada khalayak yang mungkin sebelum ini kurang mesra dengan lagu-lagunya.
Tetapi, kata Noryn, persembahannya adalah lebih daripada segala-galanya kerana dia mahu mengajak audiens mengenali kepelbagaian muzik jazz.
Kerana itulah, menerusi segmen seterusnya, Noryn tampil dengan lagu-lagu jazz yang cukup melankolik dan sentimental.
Malah, atmosfera DFP yang sebelumnya hangat tiba-tiba berubah menjadi dingin dengan serta-merta.
Ditambah dengan pencahayaan yang terhasil daripada mirror ball yang tergantung di tengah-tengah dewan, melengkapkan lagi segmen tersebut.
Membawakan lagu-lagu seperti Misty, My Funny Valentine dan All of Me, persembahan Noryn cukup mengasyikkan dan berjaya membawa fikiran audiens melayang serta melayan emosi seketika.
Untuk persembahan seterusnya, Noryn membuat kejutan apabila menampilkan juara Idola Kecil 2, Siti Amirah Dayana Mohd. Amerullah atau Dayana yang turut mempamerkan kehebatannya dalam menyampaikan lagu-lagu jazz.
Bak kata Noryn sebelum ini, dia mahu memberi peluang kepada bakat baru untuk terus mempelopori irama jazz sekali gus mempelbagaikan lagi bakat dalam muzik berkenaan.
Menyampaikan lagu Somewhere Over The Rainbow dan L-O-V-E secara duet, keserasian antara Noryn dan Dayana cukup terserlah dan tidak mustahil untuk Dayan menjadi anak didik Noryn selepas ini.
Meneruskan persembahan, Noryn menyampaikan lagu-lagu I'm Alright, Izinkan Aku dan Bila-Bila Saja yang juga merupakan lagu-lagu terbaru ciptaannya dan bakal dimuatkan dalam album terbarunya nanti.
Sewaktu menyampaikan lagu Bila-Bila Saja, audiens dikejutkan dengan kemunculan istimewa, Joe Flizzow yang mengiringi Noryn menerusi lagu berkenaan.
Kehadiran Joe sememangnya telah menukar suasana DFP sehingga ada yang bangkit dari tempat duduk dan terus menari bersama.
Lagu-lagu seperti Love For Sale dan Cerita Cinta juga menjadi taruhan Noryn untuk mempamerkan kehebatan serta kemantapan vokalnya itu.
Menyedari penonton dan peminat yang tidak mahu berganjak dari tempat duduk mereka, Noryn menghadiahkan lagu indah nyanyian asal Brenda Russell, Get Here dengan gaya tersendiri yang cukup memukau.
Mengakhiri persembahan dengan lagu Masquenda, durasi hampir dua jam itu berlalu dan bagaikan tidak terasa menonton persembahan Noryn.
Cuma, mungkin untuk persembahan di masa hadapan, Noryn boleh mempelbagaikan lagi persembahannya dengan membawakan lagu-lagu Melayu klasik dengan caranya sendiri.
Persembahan Noryn di DFP akan menjadi lebih manis dan meninggalkan impak besar seandainya dia menyampaikan lagu-lagu Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma dalam versi jazz.
Bukankah lebih indah sekiranya lagu-lagu seperti Getaran Jiwa, Jelingan Manja, Tunggu Sekejap, Bunyi Gitar, Bila Larut Malam, Tiru Macam Saya dan Cik Cik Keboom dinyanyikan Noryn pada malam itu.
Bukan apa, alang-alang sudah berpeluang mengadakan persembahan di DFP, tidak salahnya jika Noryn menyelitkan segmen seperti itu.
Mungkin Noryn boleh fikirkan cadangan ini demi kebaikannya juga untuk terus memperkasakan namanya sebagai seorang penghibur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: