Wednesday, January 27, 2010

Emy Tak putus asa

BERSUA dengan gadis manis bernama Nuremy Nadia Ramli atau mesra disapa Emy, mungkin ramai yang tidak perasan dia adalah pelakon yang pernah menimba pengalaman bersama pelakon popular seperti Rosyam Nor dan Erra Fazira ketika membintangi filem Castello pada 2006.


EMY...mahu serius dalam lakonan. EMY...mahu serius dalam lakonan. BERBAKAT...Emy percaya lakonan adalah masa depannya. BERBAKAT...Emy percaya lakonan adalah masa depannya.

GIGIH...Emy belajar tarian rambang untuk berlakon.
GIGIH...Emy belajar tarian rambang untuk berlakon.

BERSUA dengan gadis manis bernama Nuremy Nadia Ramli atau mesra disapa Emy, mungkin ramai yang tidak perasan dia adalah pelakon yang pernah menimba pengalaman bersama pelakon popular seperti Rosyam Nor dan Erra Fazira ketika membintangi filem Castello pada 2006.


Ketika itu, Emy melakonkan watak Chalita zaman remaja iaitu gadis Siam yang berkahwin dengan lelaki Melayu iaitu Castello lakonan Zain Ruffedge sebelum watak ini dijayakan Erra dan Rosyam untuk zaman dewasa.


Dalam filem arahan Badarudin Azmi atau Bade ini, Emy diberi peluang pertama kali muncul di layar perak. Nyata, pengalaman berkenaan menjadi titik tolak pada minatnya untuk terus berlakon.


Kata Emy, hasratnya untuk berlakon hadir tanpa diduga apabila dia menemani rakan ke uji bakat untuk filem berkenaan.


Bagaimanapun, seminggu selepas uji bakat diadakan menerusi agensi lakonan, dia dihubungi dan dimaklumkan mendapat tawaran berlakon filem itu.

Menerusi filem yang sama, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22, Liyana Jasmay turut muncul berlakon, malah Liyana berjaya sebagai Pelakon Harapan Wanita Terbaik di FFM19. Jika diikutkan, Emy dan Liyana adalah pelakon seangkatan yang mula menceburi lakonan di peringkat awal.


Namun, rezeki Emy tidak seperti Liyana yang lebih banyak mendapat tawaran berlakon hingga meraih pencapaian besar. Bagi Emy, dia tidak berkecil hati mahupun cemburu dengan kejayaan Liyana. Dia percaya setiap pelakon atau sesiapa saja mempunyai rezeki masing-masing yang ditentukan Tuhan. Malah, dia sendiri tetap beri sokongan dan tumpang gembira dengan kejayaan rakannya itu.

"Saya positif melihat kejayaan orang lain. Liyana adalah pelakon yang bagus dan layak menang anugerah atas usaha yang dilakukan.


"Mungkin rezeki dia sampai awal dan rezeki saya untuk sampai ke tahap itu belum lagi. Namun, saya melihat kejayaan orang lain menyuntik semangat saya bekerja keras menjadi pelakon berjaya seperti mereka.


"Seharusnya tidak perlu timbul perasaan cemburu pada kejayaan orang lain. Apa yang penting, pelakon perlu memperbaiki mutu lakonan agar memberi kepuasan pada diri sendiri dan penonton.


"Sebenarnya, selepas Castello saya turut diberi peluang muncul dalam filem Maut arahan Bade. Namun, selepas itu saya menyepi seketika selama dua tahun kerana melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma dalam pengurusan perniagaan.


"Ketika dua tahun tidak berlakon, saya mula terfikir apa matlamat hidup saya selepas ini. Apabila habis belajar saya sempat kerja sementara di bank, tetapi saya tidak berkesempatan berlakon kerana terikat dengan waktu kerja yang sibuk.


"Kini, saya sudah mengambil keputusan untuk kembali berlakon secara serius. Saya percaya lakonan adalah masa depan untuk saya teruskan. "Sebelum ini saya merasakan terlalu banyak buang masa dan kini apabila kembali semula berlakon, saya mahu berusaha gigih untuk berjaya," katanya.


Mengenai lakonan baru, Emy menyatakan dia terbabit dengan telefilem Rambong arahan pertama Zul Huzaimy. Dalam telefilem itu, dia meraih kepercayaan membawakan watak utama sebagai Indah yang juga gadis Siam. Memberikan cabaran, Emy bergandingan bersama Zul sebagai pasangan kekasih. Ia mengisahkan kehidupan penari tarian rambong dari Siam iaitu Indah yang berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk konflik keluarga.


Indah kemudian jatuh cinta dengan Che Yem (lakonan Zul) yang juga penari hingga berlaku satu kejadian luar jangkaan. Penggambaran telefilem ini yang dijalankan di perkampungan masyarakat Siam di Pengkalan Hulu, Perak pada Ogos lalu turut dibintangi pelakon berpengalaman lain seperti Eman Manan dan Shoffi Jikan.


"Saya tidak tahu mengapa watak gadis Siam sinonim dengan kemunculan diri saya sebagai pelakon. Mungkin rupa saya seperti gadis Siam atau impak Castello masih kuat pada penampilan diri saya.


"Namun, berbeza dalam Maut sebelum ini, saya tampil sebagai roh. Dalam telefilem ini, cabaran saya perlu belajar menari. "Selalunya sebelum penggambaran, saya perlu berlatih menari selama dua jam. Biarpun tidak banyak langkah tarian yang perlu dihafal, tetapi pengalaman yang ditimba kali ini menyeronokkan.


"Dari aspek watak, ia juga mencabar kerana ini adalah lakonan pertama saya sebagai pelakon utama. Ketika berlakon, saya perlu berhati-hati dengan lakonan yang ditunjukkan agar tidak tenggelam daripada watak lain. "Apapun, saya seronok melalui kehidupan sebagai pelakon. Pengalaman dimarah ketika berada di lokasi penggambaran menjadi panduan pada saya untuk belajar memperbaiki kelemahan diri.


"Sejak dua tahun tidak aktif berlakon, saya kurang mendapat tawaran berlakon mungkin kerana saya seperti menghilangkan diri.


"Namun, Zul hubungi saya dan mengajak saya berlakon semula, saya kembali bersemangat untuk terus berlakon. Buat masa ini, saya turut mendapat tawaran berlakon satu drama episod baru, tetapi ia masih dalam perbincangan.


"Saya berharap untuk kembali berlakon ke layar perak dan mendapat lebih banyak peluang yang mencabar diri. Saya kagum dengan bakat pelakon hebat seperti Fauziah Nawi dan Noorkhiriah yang mampu menjiwai watak dengan cemerlang.


"Biarpun tanpa ilmu lakon secara akademik, tetapi saya berusaha belajar daripada pengalaman orang lain. Namun, jika ada peluang untuk sertai bengkel lakonan saya tertarik untuk turut serta," katanya.


Mengenai cabaran pelakon baru yang makin bertambah, Emy positif dengan perkembangan berkenaan dan berharap ia membantu meningkatkan persada hiburan tempatan.


Katanya, setiap pelakon memberi saingan yang sihat pada pelakon lain.


Biarpun sudah empat tahun mengukir nama sebagai pelakon, Emy masih menganggap perjalanan hidupnya bagai baru bermula.


"Saya tidak kisah jika masih diberi watak gadis Siam selepas ini. Namun, jika diberi peluang saya ingin mencuba watak yang lebih mencabar yang seperti isteri didera suami atau orang gila.


"Watak seperti ini menggambarkan realiti kehidupan manusia dan ia memerlukan penghayatan yang mendalam untuk berjaya. Pada saya, pelakon tidak semestinya cantik ketika berlakon, tetapi harus pandai menjiwai watak dengan baik," katanya.


>Profil
NAMA: Nuremy Nadia Ramli
NAMA KOMERSIAL: Emy
TARIKH LAHIR: 7 April 1986
USIA: 23 tahun
ASAL: Sungkai, Perak
ADIK-BERADIK: Anak keempat daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL)
FILEM: Castello dan Maut
TELEFILEM: Rambong

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: