Salina Saibi suka mencabar kemampuan diri untuk memperoleh hasil lakonan berkesan seperti pernah ditonjolkan menerusi filem Bohsia
TOLAK ISU SENSASI...kontroversi bukan pilihan Salina.
NAMA pelakon Salina Saibi mungkin sudah tidak asing dan sinonim dengan Skop Production Sdn Bhd (Skop) milik Datuk Yusof Haslam. Ini kerana, kebanyakan drama diterbitkan produksi itu pasti menampilkan Salina dengan watak sesuai dengannya.
Malah, isteri dan ibu kepada seorang anak ini kelihatan cukup selesa di bawah payung pengarah dan penerbit yang pernah mendapat jolokan 'The Six Million Dollar Man' itu. Apakah Salina tidak pernah berasa jemu dan mahu mencuba nasib di tempat lain? Berusia 28 tahun, Salina mengakui buat masa ini dia selesa menyumbangkan keringat seninya bersama Skop. Katanya, biarpun ada usikan nakal mengatakan dirinya 'anak emas' Yusof, wanita kelahiran ibu kota ini menerimanya dengan hati terbuka.
"Saya sangat bersyukur Tuhan menetapkan rezeki melimpah-ruah di Skop. Bahkan, jika saya dianggap 'anak emas' Skop pun, apa salahnya kerana sepanjang bekerja dengan produksi itu, kebajikan artis dijaga baik. Malah, bayaran pun saya terima cukup baik.
"Terus terang, saya katakan di Skop bayaran gaji dibuat secara bulanan. Dalam erti kata lain, setiap bulan ada saja duit di akaun dan tidaklah risau sangat soal kewangan. Selain itu, saya memang senang bekerjasama dengan Datuk (Yusof) yang memahami.
"Lagipun, kami semua bekerja umpama satu keluarga. Boleh dikatakan, setiap bulan mesti akan berkumpul bersama tak kira di mana saja. Kami seisi warga Skop akan makan bersama, membuat barbeku dan ia mengeratkan hubungan baik sesama sendiri," katanya.
Ditanya mengenai 'kontroversi' sering melanda artis yang berlakon drama dan filem terbitan Skop, Salina berkata, dia memang tak sukakan isu sensasi. Justeru, isteri kepada Azmir Osman, 46, itu lebih selesa memilih untuk menonjolkan sikap sebenar diri.
Malah, Salina mengakui dia berpegang kuat dengan pesanan Yusof supaya menjaga tingkah laku dan disiplin memandangkan karier sebagai artis serta melakonkan watak polis dalam drama. Jadi, semestinya apa dilakukan menjadi perhatian masyarakat.
"Pada pandangan saya, soal kontroversi ini bergantung kepada seseorang individu itu. Sebagai manusia, Tuhan sudah memberikan otak untuk berfikir dan gunakanlah sebaik mungkin. Bagi saya, popular dengan kontroversi tidak ke mana dan ia memalukan," jelasnya.
Menang anugerah Aktres Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) tahun lalu menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Salina berkata, hingga ke saat ini, dia masih tidak percaya meraih trofi itu kerana saingan yang sengit.
"Saya tidak pernah terfikir dapat memilikinya. Tetapi, inilah dinamakan rezeki dan saya terima dengan penuh rasa kesyukuran. Apapun, saya ada menerima tawaran berlakon filem. Namun, terpaksa ditolak kerana lokasinya di luar Kuala Lumpur (KL).
"Anak saya, Farah Syakira Azmir (Kiera) pun masih kecil. Baru berusia sembilan bulan dan menyusu badan. Jadi, satu kesukaran kepada saya sekiranya menjalani penggambaran di KL. Justeru, biarlah sekarang ini saya berkorban minat demi anak tersayang.
"Ini kerana, saya mahu memberi lebih fokus pada proses pembesaran Kiera dan kasih sayang terhadapnya. Malah, saya pun tidak bercadang untuk melahirkan anak kedua kerana Kiera masih kecil. Saya mahu dia merasai kasih sayang ibu bapa secukupnya.
"Sekarang, saya memang fikir hendak besarkan Kiera dulu. Kalau usianya sudah mencecah dua atau tiga tahun, baru fikir tambah anak. Lagipun, saya sendiri tak mahu anak rapat kerana kasih sayang terutama sebagai ibu yang berkerjaya," katanya.
Ditanya perihal karakter dalam filem yang diidamkan, Salina berkata, dia sanggup menunggu untuk berlakon watak yang mencabar seperti pernah ditonjolkan menerusi Bohsia. Menurutnya, dia suka mencabar kemampuan diri dan hasilnya lakonan berkesan.
"Saya inginkan watak 'meletup' kerana boleh berpuas hati dengan lakonan diketengahkan. Justeru, saya tak kisah berlakon lebih banyak drama daripada filem. Menerusi drama, saya tahu banyak kekurangan dalam lakonan boleh diperbaiki.
"Cuma, kena tahu apa kelemahan itu dan berubah menjadi lebih baik. Jadi, saya memang banyak belajar berlakon dalam drama sepanjang lapan tahun bergiat aktif," kata dramatis yang suka membeli-belah dan menyimpan impian bergelar pengacara ini.
Berbicara mengenai perkembangan kariernya, tanpa berselindung Salina menjelaskan, setiap bulan dia pasti menerima tawaran berlakon. Katanya, dia baru selesai menjayakan drama 13 episod dan kini sibuk di lokasi penggambaran Gerak Khas.
>Profil NAMA: Salina Saibi PANGGILAN: Salina ASAL: Kuala Lumpur TARIKH LAHIR: 10 Januari 1982 USIA: 28 tahun KARIER : Pelakon STATUS: Berkahwin SUAMI: Azmir Osman, 46 ANAK: Farah Syakira (Kiera), sembilan bulan DRAMA: Antaranya CID 3278, Airmata Maria, Pasrah, Kembali Bertaut, 3 X 3, Calon Suami, Bila Guruh Bergempita, Gym (sitkom), Payunng Ke Syurga, Farah Nina dan Spy Man.
FILEM: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam PENCAPAIAN: Anugerah Aktres Pembantu Terbaik FFM22
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: