|
|
PEMBIKIN filem, Mansor Puteh yang terkenal dengan kritikan pedasnya menempelak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) kerana memberi komen negatif terhadap karya terbarunya The Residency Years.
Dokumentari berdurasi 48 minit yang dihasilkan Mansor itu berkisar tentang perjalanan hidup Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman.
Penggambaran dokumentari itu kebanyakannya di lakukan di United Kingdom termasuklah di Universiti Cambridge, salah satu universiti tempat Tunku belajar. Menariknya dalam The Residency Years, beberapa paparan eksklusif diketengahkan Mansor seperti temu bualnya dengan Allahyarham serta gambar-
gambar peribadi yang tidak disimpan di mana-mana arkib.
Mansor turut mendedahkan perkahwinan kakaknya iaitu Rokiah Puteh dengan anak angkat Tunku iaitu Syed Abdullah Barakbah memudahkan lagi untuknya mendapatkan bahan-bahan eksklusif bekas Perdana Menteri itu.
“Sayangnya apabila dokumentari ini diberi kepada Finas untuk dinilai, mereka memberi 13 alasan yang tidak munasabah sambil menafikan tentang eksklusifnya dokumentari ini,” katanya.
Saya bertanya kepada Mansor adakah selama ini panel di Finas itu tidak mahir untuk membuat penilaian, beliau menjawab “ya”.
Ikuti penjelasan Mansor, graduan dalam bidang perfileman dari Universiti Columbia, New York, Amerika Syarikat ini berhubung kekecewaannya terhadap Finas.
Boleh jelaskan susah payah saudara untuk menghasilkan dokumentari ini?
Saya tak nak tunjuk yang saya sebenarnya baik dengan Tunku (Abdul Rahman). Tapi penghasilan dokumentari ini adalah sebenarnya adalah untuk menunjukkan betapa pentingnya Perdana Menteri pertama kita untuk diingati. Masa nak buat cerita ini, saya dah berjumpa dengan Ketua Pengarah Finas dan dia bersetuju. Kemudian saya melakukan penggambaran di Kuala Lumpur dan tempat-tempat bersejarah Tunku semasa dia belajar di England. Menariknya saya pergi ke rumah tempat tinggal Tunku berdekatan dengan Universiti Cambridge. Rumah itu masih ada sehingga hari ini. Tiga buah rumah tempat tinggal beliau saya kunjungi dan berjaya jejaki. Itu sesuatu yang amat menarik. Pemilik rumah itu pun terkejut apabila diberitahu rumah mereka pernah didiami bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Apa sentimentalnya saudara dengan Tunku?
Banyak kenangannya. Saya kenal Tunku sejak kecil. Kakak saya iaitu Rokiah berkahwin dengan anak angkat Tunku bernama Syed Abdullah Barakbah. Tunku menganggap abang ipar saya itu macam anaknya sendiri. Hubungan itu menjadi rapat. Semasa saya balik dari Amerika Syarikat, saya beritahu kakak saya untuk bertemu Tunku. Permintaan saya diterima dan Tunku bersetuju. Masa itu terus saya rakam perbualan saya dengan Tunku. Alhamdulillah, pita rakaman itu saya terjumpa di dalam rumah dan saya turut memuatkan dalam dokumentari ini. Malah gambar-gambar dalam simpanan saya juga ada beribu keping mengenai Tunku yang eksklusif.
Temu bual itu berkisar tentang apa?
Saya bertanya tentang pandangan Tunku terhadap dunia perfileman dan sebagainya. Dan dia menjawab dengan baik. Malah pita itu juga masih dalam keadaan baik.
Apa istimewanya dokumentari ini?
Dokumentari ini pada saya adalah hadiah istimewa untuk rakyat Malaysia sebagai tanda penghargaan terhadap beliau. Saya yakin semua orang mahu menyaksikan kisah di sebalik kehidupannya sebagai Perdana Menteri. Malah tidak semua orang pernah menyaksikan di mana tempat dia tinggal dan belajar. Selain itu apa yang ingin saya tekankan ialah Tunku adalah pencetus kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Setiausaha Agong OIC yang pertama. Sebab itu dokumentari ini penting dan boleh diberikan kepada negara-negara OIC yang lain untuk disiarkan di negara mereka. Ini juga merupakan dokumentari pertama di dunia dilakukan oleh orang dalam iaitu ahli keluarga Tunku sendiri.
Apabila Finas beri komen negatif dan 13 alasan mengenai kelemahan dokumentari ini, apa pandangan saudara?
Saya melihat panel yang menilai sesebuah karya di dalam Finas terdiri daripada mereka yang benar-benar tidak arif. Mereka tak tahu bahasa filem, “terminologi” serta tidak faham kenapa karya ini dihasilkan.
Anda terkejut mendapat alasan seperti itu?
Tentu sekali. Saya lihat pihak Finas membuat perbincangan tentang karya saya ini pada tahap yang begitu rendah. Saya punya pengharapan untuk mempromosikan karya ini ke tahap yang lebih tinggi dan ke negara-negara Islam. Bukan apa, Tunku cuba nak satukan umat Islam di seluruh negara dengan penubuhan OIC. Itu adalah elemen utama yang seharusnya pihak Finas nampak.
Mungkin Finas ada alasannya sendiri mengkritik filem ini. Mereka melihat daripada banyak pandangan.
Saya juga ada berikan salinan dokumentari ini kepada kawan-kawan saya di sekolah filem dan mereka kata okey. Begitu juga salinan ini saya serahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan saya mendapat surat penghargaan daripada pihak Istana Perak. Begitu juga Ratu Elizabeth melalui pegawainya menghantar surat terima kasih kerana pihak R.A Galeri melalui saya menghasilkan buku memuatkan gambar-gambar menarik Tunku. Saya hairan kenapa pihak Finas yang sepatutnya mahir dalam filem memberi kritikan yang tidak sewajarnya? Jika mereka ada ilmu filem, masalah ini tidak akan berlaku.
Mungkin dokumentari ini tidak mencapai standard yang ditetapkan?
Mereka di Finas hanya memandang tinggi karya seperti National Geographic. Tapi karya saya ini sebuah dokumentari yang lebih daripada tanggapan kita.
Apa sepatutnya Finas lakukan ketika menilai sesebuah karya?
Mereka tak ada kepakaran. Sepatutnya mereka yang jadi juru nilai kena bawa sesebuah karya itu kepada mereka yang ada kepakaran atau kelayakan untuk dibuat penilaian seperti pensyarah di universiti, orang di Aswara (Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan) dan sebagainya. Contohnya kalau nak menilai mengenai sesuatu karya berkenaan orang utan, panggillah pihak zoo yang mahir dalam bidang itu.
Apa harapan saudara sekarang?
Saya berharap dokumentari ini dapat disiarkan sempena hari lahir Tunku yang ke 107 tahun pada 8 Februari akan datang. Saya mahu masyarakat tidak akan terus melupakan beliau sebagai bapa kemerdekaan dan pengasas OIC.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: