|
|
BUKAN semua orang menyukai kita. Itu hakikat yang mesti diterima oleh sesiapa sahaja termasuklah gadis kecil molek ini. Semakin lama menjadi anak seni semakin banyak pengalaman yang dikutip yang secara tidak langsung mematangkan dirinya.
Setiap hari ada sahaja orang memperkatakan dirinya dan membuat tuduhan yang mengguris hati. Ini bukanlah perkara baru. Seakan tiada noktah untuk dirinya membuktikan apa yang diperkatakan itu tidak benar.
Ada yang mendakwa dia berlagak diva, tidak pandai berlakon dan paling teruk dihentam apabila cuma menjadi penyanyi pula. Itu belum lagi kisah peribadi mahupun kisah cinta yang sering kali dimainkan media massa.
Tapi bagi Liyana Jasmay semua itu langsung tidak memberikan kesan kepada dirinya. Dia tahu apa yang harus dilakukan dan tidak sekadar tunduk dengan desakan dan kutukan orang yang tidak senang dengan dirinya.
“Semua orang ada hak untuk bercakap apa saja. Tapi saya tahu apa yang saya lakukan,” kata Liyana ketika sesi fotografi baru-baru ini.
Akuinya lagi, dia tidak pernah membaca sebarang gosip di Internet yang tidak diketahui penulisnya.
“Untuk apa saya membaca kutukan mereka dan mengambil hati? Tulislah apa yang mahu ditulis dan cakap apa yang mahu dicakapkan. Saya tetap akan terus begini.
“Selagi gosip itu tidak mengaibkan saya dan keluarga, saya tak kisah. Biarlah mereka nak mengata apa sahaja asalkan tidak menjatuhkan maruah saya,” jelas Liyana lagi.
Semakin diiktiraf
Pengalaman berlakon sejak usia sembilan tahun memang benar-benar membuatkan gadis baru menginjak usia 20 tahun ini semakin dikenali di pentas lakonan.
Pengorbanan yang dilakukan oleh dirinya selama ini ternyata berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai pelakon filem terbaik Anugerah Skrin 2009 menerusi filem Kami The Movie.
Sebelum itu Liyana juga pernah dinobatkan sebagai pelakon filem wanita terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) yang ke 22 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.
Ramai yang mempertikaikan kemenangan Liyana dalam FFM22 memandangkan pada waktu itu filem Papadom lakonannya masih belum lagi ditayangkan di kepada umum.
Malah sesudah filem itu ditayangkan, banyak suara sumbang yang masih lagi mempertikaikan kemenangan Liyana. Alasannya ramai yang lebih berbakat dan lebih bagus berbanding dirinya.
Tidak bebekas dengan apa juga tohmahan, Liyana membuktikan yang dia layak digelar primadona filem Melayu apabila menewaskan pelakon-pelakon lain pada Anugerah Skrin yang lalu.
Ketika ditanya sama ada dirinya benar-benar layak merangkul anugerah tersebut mahupun tidak, Liyana menegaskan yang dia sebenarnya layak menerima anugerah tersebut atas usaha keras yang dilakukan selama ini.
“Saya telah berusaha sebaiknya dengan memberikan yang terbaik kepada semua. Lagipun kemenangan ini adalah atas penilaian juri-juri yang arif menilai dan bukannya atas permintaan saya.
“Saya berlakon atas dasar minat dalam setiap pekerjaan. Dan saya yakin apabila kita membuat sesuatu dengan ikhlas ia pasti memberikan pulangan kepada kita kembali.
“Saya juga tidak melihat kemenangan ini sebagai kemenangan saya seorang diri. Ini merupakan kemenangan untuk seluruh pasukan termasuklah pengarah dan semua yang terlibat.
Antara filem lakonan Liyana termasuklah Castello, Syaitan, Kami The Movie, Histeria, Maut, Pisau Cukur dan Papadom.
Filem baru
Kini Liyana berbangga melangkah ke tahun baru apabila filem Duhai Si Pari-Pari mula ditayangkan pada 30 Disember yang lalu dan sebagi pemain watak utama sudah pasti perasaan teruja menyelubung dirinya.
Sebagai filem penutup tahun 2009 sudah pasti Liyana mengharapkan tuah yang dikecapi sepanjang tahun itu turut berpihak kepadanya menjelang tahun baru.
Untuk itu dia kini juga berdebar-debar menantikan reaksi peminat terhadap lakonannya dalam Duhai Si Pari-Pari dan Niyang Rapik yang akan menjengah layar perak sedikit masa lagi.
Ada yang memberitahu Liyana kini sudah semakin mahal harganya dan membuatkan ramai pengarah berfikir dua kali untuk mengambilnya berlakon.
Benarkah dakwaan tersebut? Ketika diajukan soalan Liyana ternyata terkejut dengan dakwaan yang sama sekali tidak benar dan menyatakan dia masih lagi sama seperti dahulu.
“Saya tidak meletakkan soal bayaran di hadapan. Soal bayaran diletak dibelakang dan jiwa saya mesti didahulukan. Liyana Jasmay wujud dalam industri ini bukan kerana wang ringgit.
“Tapi itu tidak bermakna yang orang lain boleh sesuka hati meletakkan harga yang mereka mahu dan saya tak mahu orang lain pijak kepala saya,” tegasnya.
Antara sedar dan tidak, wajah manis Liyana tidak pernah lekang dengan publisiti yang diberikan oleh pihak media memandangkan banyak hasil kerjanya menemui peminat.
Dia juga bimbang andai kata peminat bosan melihat mukanya seringkali diberikan watak utama dalam bidang lakonan dan sebagai langkah selamat dia tidak mahu terburu-buru menerima tawaran berlakon menjelang tahun ini.
“Langkah ini terpaksa diambil bukan kerana saya sudah demand atau berlagak tetapi demi masa depan saya. Saya mahu lebih selektif agar dapat memberikan yang terbaik kepada semua,” jelasnya yang dilahirkan pada 28 Mac 1988 ini.
Gembira menyanyi
Sejak dahulu lagi Liyana sering kali mengimpikan untuk menjadi penyanyi dan merakamkan album. Kini impian tersebut sudahpun terlaksana apabila album mini yang mengandungi lima buah lagu sudahpun dilancarkan hujung tahun yang lalu.
Sekali lagi ada kata-kata nakal yang menyatakan album mini tersebut tidak ubah seperti album syok sendiri memandangkan semuanya dilakukan dengan menggunakan modal sendiri.
Enggan melatah dengan cakap-cakap belakang, Liyana yakin semuanya itu tidak benar dan tidak senang dengan dirinya yang mahu mempelbagaikan cabang seni untuk menjadi anak seni yang serba boleh.
“Sudah pasti orang yang mengutuk saya terdiri daripada mereka yang mendengar muzik saya. Mereka mendengar, mengkritik dan mengutuk. Apa yang positif akan saya ambil untuk memperbaiki kelemahan saya.
“Saya tidak kisah jika saya gagal menjadi penyanyi. Lagipun saya sedar saya bukan penyanyi gred A seperti penyanyi lain. Tapi terlalu awal untuk menentukan sama ada saya berjaya atau gagal dalam bidang nyanyian.
“Seandainya saya gagal itu memberikan pelajaran dan pengajaran kepada saya. Kalau kita tak gagal bermakna kita tak akan sedar dengan apa juga kesalahan yang telah kita lakukan. Biarlah saya gagal dahulu jika ia membantu saya untuk berjaya pada masa hadapan,” luahnya jujur.
Antara lagu yang terkandung dalam mini album tersebut termasuklah Aku Tak Percaya Cinta, Aku Jatuh Cinta, Pelik, Kejam dan Penyelamat Cinta yang kini sedang ligat diputarkan di corong-corong radio” katanya yang kini bernaung di bawah Metadome Sdn. Bhd.
Pada 15 Januari ini, Liyana akan terlibat dalam Konsert Alibi Kosmik di Wisma Bently, Damansara pada pukul 8 malam. Konsert yang bertemakan Glam Kosmik itu bagi memperkenalkan nama baru Alibi Music yang menggantikan Metadome.
Bagi peminat yang ingin mengetahui aktiviti terbaru mengenai Liyana Jasmay boleh melayari www.metamobile.com.my untuk maklumat lanjut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: