Tuesday, January 5, 2010

Keseronokan di Kem R2U


PENGALAMAN aktiviti lasak secara berkumpulan dapat membentuk keyakinan dalam diri setiap peserta.


PELUANG mengikuti kursus motivasi berkonsepkan summer camp (kem percutian musim panas) di kawasan peranginan yang jauh dari kesibukan kota adalah masa yang dinanti-nantikan setiap pelajar.

Peluang bukan sahaja memberi kesempatan untuk merehatkan diri daripada kesibukan tugas menuntut ilmu malah menimba manfaat berganda selepas tamat kursus.

Sejak dari dahulu lagi kem motivasi terbukti berkesan dalam usaha membakar semangat, memupuk jati diri dan memberi pendedahan kepada amalan berdikari dalam diri generasi muda.

Itulah sebahagian pengakuan 90 peserta kem Rehlah Remaja Terbilang Utusan (R2U) siri ketiga yang diadakan di Kem Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Ketibaan penulis di kawasan rimba yang damai itu dikejutkan dengan sorakan penuh semangat sekumpulan pelajar yang sedang berkumpul berhampiran sebatang anak sungai.

Aktiviti melibatkan lapan hingga 10 orang dalam satu kumpulan itu bermula dengan acara meredah aliran air sungai sedalam kira-kira satu meter.

Walaupun ada yang sudah basah kuyup, halangan kedua iaitu merangkak di bawah palang besi diredah tanpa rasa segan dan banyak alasan. Yang pasti, setiap daripada peserta menunjukkan semangat yang tinggi.

Tidak jauh dari situ, tembok konkrit setinggi 1.3 meter menanti mereka. Walaupun ada yang tidak dapat memanjat halangan itu, mereka tetap dibantu oleh rakan-rakan sepasukan. Semangat berpasukan yang datang melalui kursus motivasi malam sebelumnya.

Setiap tenaga yang tersimpan diperah untuk memastikan semua ahli pasukan dapat melepasi setiap halangan dan maju untuk halangan seterusnya iaitu monkey rack dan tarzan swing.

Kemuncak cabaran adalah terjunan flying fox sejauh 100 meter merentasi sebuah tasik buatan yang membawa peserta ke lokasi permulaan aktiviti luar pada petang itu.

Walaupun aktiviti hanya melibatkan sebahagian kawasan berkeluasan lima hektar di Nur Lembah Pangsun, cabaran yang disediakan penganjur sudah memadai bagi peserta berusia antara 11 hingga 16 tahun itu menikmati 'percutian' mereka.

Ketua Jurulatih Aktiviti Luar NLP, Rohazmi Kanafih berkata, aktiviti yang disediakan disusun dengan suasana dan persekitaran yang membina daya saing dan semangat berpasukan antara peserta.

Menurut Rohazmi, permainan yang bertujuan meningkatkan tahap kecergasan fizikal itu menggunakan pengalaman selama enam tahun pembabitannya dalam bidang aktiviti luar dan lasak.

"Sebagai langkah keselamatan, setiap kumpulan dikawal sepenuhnya oleh seorang petugas dan seorang fasilitator.

"Setiap halangan direka supaya ia tidak terlalu merbahaya dan tidak juga terlalu mudah sehingga membosankan pelajar," ujarnya.

Apa kata peserta

Bagi Amirul Abdul Kadir, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Bandar Tun Hussien Onn 2, penyertaannya di dalam R2U didorong kesedaran untuk melengkapkan diri dengan persediaan menghadapi cabaran yang bakal dihadapi pada masa akan datang.

Selain itu ujarnya, penglibatan dalam aktiviti lasak misalnya adalah pendedahan yang baik sebagai persediaan sebelum memasuki institusi pengajian tinggi.

"Saya sering diingatkan oleh ibu bapa supaya untuk menjadi pelajar yang lebih berdikari dan berdaya saing.

"Tidak ada alasan untuk saya menolak cadangan mereka kerana saya juga tahu kem motivasi seperti ini pasti menyeronokkan," ujarnya.

Tambah Amirul, selepas dua hari menyertai kem itu dia cukup berpuas hati dengan tempat penginapan, makanan dan tenaga pengajar.

Sementara itu, Siti Alya Naqiah Shaikh Ali, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putera, Baling, Kedah berkata, peluang berkenalan dengan pelajar-pelajar dari seluruh negara merupakan pengalaman yang sangat berharga.

"Di sini saya bertemu dengan ramai kawan dan belajar mengenali perbezaan antara kami.

"Selepas kursus kami masih boleh berhubung dengan menggunakan Internet," ujarnya yang berhajat untuk mengikuti R2U sejak dari tahun lalu.

Selain itu jelas Alya, rutin harian yang diatur sepanjang kem turut mengajar seseorang lebih menghargai masa.

"Setiap pagi kami bangun seawal 5.30 pagi untuk bersiap sedia melakukan aktiviti dan tidur seawal 10.30 malam," jelas Alya yang mencadangkan rakan-rakan lain untuk menyertai program itu pada masa akan datang.

Khairul Azim Othman, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Jaya, Kuching, Sarawak berkata, keseronokan kem R2U terletak pada aktiviti luar yang memupuk semangat berani dan berpasukan.

"Menghabiskan masa terlalu lama dengan belajar juga tidak menjamin masa depan.

"Ada masanya kita perlu bebaskan dari tekanan bilik darjah dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan,'' ujarnya yang merupakan ahli pengakap di sekolahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: