
Menurutnya, isu itu sengaja ditimbulkan pihak tertentu yang berkepentingan untuk menimbulkan keresahan rakyat di samping menimbulkan keraguan terhadap keupayaan kerajaan menangani kesan kemelesatan ekonomi dunia.
“Isu Cola ini sebenarnya tak ada, tetapi diada-adakan oleh pembangkang untuk menunjukkan kepada umum bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap nasib penjawat awam dalam menangani isu kegawatan ekonomi yang dialami negara sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan Bank Simpanan Nasional di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa dekat sini, semalam.
Awang Adek berkata, apa yang penting rakyat jangan terpengaruh dengan khabar angin oleh pembangkang yang cuba mencari keuntungan daripada modal politik murahan mereka.
Baru-baru ini isu penghapusan Cola dibangkit dalam blog selain disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), kononnya sebagai langkah penjimatan, memaksa Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu.
Dalam perkembangan lain, Awang Adek berkata, kira-kira 70 peratus sistem perbankan Islam yang dilaksanakan di negara ini mendapat penyertaan pelabur asing.
Menurutnya, peratusan itu membuktikan kepercayaan pelabur asing terhadap sistem perbankan Islam yang diamalkan di negara ini mendapat pengiktirafan dunia.
“Selepas negara Timur Tengah, Malaysia muncul negara terkemuka yang mengamalkan sistem perbankan Islam dunia,” katanya.
Awang Adek berkata, setakat ini Malaysia sudah melepasi sasaran untuk meningkatkan pelaksanaan sistem perbankan Islam 20 peratus di semua institusi kewangan di seluruh negara.
“Peningkatan yang tinggi ini amat ketara berbanding lima peratus sasaran awal sejak sistem itu diperkenalkan di seluruh negara pada 1980.
“Kita berasa bangga kerana kita merupakan negara paling aktif dalam sistem perbankan Islam di seluruh dunia dan ini merupakan suatu pengiktirafan yang tinggi kepada negara kita,” katanya.
Menurutnya, Malaysia kini membantu Afghanistan dalam melaksanakan sistem perbankan Islam di negara itu melalui khidmat nasihat dan tunjuk ajar.
Katanya, ini selaras usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan perbankan terbaik di dunia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: