| Kenyataan Nurul di beberapa dada akhbar menimbulkan banyak spekulasi mengenai penamatan kontraknya melalui satu panggilan telefon. Suara lantang Nurul menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap bekas syarikat naungannya, Alibi Music menyebabkan banyak pihak menuding jari terhadap tindakan tidak profesional yang berlaku. Menurut satu kenyataan, Nurul mendakwa Alibi Music gagal mempromosikan album Tika Cinta sehinggakan memaksa dirinya membawa album untuk dijual sendiri kepada peminat. Dan adalah tidak adil sekiranya kontraknya ditamatkan jika jentera promosi tidak melakukan tanggungjawab sepatutnya. Itu kenyataan sebelah pihak yang dikeluarkan Nurul berhubung masalah tersebut.
Mangga Online cuba mendapatkan maklum balas daripada Alibi Music dan berikut adalah kenyataan balas daripada Pengurus Besar Alibi Music, KC Ismail.
"Kontrak Nurul bersama Alibi Music sudahpun tamat. Adalah perkara biasa menamatkan kontrak untuk artis yang tidak perform. Namun kami telahpun menghubunginya dan berbincang akan perkara tersebut dan Nurul sendiri tahu kenapa kontraknya tidak dilanjutkan. "Dan untuk kes Nurul, kami telah berusaha dan mempromosi album beliau, namun jualan album tetap kurang daripada 100 unit dan jumlah muat turun pula tidak sampai 200 kali. "Kami adalah syarikat perniagaan dan perlu memikirkan strategi keuntungan dan sebab untuk tidak menyambung kontrak Nurul adalah kukuh jika produknya tidak mendatangkan keuntungan kepada syarikat.
"Lagu Tika Cinta telah kami hantar ke stesen radio untuk diputarkan, namun tidak mendapat sambutan. Seterusnya kami usaha mempromosikan lagu Kala Hati dan Sepenuh Jiwa, namun keputusannya masih sama, tidak memberansangkan. Jika peminat tidak kenal lagu Nurul, bagaimana mereka ingin membeli album tersebut. Jika Nurul kata kami tidak menjalankan tanggungjawab, saya memang tidak setuju kerana kami telah cuba mempromosikan album beliau sehingga ke Singapura.
"Sewaktu saya memaklumkan beliau bahawa kontraknya tidak akan disambung, Nurul menerimanya dengan baik dan mengatakan beliau ada menerima beberapa tawaran daripada syarikat rakaman lain. "Dan kenapa Nurul tidak muncul dalam Konsert Alibi Kosmik kerana penganjuran konsert berkenaan adalah untuk memperkenalkan barisan artis naungan Alibi Music. Kontrak Nurul telahpun tamat ketika itu dan kami tidak bercadang untuk menyambungnya. Lainlah jika kami menyingkirkannya tanpa memberi sebarang notis. Mungkin itu akan menjadi satu kesalahan.
"Surat penamatan kontrak akan diberikan kepada Nurul minggu ini dan kami harap Nurul terus berjaya dalam kerjaya seninya," ujarnya menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku. |
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: