![]() |
| Pengunjung dari Korea Selatan sempat menari dengan penduduk sekitar Kampung Pelegong, Seremban, baru-baru ini. |
SEREMBAN “Duduk di Inap Desa Kampung Pelegong, terasa tak mahu balik ke Korea.”
Itulah yang diluahkan oleh seorang pensyarah dari Korea Selatan, Choi Su Hee, 36. Katanya lagi, kalau makan masakan orang Negeri Sembilan, pedasnya sampai ke telinga.
“Kalau mampu bertahan, anda memang hebat. Tetapi kami rasa pedasnya boleh dibawa balik ke Korea,’’ katanya sambil tersenyum.
Su Hee adalah seorang daripada 20 ahli rombongan yang terdiri daripada tenaga pengajar dan pelajar Sekolah Menengah dan Pertengahan Cheong Am, Seoul, Korea yang berkunjung ke Inap Desa Kampung Pelegong, dekat sini, baru-baru ini.
Katanya, pengalaman berada di negeri ini – juga Malaysia – merupakan sesuatu yang tidak akan dilupakan, apatah lagi berada dalam kawasan kampung sebegini.
“Ia memang berbeza berbanding kawasan kampung kami di Korea. Di sini hutannya permai, rumahnya unik, penduduknya baik hati,” ujar beliau lagi.
Tambahnya, tinggal di kampung itu selama empat hari dan mempelajari adat resam penduduk merupakan kisah hidup yang menarik dan akan dibawa pulang ke pengetahuan pelajarnya.
Beliau memberitahu, apa yang tidak dapat dilupakan ialah kemesraan dan layanan keluarga angkat yang memberikan kesan mendalam buat dirinya biarpun terdapat jurang daripada segi komunikasi dan budaya.
Pendapat sama turut dikongsi oleh Lisa Lee Abdullah, 53, yang menyatakan tiada perkataan yang boleh menggambarkan keseronokannya semasa dipilih untuk menyertai program lawatan ke inap desa itu.
“Ini adalah kunjungan keempat saya ke Malaysia tetapi ini juga pengalaman pertama dalam menikmati suasana kampung.
“Sebelum ini saya pernah melawat Pulau Pinang, Kedah dan Kuala Lumpur. Sesuatu yang menarik di Malaysia ialah keramahan penduduknya.
“Orang Malaysia baik budi pekerti. Kami suka datang ke sini kerana jiwa kami sama seperti orang Malaysia. Lembut, peramah dan hormat-menghormati,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Promosi Inap Desa Kampung Pelegong, Nor Madiah Sahid berkata, program berkenaan merupakan sesuatu yang biasa dilakukan khususnya membabitkan agenda pertukaran belia dan budaya.
“Ini adalah cara kami memperkenalkan Malaysia. Pelancong akan diajar selok-belok duduk di kawasan kampung dan menikmati suasana berbeza dengan perumahan mereka di negara masing-masing,” ujarnya.
Pada masa yang sama katanya, penduduk kampung itu akan menonjolkan identiti masyarakat setempat melalui gaya kehidupan di kawasan ini.
“Apa yang pelancong nikmati adalah rutin harian yang kami amalkan di sini.
“Kalau makan, mereka akan merasa masakan lemak cili api daging salai, persembahan kebudayaan, kuih-muih, selain dibawa melawat sebuah ‘perigi dara’ yang terdapat di sini,” ujarnya.
Kata beliau, di sini juga kami menyediakan cara memasak lemak dan dodol.
“Saya yakin mereka yang datang ke inap desa ini pasti akan merasa gembira dan ‘rindu’ sampai bila-bila selain teruja untuk kembali ke sini,” tegasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: