Monday, January 11, 2010

Gempa bumi landa utara California


BEBERAPA orang berdiri di luar pusat beli-belah Bayshore Mall selepas satu gempa bumi berlaku di California kelmarin.

SAN FRANCISCO – Satu gempa bumi dasar laut yang kuat mengejutkan penduduk di utara California, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Gempa bumi itu menyebabkan sejumlah rumah dan premis perniagaan mengalami kerosakan kecil manakala ramai penduduk mendapatkan rawatan perubatan kerana luka terkena serpihan barang.

Pusat Kajian Geologi AS menyatakan gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter itu melanda kira-kira pukul 4.27 petang waktu tempatan dan berpusat di Lautan Pasifik kira-kira 35 kilometer ke barat Ferndale.

Namun, gegaran gempa bumi itu dapat dirasai pada jarak beratus-ratus kilometer iaitu dari bandar Capitola, tengah California, di selatan AS sehingga ke negeri Oregon, utara negara itu.

Jurucakap Daerah Humboldt, Phil Smith-Hanes berkata, sejumlah penghuni sebuah pangsapuri di Eureka yang terletak kira-kira 385 kilometer ke utara bandar raya San Francisco dipindahkan selepas gempa bumi itu.

Menurutnya, sebuah bangunan pejabat dan beberapa bangunan perniagaan di lokasi itu turut diisytiharkan tidak selamat untuk didiami.

Lebih 12 gempa bumi susulan melanda pesisir pantai California selama beberapa jam selepas gempa bumi pertama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: