SHAH ALAM: Suspek kes bunuh empat beranak di Gemencheh, Negeri Sembilan, dikatakan bijak menyembunyikan perbuatannya menanam kepala seorang daripada mangsa di sudut hujung dan terlindung di kawasan Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini sehingga tindakannya tidak disedari penjaga kawasan itu.
Penjaga kawasan perkuburan itu, Sri Mulyadi Sri Soetarmanto, 45, berkata beliau yang melakukan pemeriksaan di seluruh kawasan itu sebagai rutin harian terkejut apabila dipanggil polis ke situ pada jam 9 malam kelmarin untuk disoal berkaitan kes berkenaan.
"Saya terkejut apabila pihak polis memanggil saya supaya datang ke kawasan perkuburan malam semalam (kelmarin) untuk disoal mengenai kepala mangsa bunuh, Ismail Awang, 76, yang dikatakan ditanam di situ.
"Saya melakukan pemeriksaan di seluruh kawasan perkuburan itu setiap hari bagi memastikan kawasan itu sentiasa dalam keadaan baik dan tiada sebarang aktiviti mencurigakan dilakukan, termasuk penanaman apa-apa objek tanpa pengetahuan.
"Namun, ketika saya memeriksa di situ kelmarin saya tidak perasan langsung adanya benda yang ditanam," katanya ketika dihubungi, semalam.
Sri Mulyadi yang sudah menjadi penjaga kawasan perkuburan itu sejak 26 tahun lalu berkata, kepala mangsa bunuh itu ditanam di sebelah pagar yang memisahkan kawasan kubur kanak-kanak dan kebun sayur bersebelahan, iaitu di hujung tanah perkuburan menyebabkan ia sukar dilihat.
Tinjauan wartawan ke lokasi kepala mangsa ditemui melihat sebuah lubang berukuran kira-kira sebesar sebiji bola sepak yang sudah dipenuhi air bersebelahan pagar terbabit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: