Sunday, January 10, 2010

Buat apa rasa bersalah - Zizie



PELAKON Zizie Ezzette, 31, masih panas dengan isu kahwin dan menjadi isteri nombor dua. Walau ada yang sudah berasa muak dengan berita perkahwinan yang disensasikan, masih ada yang mahu membaca perkembangan terbaru dramatis bertubuh montok dan berkulit putih gebu ini.

Lebih-lebih lagi selepas diberitakan pelakon ini menerima sebuah kereta mewah BMW, banglo dan dibawa berbulan madu sehingga ke Eropah sebagai hadiah perkahwinannya.

Zizie melalui panggilan telefon yang dibuat tidak lama dulu memberitahu kehidupannya sebagai isteri kini cukup tenang.

Tiada sebarang tekanan yang dihadapinya dan untuk kesekian kali, dia meminta agar cerita perkahwinannya tidak digembar gemburkan lagi. Tetapi demi menjawab pertanyaan media dan memperbetulkan beberapa fakta, Zizie bersedia berkongsi cerita.

Bagaimana agaknya majlis resepsi anda nanti?

Buat masa ini memang tidak ada perancangan lagi. Saya pun pernah beritahu, saya tak impikan sebuah majlis perkahwinan yang mewah, tapi cukup dengan akad nikah.

Cukup dengan restu kedua-dua keluarga. Tapi mungkin saya akan adakan majlis kecil untuk keluarga terdekat dan teman-teman baik. Namun, saya tak tahu ia akan terlaksana atau tidak sebab ia hanya perancangan.

Bagaimana perasaan anda sekarang ini?

Saya sangat tenang dan tidak panik. Saya juga tak jadi macam cacing kepanasan. Bagi saya, hidup tidak boleh biarkan orang berkuasa atas diri kita.

Tapi kita sendiri kena kuat dari segi itu. Walau ada cerita berunsur fitnah yang dilapor media, saya masih tenang. Selepas kahwin, saya masih Zizie yang sama.

Tapi anda tak rasa bersalah terhadap perkahwinan ini? Jadi isteri kedua, merampas kebahagiaan orang lain?

Buat apa saya nak rasa bersalah kerana saya berkahwin mengikut hukum syarak. Saya juga tak buat maksiat. Orang yang mengata saya, adakah mereka pun baik sangat? Tak kisahlah apa anggapan orang, tapi saya banyak bertenang dan ketawa dengan spekulasi-spekulasi liar yang orang buat.

Saya juga bukannya pemburu suami orang. Sebelum ini, semua orang pun tahu, saya pernah bercinta dengan lelaki bujang, malah bukan orang kaya pun. Saya sudah katakan hal ini banyak kali.

Jujur saya katakan, kalau saya diberi pilihan, saya nak berkahwin dengan lelaki bujang. Tapi akhirnya saya berkahwin dengan suami orang. Ini soal jodoh, siapa kita untuk melawan ketentuan Tuhan?

Bagaimana dengan kisah anda memandu kereta mewah BMW dan memiliki banglo?

Kalau orang nak kata saya ada BMW, ada rumah besar, itu pemberian suami saya. Salah ke? Itu juga tanggungjawab dia, itu memang ada dalam agama.

Namun saya nak tegaskan, BMW itu sudah lama saya beli sebelum kahwin. Saya berusaha keras mendapatkan kereta tersebut dengan menjual kereta lama dan membeli kereta baru.

Macam mana jadual kerjaya selepas berkahwin?

Saya masih ada dalam industri dan akan meneruskan niat saya memperjuang dan memartabat dunia seni kita. Saya tidak akan tinggalkan bidang lakonan.

Suami juga tidak menghalang, tetapi saya tahu membataskan diri sendiri selepas ini kerana sudah menjadi seorang isteri.

Saya lakukan semua ini demi peminat dan Insya-Allah nanti akan ada banyak produk mahu dikeluarkan oleh produksi saya kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: