
BUKAN mudah untuk anak dara membuka mulut bercerita hal kekasih mahupun masa depan bersama. Tidak manis. Namun, ada sebab Irma Hasmie diminta bercerita kisah perjalanan cintanya yang baru masuk ulang tahun pertama. Ada ceritera hitam juga putih.
Entah dari mana datangnya cerita yang kekasih hati sudah pandai keluar menonton wayang bersama orang lain, tapi itulah yang sampai di pendengaran.
Irma terkejut apabila ditanya soalan begini. Mengimbas kembali cerita cinta lama, pasti cerita tonton wayang ini membuahkan fobia buat gadis berusia 28 tahun ini.
"Ini kali pertama saya ditanya tentang (gosip) Nabil keluar menonton wayang dengan orang lain. Boleh jadi perang dunia ni," ketawanya tapi dalam hati entah siapa yang memahami.
Bukan berniat menutup cerita bagi pihak sang kekasih namun dia enggan melatah. Ujarnya, dia semakin mengenali Nabil. Ke mana sahaja kaki Nabil menuju atau apa sahaja yang dilakukan pasti sampai ke pengetahuannya, tanpa gagal.
"Nabil jenis yang begitu. Dia akan memberitahu perihal jadual dan pergerakannya. Saya kurang pasti kalau dia 'curang' tetapi setakat ini perhubungan kami berjalan lancar. Kalau gaduh biasa, itu lumrah," tegasnya lagi yang mahu mengambil positif setiap gosip yang diterjah.
Mungkinkah ia satu sabotaj merosakkan nama Nabil kerana dia artis paling popular masa kini, tanya saya. Irma tersenyum, mengiyakan hanya dengan mengangguk kepala.
"Mungkin juga," jawabnya sambil ketawa mengingatkan kisah pelukan kontroversi yang terjadi tahun lalu.
Ditanya berapa peratus kepercayaan yang diletakkan kepada sang kekasih, dia lantas menjawab: "70 peratus dan bakinya saya simpan untuk diri sendiri."
Nabil nakal? Tanya saya. "Dia nakal yang suka menyakat. Saya memang mangsa sakat dia. Tapi kalau 'nakal' seorang lelaki itu, rasanya tidak ada," ungkapnya.
Pokoknya, perhubungan ini berjalan lancar. Tiada duka, malah masing-masing mencari masa berkualiti untuk bersama lantaran kesibukan melanda kedua-duanya.
"Contohnya hari ini, saya sesi fotografi (dengan Sensasi Bintang) di sini, jadi kami sempat makan pagi bersama kerana jarang ada masa bersama yang lama," jawabnya yang mengenangkan masa Nabil betul-betul digunakan untuk kerjaya, begitu juga dirinya.
Tempoh dua tahun
Malu-malu ketika saya katakan yang Nabil kini semakin berubah dilihat melalui aspek penampilan. "Pandai Irma jaga," usik saya.
"Saya cuma memberi nasihat serba sedikit. Nabil memang kuat shopping, mengalahkan saya. Waktu kami berbelanja, saya kadangkala bersuara menyatakan baju yang mahu dibelinya sesuai atau tidak," ujar Irma lagi.
Walaupun baru masuk usia setahun jagung namun banyak hati yang berkenan melihat pasangan ini. Tidak kurang juga yang mendoakan jodoh mereka panjang lantaran mereka tampak manis bersama.

Saya tanya pula akan perancangan masa hadapan mereka.
"Kalau boleh tidak mahu tunang lama-lama. Cukup maksimum tiga bulan dan kemudian nikah. Malu pula cakap hal ini. Tapi kalau boleh saya mahu kahwin sebelum usia 30.
"Semua bergantung jodoh dan rezeki. Cuma ada tempoh dua tahun sebelum masuk usia sasaran," senyum sipu Irma menjawab.
Tidak mahu bunuh karier
Variasi dalam karakter lakonan sedang dinikmati gadis yang bermula dengan filem Cinta Fotokopi ini. Satu demi satu pertukaran watak dibawanya dengan jaya.
Tidak terlampau laju perjalanannya tapi diatur sempurna. Kini dia sedang sibuk menerokai watak Dira dalam perjalanan drama Aliff Firdaus di TV3 yang bersiaran setiap Jumaat pukul 9 malam.

"Saya mencari watak yang membuatkan saya teruja semasa kali pertama membaca tentang karakter tersebut, yang buat saya terus jatuh cinta dengan watak tersebut.
"Jika saya mempunyai detik hati yang menyatakan watak itu tidak sesuai, saya tidak mahu membunuh karier saya. Bukan tidak mahu mencabar diri sendiri tapi saya tahu keupayaan diri," ujarnya yang juga baru selesai dengan Awan Dania musim kedua yang sekali gus menamatkan perjalanannya dalam siri tersebut.
Tidak kalah dengan itu, dia semakin berpuas hati dengan portfolio sebagai pengacara. Daripada mengemudi program siaran TV9, Chopp, dia diberi kepercayaan menerajui sebuah lagi program terbitan TV9, Galaksi yang menuntut fokus penuh siaran langsung selama satu jam.
"Sedikit gementar," ujarnya pendek lantas membuat lucu dengan mengatakan dia terselamat jika gosip dirinya bertebaran di udara lantaran sekarang menjadi hos sebuah rancangan gosip juga.
"Saya kena lebih berjaga-jaga dan elakkan diri menjadi bahan (gosip)."

Bakal muncul menerusi filem 2 Hati 1 Jiwa, Irma juga bakal dilihat dalam telefilem Terima Kasih Cikgu arahan Along Kamaruddin.
"Syukur kerana rezeki murah dan tawaran sentiasa ada. Kalau Nabil sibuk mengumpul aset, saya lebih tertumpu kepada pelaburan secara simpanan. Itu cara saya mengumpul harta dan kewangan untuk masa hadapan," ujarnya lagi.
Usai sesi fotografi dan temu ramah, sempat lagi si manis ini bertanyakan kesahihan kisah Nabil lagi. Dia yakin dengan kesetiaan Nabil, cuma katanya tidak mahu pisang berbuah dua kali.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: