Thursday, August 27, 2009

Xingquan buka 50 pusat jualan di barat China


QingQuan menunjukkan kasut jenama Addnice keluaran Xingquan di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Xingquan International Sports Holdings Limited (Xingquan), syarikat pengeluar produk sukan di China menyasarkan untuk meningkatkan pertumbuhan perolehannya sebanyak 30 peratus bagi tahun kewangan berakhir Jun 2010.

Syarikat itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM110.81 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun, 2009 berbanding RM75.84 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut Pengerusinya, Wu QingQuan, sasaran itu diyakini dapat dicapai berdasarkan kepada pengembangan syarikat untuk membuka 50 buah pusat jualan baru di lima wilayah kawasan barat di republik tersebut, iaitu Shaanxi, Gansu, Qinghai, Guizhou dan Ningxia.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Xingquan berkata, dengan penerokaan lima wilayah baru itu, pihaknya bakal beroperasi dan menguasai 25 wilayah daripada 33 wilayah yang terdapat di China.

"Kami telah mengenal pasti pengedar di lima wilayah itu dan yakin dengan pertumbuhan yang akan dijanakan dari kawasan tersebut,'' katanya pada sidang media selepas pengumuman prestasi kewangan syarikat itu di sini, semalam.

Selain itu, QingQuan berkata, Xingquan yang merupakan syarikat China yang pertama disenaraikan dalam Bursa Malaysia pada 10 Julai lalu itu mempunyai 1,596 pusat jualan di republik tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: