Thursday, August 13, 2009

Vince cari cinta di Taiwan

"Ada kenalan yang cakap populariti saya bakal hilang selepas bergelar suami orang kelak, namun saya langsung tidak mempercayai dengan kata-kata tidak berasas ini" – VINCE




HAMPIR dua tahun 'menghilangkan' diri daripada dunia seni tanah air kerana merantau ke Taiwan, penyanyi terkenal, Vince, 30, muncul kembali dengan khabar gembira.

Bukannya kerana melahirkan album terbaru, sebaliknya hati jejaka kacak itu sudah dicuri oleh seorang wanita kelahiran Mexico, Veronica Larrauri Abad.

Pemilik nama sebenar Vincent Chong Ying-Cern itu berkata, perkenalannya dengan Veronica yang mendekati usia 30 tahun, bermula kerana mereka menuntut di universiti sama di Universiti Chinese Cultural, Taiwan.

"Pertemuan saya dengan Veronica tidak dirancang sama sekali. Semuanya bermula apabila saya menghadiri sebuah jamuan yang diadakan untuk para pelajar di universiti kami.

"Saat kali pertama terpandang dirinya, saya mula terpesona dengan personaliti Veronica yang kelihatannya seperti seorang wanita Asia.

"Dengan senyumannya yang manis dan boleh dianggap berbeza daripada wanita lain yang pernah saya kenali sebelum ini, saya umpama jatuh cinta pandang pertama kepadanya.

"Akhirnya saya dapat berkenalan dengan Veronica menerusi seorang kawan," katanya semasa ditemui di perkarangan Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Setelah berkenalan dengan Veronica, lantas hati Vince lekas terpaut dengan wanita itu yang disifatkan peramah, mesra dan gemar membantu rakan lain di universiti.

"Disebabkan dia merupakan senior di universiti, lantas Veronica amat disayangi oleh pelajar baru kerana dia gemar membantu orang di sekelilingnya.

"Dia ibarat seorang kakak yang sentiasa menyatakan kesanggupan untuk menolong adik-adiknya tanpa mengira waktu dan keadaan," ungkap Vince berbahas yang indah-indah belaka tentang teman wanitanya.


SUDAH setahun hatinya diisi dengan bunga-bunga cinta, Vince merancang menamatkan zaman bujangnya tahun depan.


Diam tak diam, Vince dan Veronica kini sudah hampir setahun menyemai cinta. Bahkan, mereka juga sudah punya perancangan tersendiri untuk kekal bersatu sehingga akhir hayat.

"Takdir Tuhan tentang waktu perkahwinan memang saya sendiri tidak tahu. Tetapi saya harap dapat mendirikan rumah tangga selewat-lewatnya pada tahun depan kalau tiada sebarang aral.

"Saya memang sudah bersedia sepenuhnya untuk menjadi seorang suami dalam usia sekarang sekali gus mempunyai keluarga sendiri.

"Saya memang berniat untuk mengadakan majlis perkahwinan di sini dan tidak sesekali akan menyorokkan perkara baik ini daripada pihak media dan peminat.

"Ada kenalan yang cakap populariti saya bakal hilang selepas bergelar suami orang kelak, namun saya langsung tidak mempercayai dengan kata-kata tidak berasas ini.

"Lagipun ramai peminat yang tahu saya sudah ada teman wanita istimewa dalam hidup sebelum ini. Paling penting, saya tahu bahawa peminat meminati saya kerana bakat dan bukan melibatkan cerita-cerita peribadi," jelasnya dalam lontaran suara cukup berkeyakinan.

Tidak merajuk dengan dunia seni

Pemergian Vince ke Taiwan melanjutkan pelajaran di Universiti Chinese Cultural hampir dua tahun lalu bukanlah disebabkan dia merajuk dengan bidang seni yang mula diceburinya pada tahun 2003.

Vince yang mengambil kursus penulisan bahasa Mandarin menjelaskan, sudah sampai masanya untuk dia melebarkan sayap ke negara luar.


VINCE mengambil keputusan untuk ke Taiwan bukan kerana merajuk dengan industri muzik tempatan.


"Bukan bermakna meninggalkan tanah air sendiri disebabkan saya merajuk atau tidak laku di Malaysia.

"Saya mahu mencipta nama di Taiwan selepas mendapat tempat di Malaysia. Kalau saya berjaya mencatat kejayaan di luar, sudah pastilah peminat juga berbangga dengan pencapaian saya.

"Inilah yang cuba saya lakukan sekarang. Sambil melanjutkan pelajaran di universiti, sekurang-kurangnya saya dapat mengenal selok-belok dunia seni di Taiwan dan bertemu dengan penggiat seni di sana.

"Saya juga sempat menyertai rancangan realiti nyanyian One Million Star untuk siaran stesen televisyen nasional di Taiwan pada tahun ini.

"Ia bukan macam pertandingan nyanyian biasa yang sedia ada di mana-mana. Sebaliknya peserta rancangan ini boleh menolak keluar peserta lain dalam setiap episod.

"Para peserta yang menyertai pertandingan ini cukup berbakat dan memiliki keunikan tersendiri. Masing-masing sudah kelihatan profesional dan macam penyanyi yang benar-benar berpengalaman.

"Walaupun sekadar berada dalam tiga episod, ternyata saya masih berpuas hati kerana dapat mendedahkan diri ke arena seni Taiwan," jawabnya berterus-terang.

Belajar hidup berdikari

Hakikat yang perlu diterima apabila berada di Taiwan, dia harus bermula dari bawah dan mendaki setangga demi setangga untuk bergelar anak seni di negara orang.

Biarpun terpaksa bermula daripada angka kosong, namun Vince tetap pasrah dengan situasi itu ditambah niatnya hanyalah satu; mahu membina nama sendiri di Taiwan sebagai penyanyi dan komposer.


INILAH Veronica, gadis kelahiran Mexico yang berjaya menawan hati Vince.


"Bayangkan, pada usia 27 tahun baru saya hendak buat semua ini. Mula-mula memanglah saya tidak biasa untuk hidup keseorangan tanpa keluarga di sisi.

"Barulah saya tahu rasanya hidup bersendiri di negara orang apabila tinggal seorang diri di apartmen dan berjalan kaki atau menaiki bas untuk ke sana ke mari.

"Lama-kelamaan, saya dapat membiasakan diri dengan atmosfera dan cara hidup baru di Taiwan bersama rakan-rakan yang datang daripada seluruh pelosok dunia menuntut di universiti sama.

"Dalam waktu singkat, saya ada kawan-kawan yang berasal dari Switzerland, Jepun, Korea, Vietnam, Indonesia dan Jerman.

"Kami dapat bergaul dengan mudah walaupun pada awalnya ada sedikit masalah komunikasi disebabkan ada antara mereka kurang fasih berbahasa Inggeris.

"Nasib baik masalah ini diatasi apabila kami saling bantu-membantu mengajar pelajar yang lemah berbahasa Inggeris untuk berkomunikasi secara asas.

"Selain itu, saya juga sudah mula belajar memasak. Sejak tinggal di sana hampir dua tahun lalu, sudah semestinya saya rindukan masakan Malaysia.

"Bagi mengubati kerinduan ini, saya buat nasi lemak sendiri. Walaupun baru belajar memasak, namun boleh tahan jugalah rasanya," tutur Vince sambil tergelak kecil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: