BAGI sesiapa yang pertama kali mendengar nama Festival Filem Klasik Paradise pastinya membuat andaian bahawa ia sebuah acara penganugerahan yang mengiktiraf karyawan luar negara.
Hakikatnya, festival tersebut diadakan sebagai medan untuk menghimpunkan artis-artis lama yang pernah menempa kemasyhuran di era Jalan Ampas, Singapura sejak setengah abad yang lalu.
|
|
Kalau bercakap tentang zaman itu maka mata jelas terbayang figura dan beberapa nama hebat yang menghiasi dunia perfileman Melayu antaranya Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Aziz Sattar, Datuk Maria Menado, Kuswadinata, Mariani Ismail dan Salmah Ahmad.
Menjangkau tahun kelima penganjuran festival berkenaan yang dianjurkan oleh Paradise Sandy Beach Resort Pulau Pinang pada tahun ini, Mustapha yang mewakili pelakon-pelakon veteran muncul dengan idea baru untuk menjadikan acara itu ibarat sebuah festival filem sebenar.
|
|
Tidak lagi sekadar mengumpulkan artis-artis lama di satu lokasi untuk tempoh beberapa hari, sebaliknya festival itu mahu dijulang martabatnya ke tahap lebih tinggi.
Bersesuaian dengan gelarannya Festival Filem Klasik Paradise, Mustapha menyarankan agar himpunan filem lama yang tidak pernah dicalonkan dalam mana-mana majlis penganugerahan termasuk Festival Filem Malaysia dinilai bagi mengangkat semula usaha karyawan seni lama.
|
|
"Saya, Jins dan teman lain sebenarnya sudah berbincang untuk menjadikan festival ini lebih meriah sekali gus dilaksanakan sehingga bila-bila.
"Saya bercadang untuk mencalonkan sebanyak lima buah filem lama yang dianggap layak untuk mendapat penghargaan setiap kali berlangsungnya festival ini.
"Filem-filem yang dicalonkan untuk festival ini mestilah dibikin sekitar tahun 50-an hingga 70-an dan tidak pernah menyertai sebarang acara anugerah sebelum ini," katanya ketika bercakap pada sidang media festival berkenaan di Hotel Eastin, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Sambung Mustapha lagi, walaupun filem-filem lama dihasilkan tanpa menggunakan 100 peratus teknologi canggih berbanding filem sekarang, namun ia tetap ada keistimewaan tersendiri sehingga terus mekar dan ditonton oleh masyarakat masa kini.
Tiada sebarang agenda tertentu, sebaliknya Mustapha sekadar mahu menghidupkan perjalanan Festival Filem Klasik Paradise agar terus bertahan sekali gus menjadi sebuah acara rasmi dalam direktori industri seni tanah air.
"Kita sudah mendapat sepenuh kerjasama daripada Paradise lantas kami cuma perlu mengeluarkan perbelanjaan lain untuk trofi atau hadiah kepada pemenang.
"Secara tidak langsung, peminat filem-filem terdahulu terutama generasi baru dapat mengenali dengan lebih dekat karya seni orang lama dan cara penghasilan filem klasik," jelas Mustapha lagi sambil dipersetujui oleh Jins yang turut menyokong idea unik itu.
Berbicara lebih terperinci tentang Festival Filem Klasik Paradise kelima yang berlangsung hari ini, Mustapha memberitahu, ia menjadi sebuah acara penting kepada penggiat seni dan peminat untuk bersama-sama menghargai karya seni peninggalan seniman dan seniwati industri perfileman sejak beberapa dekad lalu.
"Festival yang berlangsung selama tiga hari ini bakal terisi dengan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat.
"Kami akan menayangkan tiga buah filem iaitu Pendekar Bujang Lapuk, Sumpah Pontianak dan Panca Delima sebelum acara ini ditutup dengan malam kemuncak Festival Filem Klasik Paradise yang diadakan di Laguna Ballroom.
"Acara gilang-gemilang ini akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.
"Disebabkan ia dilangsungkan dalam bulan Kemerdekaan maka kami akan mengadakan acara deklamasi puisi dan menggalakkan semangat nasionalisme kepada seluruh tetamu yang hadir.
"Festival ini juga mengundang lebih 15 seniman dan seniwati tersohor yang pernah mencapai kegemilangan dalam bidang perfileman sebelum ini.
"Bengkel lakonan dan seminar juga akan diadakan kepada penuntut universiti dan kolej yang bertujuan untuk mendedahkan kepada khalayak tentang nilai seni yang boleh disalurkan daripada karya-karya klasik yang tiada tolok bandingannya.
"Tenaga pengajar untuk bengkel dan seminar ini terdiri daripada saya sendiri, Jins dan Aziz," terangnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: