
TUNTUTAN dan lambakan kerja, gaya hidup yang tidak cergas dan diet yang tidak seimbang, menyumbang kepada pelbagai jenis masalah dan penyakit. Tak kira muda atau tua, hampir semua peringkat umur telah menjadi 'mangsa' kepada kehidupan yang tidak aktif.
Daripada kanak-kanak hinggalah kepada warga emas, ramai yang berdepan dengan masalah seperti sakit tengkuk, tidak cukup tidur, sakit sendi, sakit dada, sakit buah pinggang, sakit kaki dan bermacam-macam lagi.
Dalam kebanyakan masa, gangguan kesihatan berpunca daripada kesilapan sendiri yang kurang menitikberatkan penjagaan kesihatan. Lazimnya, perkara pertama yang dilakukan sebaik merasai sesuatu kesakitan adalah berjumpa dengan doktor. Dengan mengambil ubat-ubatan, pesakit langsung tidak mengendahkan tentang usaha-usaha menghalang atau menghindar masalah itu.
Teknik urutan
Kekurangan masa dan rasa malas, juga adalah antara faktor yang menyebabkan kita kurang menggerakkan anggota badan dan mengawal corak makanan. Apakah alternatifnya?
Teknik urutan sudah lama diperkatakan kerana ia terbukti efisien dan efektif.
Mengurut adalah kaedah memanipulasikan tisu-tisu lembut dalam badan dengan memberi tekanan fizikal atau mempengaruhi kesan psikologi. Bahkan kanak-kanak yang berumur seawal lima tahun pun boleh mencubanya asalkan ia dilakukan dengan betul.
"Kami mempunyai pelanggan yang terdiri daripada kanak-kanak. Mereka juga tidak terkecuali daripada mengalami masalah sakit-sakit sendi kerana membawa beg yang berat ke sekolah."
"Sekiranya rawatan mengurut ini dilakukan lebih awal, besar kemungkinan mereka tidak perlu bercermin mata apabila meningkat dewasa," ujar Pengurus Oriental Health Recovery, Pavilion Kuala Lumpur, Gan Wei Pin. Oriental Health Recovery juga mempunyai sebuah lagi cawangan yang terletak di SS23/11, Petaling Jaya.
Urutan tradisi Cina
Selain urutan Bali, Thai, Sweden dan aroma, teknik urutan tradisional Cina juga agak popular dalam kalangan masyarakat setempat.
Berbeza dengan urutan Thai, urutan Cina hanya 'bermain' dengan jari-jemari terutamanya di bahagian buku lima, tapak tangan dan efek memicit.
"Pelanggan wanita dan lelaki kami juga dibenarkan untuk memilih sama ada anda memahukan ahli terapi wanita atau lelaki."
Di Oriental Health Recovery, pihak pengurusan membawa masuk kira-kira 20 orang tukang terapi yang bertauliah dari China. Pelanggan boleh memilih sama ada mendapatkan rawatan urut kaki atau tapak kaki, badan dan bahu atau belakang badan.
![]() |
| GAN WEI PIN |
Menurut Wei Pin, rawatan urutan kaki adalah antara khidmat yang banyak mendapat permintaan. Lazimnya, pengguna dapat mengetahui masalah yang mereka hadapi.
Antaranya kelemahan organ-organ dalaman seperti buah pinggang, jantung, hati dan paru-paru.
Sebagai alternatif, ramai yang mencuba khidmat urutan tradisional Cina yang terkenal dengan usaha melancarkan pengaliran darah, tidur dengan nyenyak di samping mengelakkan rasa lenguh.
"Sudah lima tahun saya mencuba urutan tradisional Cina bersama suami dan syukur saya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan," jelas pelanggan setia Oriental Health Recovery, Eliza Chang.
Beliau yang bekerja sebagai pengurus bahagian komunikasi korporat, sering mengadu masalah sukar melelapkan mata dan kadangkala menghadapi masalah pencernaan makanan. Selepas mendapat rawatan urutan sebanyak sekali seminggu, masalah ini berterbangan entah ke mana.
"Walaupun kami mendapat sambutan daripada pelanggan tempatan tetapi pelancong asing dari Eropah, Amerika Syarikat (AS), Arab dan Jepun, gemar singgah ke pusat kami," katanya bahawa setiap rawatan mengambil masa selama 45 minit.
Temu janji
Menggunakan minyak Pevonia Botanica yang pernah memenangi anugerah produk spa terbaik pada tahun 2007, minyak tersebut mempunyai aroma yang menyegarkan. Di cawangan di Petaling Jaya, pihak pengurusan turut menyediakan seorang doktor dari Beijing, China, Dr. Jiao Lai Fu.
Dalam pada itu, pelanggan diminta membuat temu janji lebih awal.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: