
ADAKAH berlian sentiasa menjadi teman baik wanita? Jarang sekali kita dengar wanita tidak menggemari berlian dan pastinya tidak ada wanita yang akan menolak jika dihadiahkan perhiasan itu.
Hanya ada satu sebab ketara yang menjadikannya bukan pilihan iaitu kewangan. Kilauan berlian yang terpancar indah tatkala menghiasi tubuh, membuatkan wanita berasa dirinya istimewa dan dihargai.
Oleh itu, seseorang wanita sentiasa diulit impian untuk memiliki setidak-tidaknya sebentuk cincin berlian bagi menghiasi jari-jemari dalam melengkapkan kesempurnaan diri, selain meluahkan keperibadian gaya yang mewah dan bercita rasa tinggi.
Selain menjadi lambang cinta abadi, kemewahan dan kuasa, berlian menjadi satu bahan penting yang menyemarakan dunia fesyen kini.
Trend yang bermula dari Barat ini, bagaikan memiliki pengaruh yang kuat kepada wanita di Timur yang semakin menggemari barang kemas berasaskan berlian.
Pelaburan
Jika dahulu wanita biasanya memilih emas sebagai perhiasan diri, kini keinginan itu berubah kepada berlian.
"Jika anda ingin melabur wang dengan membeli sebutir berlian ataupun sebentuk cincin berlian maka anda tidak akan rugi apa-apa. Ini kerana berlian bersifat kekal.
"Namun jangan sia-siakan wang anda dengan membeli berlian yang tidak bermutu tinggi. Ini kerana berlian bukan hanya untuk dipakai sehari dua, sebaliknya ia boleh diwarisi secara turun temurun," kata Laura Chow, Pengarah Serantau dan Naib Presiden (Asia Tenggara), Lazare Kaplan International.
Menurut Laura, golongan wanita dahulu sanggup membelanjakan wang simpanan mereka semata-mata mahu membeli barang kemas emas kerana nilai pasarannya yang semakin meningkat.
Namun peredaran zaman dan nilai ekonomi telah membuktikan selain emas kuning, berlian iaitu galian berbentuk kristal atau berkarbon yang paling terkenal di dunia itu juga mempunyai nilai ekonomi.
Katanya, walaupun penjual dan pengukir berlian berlambak di pasaran tempatan dan antarabangsa, namun berlian Lazare mempunyai keistimewaan tersendiri.
"Lazare Kaplan menghasilkan berlian Lazare menggunakan formula yang tersendiri dan unik. Formula atau resipi unik yang menjadi panduan menghasilkan potongan ideal itu dilengkapi dengan kaedah matematik yang melibatkan pengiraan teliti untuk memotong berlian.
"Kaedah matematik itu penting sekali untuk memotong berlian mengikut sudut dan bahagian yang tepat agar mendapat pantulan cahaya yang optimum," katanya ketika ditemui di butik DeGem di Bangsar, baru-baru ini.
Laura memberitahu, kilauan gemerlapan yang terpancar daripada berlian ini akan menentukan mutu dan keunikan sebutir berlian. Maka, potongan yang tidak tepat pastinya gagal memancarkan kilauan tersebut.
"Setiap berlian mempunyai kilauan semula jadi tetapi berlian potongan ideal Lazare menawarkan kilauan maksimum, gemerlapan dan indah.
![]() |
| LAURA CHOW |
"Berlian Lazare sebenarnya dipotong untuk keindahan yang optimum dan bukan mengikut berat. Justeru, kebanyakan berlian kasar terpaksa dikorbankan untuk mencapai potongan ideal Lazare manakala peratusan yang kecil sahaja dipotong mengikut formula ini," ujar wanita yang telah berkecimpung dalam perniagaan berasaskan berlian dan batu permata sejak tiga dekad lalu.
4C
Tambah Laura, jika seseorang ingin membeli berlian mereka perlu memberi tumpuan pada empat perkara penting yang dikenali sebagai 4C iaitu potongan (cut), kejelasan (clarity), warna (colour) dan carat-weight (berat).
"Perkara-perkara tersebut yang akan menentukan keindahan dan kualiti sebutir berlian dari segi mutunya. Maka sebelum membeli berlian jangan lupa menitikberatkan 4C itu.
"Dalam keempat-empat perkara berkenaan, potongan memainkan peranan penting kerana ia menentukan kombinasi kilauan, gemerlapan dan sebaran," ujar wanita itu bahawa keindahan sebutir berlian bergantung kepada kilauan berwarna putih dan sebaran warna pelangi.
Raja sehari
Dalam perkembangan lain, Laura berkata, syarikat beliau lebih tertumpu untuk menghasilkan koleksi-koleksi berlian untuk raja sehari.
"Potongan, kejelasan dan kilauan berlian lazare sentiasa menjadi pilihan pasangan pengantin baru sama ada dalam sebentuk cincin, seutas rantai mahupun sepasang subang.
"Ini kerana berlian Lazare menjadi lambang cinta dan kasih sayang sejati," ujar Laura bahawa koleksi barang kemas berlian Lazare diklasifikasikan mengikut lapan tema iaitu klasik, tulen, pendedahan, pengenalan, keajaiban kecantikan, abadi, sensasi dan semarak api.
Ujarnya, klasifikasi ini memberi pilihan yang lebih baik kepada para pelanggan untuk memiliki berlian Lazare.
"Walaupun pasaran global dan ekonomi dunia semakin merudum namun permintaan terhadap berlian sentiasa ada.
"Syarikat ini diasaskan oleh seorang pengukir berlian dari Belgium, Lazare Kaplan sejak tahun 1903. Kini, ia beroperasi di 17 buah negara dan memiliki sebanyak 700 cawangan di seluruh negara," jelasnya bahawa buat masa ini pihaknya tiada perancangan untuk membuka cawangan-cawangan baru.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: