Friday, August 21, 2009

Tiada niat sorokkan pertunangan: FIZZA



Pengacara rancangan Nona, Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan atau lebih mesra dengan panggilan Fizza, acap kali mengelak daripada menjawab soalan media mengenai isu perkahwinan.

Tiada siapa yang tahu adakah gadis manis ini sudah berpunya atau sebaliknya sehinggalah kelibatnya dilihat seorang wartawan sedang asyik memilih barang kelengkapan perkahwinan baru-baru ini.

Perkembangan itu menimbulkan tanda tanya, adakah Fizza kini sedia menamatkan zaman bujangnya atau sebaliknya.

Kelmarin, teka-teki itu akhirnya terjawab apabila Fizza mengakui kehadirannya ke premis kelengkapan perkahwinan itu bertujuan membeli barangan persiapan hari pertunangannya yang sudah pun berlangsung beberapa bulan lalu.

Fizza berkata, perancangan awal sebenarnya hanyalah sekadar mengadakan majlis merisik sebagai syarat ikatan hubungannnya dengan bakal suami namun perancangan tersebut berubah selepas kedua-dua pihak mahu majlis pertunangan diadakan.

“Kemudian, keluarga lelaki ubah rancangan untuk mengadakan juga majlis pertunangan dalam tempoh yang singkat. Hanya keluarga dan teman terdekat saja yang sempat diberitahu. Tak ada niat langsung untuk sorokkan pertunangan saya,” akui Fizza.

Fizza berkata, majlis perkahwinannya dengan jejaka pilihan, seorang ahli perniagaan berasal dari Perlis itu dijangka berlangsung awal 2010 dan memberitahu sambutan Aidilfiti tahun ini adalah sambutan terakhirnya bersama keluarga sebelum bergelar isteri orang.

“Saya harap Ramadan dan Syawal tahun ini, saya dapat luangkan sepenuh masa bersama keluarga saya di Klang sebab ini mungkin raya terakhir saya sebagai anak dara,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan menyambut Aidilfitri, Fizza berkata, sambutan selalunya sederhana memandangkan dia kerap bertugas pada hari tersebut.

Kata Fizza, pada sambutan Syawal tahun lepas dia ditugaskan untuk mengendalikan rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) dan tidak menolak kemungkinan beraya di set sama dengan rakan setugas lain Aidilfitri ini.

“Apa pun saya tak kisah ditugaskan pada pagi hari raya, kampung saya pun taklah jauh sangat. Klang saja. Bagilah peluang pada mereka yang nak balik kampung jauh-jauh tu,” katanya pernah melalui pengalaman sama ketika bertugas sebagai pramugari sebelum ini.

Menjelang Aidilfitri ini, gadis yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Pesona Nona ini akan sibuk dengan rakaman program Singgah Sahur dan juga akan bersiaran di hari raya pertama menerusi rancangan Salam Raya untuk siaran TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: