![]() |
| FREDDIE FERNANDEZ (berdiri, dua dari kiri) menghulurkan sumbangan Karyawan kepada Karim Latiff. |
SEWAKTU aktif di gelanggang perfileman tidak lama dahulu, pelakon berasal dari Rembau, Negeri Sembilan ini sememangnya popular dalam membawakan watak-watak jahat.
Membintangi beberapa buah filem antaranya Masam-Masam Manis, Gerimis, Keluarga 69, Sumpah Pontianak dan Selendang Delima, dia tidak pernah menyangka akan terbabit sebagai pelakon kerana kecenderungannya lebih kepada bidang nyanyian.
Namun, perkara yang tidak disangka itulah yang telah membawanya untuk terus hidup sebagai pelakon selama lebih empat dekad.
Lakonannya yang bersahaja sudah mampu membuatkan ramai pengkarya filem dan drama berlumba-lumba untuk mengambilnya berlakon.
Paling membanggakan, lakonan seniman bernama Karim Latiff, 73, ini tidak terlepas daripada mendapat pujian terutama daripada seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Biarpun pernah berlakon bersama P. Ramlee pada tahun 1960-an dalam dua filem komedi iaitu Ahmad Albab dan Anak Bapak, dia tetap diberikan watak sebagai orang jahat.
Namun, selepas berdekad mengharungi hidup sebagai anak seni, suami kepada Che Asma Hussain, 65, ini terpaksa melupakan segala-galanya lantaran menghadapi masalah kesihatan.
Hanya mampu menghabiskan masa di rumah, Karim sudah tidak mampu untuk aktif seperti dahulu sebaik diserang penyakit kencing manis dan ulser di bahagian matanya.
Penyakit ulser yang dihidapinya itu membuatkan deria penglihatannya agak terganggu.
Mengakui masih merindui dunia lakonan, bagaimanapun, semuanya itu tidak bisa dilakukannya kembali kerana keterbatasan ekoran faktor kesihatan.
"Kalau diberikan peluang, sememangnya saya mahu berlakon lagi. Dalam keadaan begini, berlakon watak orang buta bolehlah.
"Tetapi, disebabkan ulser yang menyerang mata, hendak baca skrip pun saya tidak lagi boleh melihat,'' katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Ar-Ridzwan, Jalan Hulu Kelang, Selangor, bersama anggota Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) baru-baru ini.
Lawatan diketuai Presiden Karyawan, Freddie Fernandez itu turut disertai ahli jawatankuasa biro dan beberapa artis veteran seperti seniwati Datuk Sarimah Ahmad, Kuswadinata dan Julie Sudiro.
Bukan hanya sekadar melawat, Karyawan tidak lupa tanggungjawabnya dengan menghulurkan sumbangan berupa RM1,000 kepada Karim.
Ditemani isterinya, Karim tatkala ditemui masih lagi mampu menceritakan kenangan-kenangan lama ketika masih lagi aktif berlakon.
Rancak berborak bersama Kuswadinata, Karim melahirkan rasa syukur kerana masih diberikan kekuatan untuk beribadat kepada Allah.
Menceritakan tentang keuzuran, dirinya berkata, bukan sahaja penglihatan, pergerakannya juga agak terbatas kerana penyakit kencing manis.
"Kini, saya banyak berulang-alik ke hospital untuk rawatan kencing manis dan ulser mata. Pada 2004, saya telah menjalani pembedahan mata kiri untuk membuang selaput mata tetapi selepas itu saya diserang ulser sehingga mata tidak dapat berfungsi dengan baik.
"Kencing manis pula, saya menghidapinya sejak 1983 lagi. Doktor suruh saya berpantang jaga makan dan minum,'' ujarnya.
Hargai jasa artis veteran - Freddie
Sementara itu, Freddie yang diajukan soalan mengenai lawatan berkenaan berkata, ia sebagai menghargai Karim selaku seniman yang banyak berjasa kepada perfileman negara.
Katanya, Karyawan bukan hanya menganjurkan sesi lawatan kepada artis-artis veteran semata tetapi melibatkan artis yang uzur dan sakit.
"Untuk tahun ini, kita telah banyak melawat artis yang sakit antaranya Kuswadinata, Yusof Chong dan Seri Bayu.
"Bukan sahaja melawat tetapi saya sendiri melihat peluang ini untuk berkenalan dengan artis-artis terutama artis veteran.
"Tidak semua artis veteran yang saya kenal atau pernah bertemu. Kesempatan inilah saya gunakan untuk mengenali mereka,'' katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: