Wednesday, August 5, 2009

Tarik minat menabung untuk masa depan

Selain menggalakkan ibu bapa membuat tabungan pendidikan untuk anak-anak, kempen ini turut menganjurkan peraduan “Merdekanya Bila Cuti Sekolah”.


MOHAMAD SHAHRUM OSMAN (dua dari kiri) berjabat tangan dengan Pengarang Kanan Suplemen Utusan Malaysia, Ariffin Nordin.



MOHAMAD SHAHRUM OSMAN


HARI Kemerdekaan yang bakal disambut pada hujung bulan nanti, bukan sekadar membawa erti kejayaan yang dikecapi setelah membebaskan diri daripada kongkongan penjajah. Pengertian kemerdekaan juga boleh diperluaskan kepada aspek lain kehidupan.

Misalnya, memerdekakan diri daripada bebanan hutang atau masalah kewangan.

Menyedari peningkatan kos yang terpaksa ditanggung ibu bapa apabila anak-anak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen promosi skim Simpanan Pendidikan Nasional 2009 (SSPN), baru-baru ini.

Secara amnya, kempen ini menggalakkan ibu bapa atau pendeposit membuat tabungan di dalam akaun SSPN. Akaun ini menyediakan pelbagai faedah untuk jaminan masa depan anak-anak. Diperkenalkan dengan kerjasama sepenuhnya daripada kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, ia bermula sejak 1 Ogos lalu dan akan berakhir pada 31 Ogos 2009.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman menyatakan, selain menarik minat ibu bapa untuk membuat tabungan untuk anak-anak sejak awal lagi, kempen ini turut menganjurkan peraduan yang dikenali sebagai 'Merdekanya Bila Cuti Sekolah'. Ia terbuka kepada kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun."

"Penyertaan adalah berasaskan kepada syarat minimumnya, mempunyai akaun SSPN dengan baki simpanan RM500," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran peraduan 'Merdekanya Bila Cuti Sekolah' di ibu pejabat Utusan, di Kuala Lumpur.

Borang penyertaan yang disiarkan di kedua-dua akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!, dibahagikan kepada dua kategori. Kategori 1 untuk murid sekolah rendah iaitu tahun satu hingga tiga. Mereka dikehendaki menunjukkan bakat mewarna secara kreatif.

Kategori 2 yang terbuka bagi murid-murid tahun empat hingga enam, hanya memerlukan mereka mengira bilangan perkataan SSPN yang ada di dalam gambar.

Mereka yang terpilih bakal memenangi hadiah-hadiah menarik bernilai RM25,000 bagi setiap kategori. Ini termasuklah hadiah tempat pertama bernilai RM5,000, tempat kedua RM2,500, tempat ketiga RM1,000, tempat keempat RM500 dan tempat kelima RM100.

Sebanyak 100 unit set lengkap beg sekolah, merangkumi kotak pensel, botol air dan buku nota kecil turut akan diberi kepada pemenang saguhati.

Shahrum juga menekankan kepentingan menyemai sikap menabung bagi kesejahteraan hidup anak-anak sewaktu mereka masih kecil lagi.

Jelasnya, jika sejumlah RM100 disimpan di dalam akaun SSPN ketika anak berusia satu tahun, jumlahnya akan berlipat ganda kepada lebih RM20,000 apabila dia bersedia untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Ini termasuklah anggaran pemberian dividen sebanyak empat peratus setahun.

Ini bermakna, ibu bapa dan anak tidak perlu risau untuk membayar balik kos pendidikan yang tinggi. Sebaliknya, beban kewangan itu dapat dilangsaikan dengan mudah dan cepat dalam sekelip mata.

Turut hadir pada majlis yang sama ialah Pengurus Kanan Sektor Operasi PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff dan Pengarang Kanan Suplemen Utusan Malaysia, Ariffin Nordin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: