Pada tahun 2008, purata kematian akibat kemalangan jalan raya di Kemboja ialah seramai empat atau lima orang sehari.

SEORANG pelajar, Chhin Sothea terlibat dalam satu kemalangan. Sebuah motosikal secara tiba-tiba meluru ke arahnya ketika dia berjalan di laluan pejalan kaki. Dia mahu kejadian itu dipandang serius.
"Sekarang saya sentiasa memerhatikan kenderaan yang lalu-lalang. Apabila ternampak motosikal yang ditunggang laju, saya rasa kecut perut," kata pelajar berusia 23 tahun itu. Dia terpaksa menghabiskan hampir semua wang simpanannya untuk kos rawatan hospital.
Apa yang dilalui Chhin Sothea bukan suatu yang asing di Kemboja. Negara itu menyaksikan pertumbuhan jumlah trafik sebanyak dua kali ganda berbanding lima tahun lalu. Masalah itu dilihat bakal menjadi pembunuh terbesar selepas AIDS.
"Walaupun ada jalan yang selesa, jumlah motosikal dan kereta makin bertambah. Mereka pula makin berani di jalan raya. Jika pemandu terus tidak mempedulikan bahaya di jalan raya, jumlah kemalangan pasti akan meningkat," kata Sem Panhavuth, ahli Persatuan Orang-orang Cacat Antarabangsa.
Laporan organisasi itu yang memantau keselamatan jalan di Kemboja mendapati pada tahun 2008, purata kira-kira empat atau lima kematian akibat kemalangan jalan raya berlaku dalam tempoh sehari.
Angka itu kemudian meningkat menjadi lima kematian sehari dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Justeru, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menasihatkan semua pemandu di Kemboja supaya sentiasa berwaspada di atas jalan raya. Selain berjanji kerajaan akan meningkatkan lagi usaha menambahbaik jalan.
Pada bulan Mac lalu, Phnom Penh telah menerima lima alat pengesan kelajuan. Sementara polis-polis trafik pula dilihat lebih kerap menjalankan penguatkuasaan. Mereka akan menahan penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar atau motosikal yang tidak mempunyai cermin sisi.
Timbalan Polis Trafik, Tin Prasoeur memberitahu, penggunaan cermin sisi dan topi keledar dapat membantu mengurangkan kecederaan.
"Rata-rata yang mati akibat kemalangan jalan raya biasanya berpunca daripada remaja yang berlumba sesama sendiri. "Tidak ada polis trafik yang mahukan duit mereka. Polis hanya mahu memberi amaran tentang bahaya akibat tidak mematuhi atau menghormati undang-undang," kata Prasoeur kepada AFP.

Bagaimanapun, ada segelintir yang optimis bahawa jumlah kemalangan jalan raya akan menurun pada masa akan datang.
"Saya menyedari ada perubahan di kalangan pengguna jalan raya. Saya juga berharap akan dapat melihat kesedaran sedikit demi sedikit di Kemboja," kata Pheng Saly, seorang jurulatih pemanduan sejak dua dekad lalu. Dia menyatakan bilangan orang yang meminta nasihat daripadanya kian meningkat setiap bulan.
"Masalahnya sekarang, orang ramai masih belum dapat menghormati undang-undang jalan raya. Malah, kebanyakannya tidak tahu mengenai undang-undang pun," tambahnya lagi.
Phee Khorn, seorang pemandu teksi sejak lima tahun lalu berkata, undang-undang jalan raya yang baru itu tidak memberi kesan. Lebih memburukkan keadaan, timbul pula penipuan di kalangan penguat kuasa undang-undang.
"Kami nampak polis trafik di sepanjang jalan utama. Mereka seolah-olah bermain permainan cat and mouse untuk menahan motosikal atau kereta secara tiba-tiba. Kadangkala, kami ditahan tanpa sebab yang kukuh," ujar Phee Khorn.
"Apabila pegawai polis mendapati kami tidak memakai topi keledar atau tidak mempunyai cermin sisi, mereka hanya ambil wang dan lepaskan kami pergi," tambahnya.
Seorang polis trafik, San Sophorng berkata dia berusaha untuk membuatkan kerjayanya dihormati. Dia juga mahu mengelakkan orang ramai daripada terjebak dalam situasi berbahaya di atas jalan raya.
"Apabila saya melihat orang yang tidak memakai topi keledar atau tiada cermin sisi, saya selalu memberitahu tentang kesalahan mereka itu. Peliknya, kesalahan itu seakan-akan satu perkara biasa bagi mereka," tambahnya.
San Sophorng menegaskan, jumlah kemalangan semakin meningkat kerana pemandu tidak mematuhi peraturan.
"Banyak orang tidak mematuhi peraturan jalan raya. Saya tidak dapat mengawal mereka," katanya yang lengkap berseragam polis dalam satu pertemuan singkat dengan AFP bersama beberapa anggota polis yang lain.
"Semakin hari semakin penat."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: