Wednesday, August 12, 2009

Talentime ditayang semula

Primeworks Studios akan menayangkan semula filem terakhir Allahyarham Yasmin Ahmad, Talentime untuk memberi peluang kepada peminat yang tak sempat menontonnya semasa ditayangkan kepada umum Mac lalu.

Primeworks Studios mendapat kerjasama daripada pengusaha-pengusaha pawagam untuk menayangkan filem itu mulai 13 Ogos ini untuk masa terhad sahaja. Primeworks Studios serta pengusaha-pengusaha pawagam bersetuju untuk masing-masing menyumbangkan RM1 bagi setiap tiket yang dijual untuk membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Yasmin Ahmad adalah ikon industri filem negara kita yang akan dirindui, dan kami ingin mengingati sumbangan beliau kepada industri ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Sri Farid Ridzuan.

Mereka juga berharap peminat yang pernah menonton filem ini akan menontonnya sekali lagi bersama untuk menghargai sumbangan Yasmin Ahmad, sambil membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Talentime menceritakan kisah beberapa pelajar dan guru yang menganjurkan pertandingan mencungkil bakat di sekolah. Sepanjang sesi latihan, mereka mengharungi pelbagai cabaran dan berdepan dengan soalan-soalan mengenai kepercayaan, perkauman, percintaan dan kehidupan.

Talentime akan ditayangkan di pawagam-pawagam berikut di seluruh negara termasuk di
GSC Cinemas di Midvalley Megamall (KL), Queensbay Mall (Penang), Sunway Carnival (Prai), Dataran Pahlawan (Melaka), Alamanda (Putrajaya); TGV Cinema di KLCC (KL), Bukit Tinggi (Klang), Bukit Raja (Klang), Tebrau City (Johor), Cheras Selatan (KL) dan di One Utama (Petaling Jaya).

Ia juga ditayangkan di MBO Cinemas di Ampang (Selangor), Batu Pahat Mall (Johor), MBO Kluang (Johor), MBO Skudai (Johor) Independent Cinemas di Growball (Kota Kinabalu) dan The Mall (Brunei).
Big Cinemas / Lotus 5 Star di Taiping (Perak), Teruntum (Kuantan), Riverside (Kuching), Alor Setar (Kedah)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: