![]() |
| Bercinta ini seronok sebab cinta itu anugerah Tuhan yang tidak semua orang akan melaluinya. Saya tak pilih kaum atau bangsa asalkan sesuai dan serasi. Saya masih berhubung baik dengan bekas tunang - Sarah |
NAMA Sarah Raissuddin kembali disebut-sebut selepas menang bergaya dengan meraih tiga pingat emas serta dua pingat perak dalam pertandingan seni persembahan dunia (WCOPA) di Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Pingat emas dimenangi melalui kategori vokal terbuka (Respect), kategori muzik dunia (Ghazal Untuk Rabiah) serta kategori R&B/Jazz (Dream). Manakala pingat perak pula dimenangi menerusi kategori duet terbuka bersama Yusrizan Yusop atau Bob AF2 (Unbreak My Heart) serta kategori pop (I Turn To You).
Itu kali pertama dia bertanding di luar negara dan terus berjaya mengharumkan nama Malaysia. Sebelum ini, anak dara bintang era 1980-an Raissuddin Hamzah ini mula menyerlah setelah memenangi anugerah Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Sepanjang Tahun semasa Anugerah Industri Muzik tahun 2003.
Pada tahun yang sama, namanya semakin gemilang apabila diangkat sebagai Artis Baru Terbaik dalam acara Anugerah Planet Muzik.
Tidak lama selepas itu, nama Sarah senyap dan agak tenggelam. Empat tahun dia membisu tanpa sebarang album terbaru. Sepanjang tempoh tenggelam itu, macam-macam gosip dan cerita panas timbul, termasuklah kes sering bertukar pengurus dan pembantu peribadi.
Sehinggalah kini, nama Sarah Raissuddin kembali meniti di bibir peminat, terutamanya penggiat seni tempatan apabila meraih kejayaan di peringkat antarabangsa. Sekali gus, kejayaan itu adalah pemangkin juga pembakar semangat untuk kembali memahatkan namanya pada ingatan khalayak sebagai antara artis tempatan yang pernah mengangkat nama Malaysia di pentas dunia.
Namun, tidak mudah menjadi seorang Sarah Raissuddin. Siapa tahu, di sebalik sikap cerianya, tersimpan kisah-kisah pahit dan liku-liku perjalanan bergelar artis. Baca cerita Sarah kepada EMMA HASSAN:
Sebelum menang di Hollywood, nama Sarah tenggelam. Kenapa?
Saya senyap sebab tiada album terbaru. Memang ada beberapa syarikat rakaman beri tawaran cuma saya rasa fobia dengan pengalaman bersama syarikat rakaman lepas. Sebab di Malaysia, kita kurang dapat memperlihatkan kreativiti sendiri berbanding artis luar negara.
Dari album pertama hingga ketiga, semuanya konsep sama. Sebagai anak seni, kreativiti itu sangat diperlukan. Apabila tidak diberikan peluang, itu yang membuatkan saya fobia untuk mengikat kontrak dengan syarikat rakaman lain.
Jadi, saya ingat, mahu buat semuanya sendiri. Tapi, sebenarnya susah sebab pembikinan album perlukan satu pasukan yang kuat dan bagus.
Sudah tentu selepas ini tak susah sebab dah menang dalam WCOPA?
WCOPA itu satu platform untuk membuatkan saya kembali bersemangat. Menang atau kalah itu perkara nombor dua. Jangan kisah sangat pasal pingat kerana yang penting ialah kita membuka mata orang luar terhadap produk Malaysia.
Sebelum ini, orang banyak suruh saya ke Australia buat album dan kembangkan bakat. Tetapi, apabila saya ke Hollywood, orang di sana juga banyak suruh saya kembangkan bakat di sana sebab mereka menghargai bakat saya. Yang penting ialah kualiti. Saya ke sana bukan untuk mendabik dada kononnya akulah terbaik. Tetapi yang utama ialah mencari peluang dan menimba sebanyak mungkin ilmu serta pengalaman.
Secara tidak langsung pingat emas dan perak itu membangkitkan semula nama Sarah?
Saya rasa ada betulnya. Saya dapat ke Hollywood dan orang sana dapat melihat bakat saya. Bayangkanlah, dengan tiada nama di sana tetapi apabila mereka mendengar dan melihat persembahan artis Malaysia, mereka sangat menghargainya. Saya dapat buat sesuatu untuk diri sendiri semasa di Hollywood. Saya rasa macam artis popular di sana apabila ramai peminat datang minta autograf.
Kiranya pengubat masa lalu?
Apa yang saya pasti, anugerah dan pingat ini menjadi pembakar semangat untuk tidak menoleh ke belakang lagi. Ada banyak ruang dan peluang menunggu di depan. Tiada gunanya menoleh ke belakang, meratapi kisah-kisah pahit yang sudah lepas. Maksudnya, segala rasa kecewa dan pengalaman pahit, pasal apa saja yang terjadi dalam kehidupan, harus dilupakan.
Adakah puas dengan pencapaian ini?
Belum puas lagi. Tetapi, syukur alhamdulillah. Kalau boleh saya mahu duduk lebih lama di Hollywood untuk kaut lebih banyak ilmu dan pengalaman.
Tragik sangatkah kisah-kisah pahit itu?
Industri hiburan ini satu bisnes. Kena banyak perancangan. Saya tiada album selama empat tahun sebab terlalu banyak perkara terjadi dalam hidup. Benda-benda itu sedikit sebanyak mengganggu. Sekarang berkat kesabaran dan usaha, inilah yang saya peroleh.
Semasa bertanding dalam One In a Million musim kedua dulu, saya fikir dapat buat pembaharuan. Tapi, usaha saya terhenti bila tidak berjaya ke peringkat akhir. Kemudian saya putus tunang. Sudah tentu apa yang terjadi dalam kehidupan walau dalam sehari sekalipun, akan membuatkan kita tertekan. Dan sekali gus mengganggu kerja.
Putus tunang itu adalah salah satu perkara yang mengganggu fikiran dan kerja. Satu masalah lain pula ialah apabila kita bekerja dengan orang yang tidak matang dan tidak tahu menguruskan kerjanya. Dalam hal ini, saya tidak pernah berselisih faham dengan Abah. Abah banyak membantu dalam apa jua perkara dan usaha yang saya lakukan, cuma Abah ada urusan perniagaan sendiri dan tidak lagi menguruskan saya.
Sekarang, saya mencari seorang pengurus yang betul-betul matang dan tahu etika kerjanya serta tahu apa yang perlu dan harus dilakukan oleh seorang pengurus artis.
Apa yang Sarah belajar daripada kesilapan dan kepayahan lalu?
Apa yang saya pelajari di Hollywood, jangan bekerja dengan orang yang tak boleh buat kerja. Tidak menjadi masalah besar di sana kalau seseorang artis itu bertukar-tukar pengurus dalam usaha mencari yang terbaik. Tetapi di sini, menjadi satu masalah besar kalau seseorang artis itu sering bertukar pengurus.
Pada saya, dalam hal begini, setiap artis kena ambil kisah tentang selok-belok industri. Kalau dulu, saya tak berapa ambil kisah sampaikan saya banyak kali kena tipu. Apa yang saya pelajari, saya perlu tahu banyak benda dan kena bijak agar tidak mudah kena tipu.
Apa perancangan lepas ini?
Setiap hari saya rasakan diri ini adalah Sarah yang baru. Dulu, saya lemah, sensitif dan cepat marah, sekarang saya berbeza. Saya dah semakin matang. Saya perlukan seorang pengurus yang matang, yang bagus dan sesuai serta tahu buat kerja. Saya dah serik kena tipu. Dalam waktu yang sama, saya belajar daripada kesilapan lalu. Ada masanya kita terjatuh, tersungkur tetapi selepas itu kita bangun dan bangkit semula. Apa yang saya lalui di Hollywood merupakan sesuatu yang tidak ternilai untuk karier seni yang sudah lama saya pertahankan.
Selepas ini, saya bakal muncul dengan album single terbaru, terbitan syarikat sendiri. Inilah yang saya tunggu sejak empat tahun lepas. Cuma belum ada syarikat rakaman sebagai pengedar album.
Apa lagi yang Sarah pelajari?
Kadang-kadang kalau kita terlalu mencuba dan berusaha tetapi jika tiada rezeki, peluang dan kejayaan itu takkan diperoleh. Semuanya bergantung pada nasib dan takdir.
Cinta pula bagaimana?
Cinta itulah hal yang paling sulit untuk dijawab. Nak kata terlalu serik itu tidaklah. Bercinta ini seronok sebab cinta itu anugerah Tuhan yang tidak semua orang akan melaluinya. Saya tak pilih kaum atau bangsa asalkan sesuai dan serasi. Saya masih berhubung baik dengan bekas tunang (Mohd. Harith Fuad Robinson).

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: