Wednesday, August 5, 2009

Syarat Eton jika kahwin lagi


WAJAH terbaru Zaiton Sameon yang kini berusia 53 tahun.


SESIAPA sahaja yang melihat keletah dan mendengar kata-kata yang terpacul dari mulutnya, pasti akan membuatkan mereka yang disekelilingnya tidak akan kering gusi.

Pihak media yang mengerumuninya untuk bertanya khabar dan mendapat kisah terbarunya juga tidak henti-henti ketawa mendengarkan jawapan dan ceritanya.

"Kenapa kau semua gelak bila aku cakap? Kelakar sangat ke aku ni?" tanya Zaiton Sameon, figura yang dahulunya seorang penyanyi wanita tersohor dan popular dengan lagu keramatnya, Menaruh Harapan.

"Sebab akak ni kelakarlah kami semua ketawa. Seronok borak dengan akak," jawab salah seorang wartawan yang berada di hadapannya.

Tidak cukup dengan itu, Zaiton atau lebih mesra disapa sebagai Eton saja diusik dengan persoalan cinta dan perkahwinan.

"Dah 23 tahun aku macam ni (hidup sebagai seorang janda). Siapa yang tak nak kahwin tapi bersyarat. Aku mahu lelaki yang 50 tahun ke atas dan sebaya dengan aku," jawab Eton penuh jujur.

Kemudian, saya pula bertanya kepadanya tentang ciri-ciri lelaki yang dicari untuk dijadikan teman hidup.

"Mestilah lelaki yang tulen. Tak nak lah lelaki lembut. Mati akak nanti dik," jawabnya sambil disambut dengan hilai tawa mereka yang berada disekelilingnya termasuklah pengurusnya, Rahim Adam yang berada di sebelahnya.

Pertemuan dengan Eton pada petang itu adalah kerana inisiatif TV3 yang menganjurkan sebuah majlis kejutan untuknya.

Lebih manis lagi, Eton sendiri tidak tahu tentang majlis itu dan sebak melihat air mata Eton yang gugur ke bumi apabila melihat rakan-rakan seperjuangannya berada di dalam dewan itu.

Paparan itu akan dapat ditonton menerusi rancangan Nona khas sempena Syawal yang akan ditayangkan pada hari pertama Aidilfitri nanti.

Ya, jika diamati secara lahiriah dia memang seorang yang melucukan tetapi pergolakan hatinya, tiada siapa yang tahu melainkan Yang Maha Esa.

Sesekali, soalan diajukan kepadanya tetapi tiada jawapan yang diberikan. Hanya renungan sayunya yang cukup jelas menceritakan pelbagai kisah suka dan duka yang disimpan rapi oleh Eton selama hidup.

Siapa sangka, rupanya Eton masih lagi menyimpan hasrat untuk berumah tangga. Sepi hati wanitanya hanya dia yang menanggungnya dan jauh di sudut hatinya, pasti dia mahukan seseorang untuk dijadikan teman hidup.

Tetapi, adakah lelaki yang di luar sana yang mahu memperisterikan wanita seperti Eton selepas impak tragedi hitam yang menimpanya hampir dua dekad yang lalu.

Apatah lagi, perkahwinannya dulu pernah dikurniakan dengan seorang cahaya mata Azirwan Abu Bakar yang telah pergi meninggalkan dirinya dalam kemalangan tragis pada 20 Februari 1990 itu.

Saya juga bertanyakan kepada Rahim sama ada pernahkah ada yang mengambil kesempatan ke atas diri Eton.

Jawab Rahim, perkara itu adalah lumrah dan ada ketika dia sendiri bimbang dengan keselamatan diri artis jagaannya itu.

"Tetapi, saya bersyukur kerana masih lagi ada yang berperikemanusiaan dan berhati ikhlas yang mahu membantu saya memerhatikan Eton jika saya tidak ada bersamanya," kata Rahim yang sudah tiga tahun menjadi pengurus Eton.

Sesekali Eton mencelah dan meluahkan isi hatinya. Dia tidak meminta lebih tetapi apa yang dia mahukan adalah peluang untuknya menyanyi dan menghiburkan masyarakat seperti mana zaman kegemilangannya dulu.

Bukan apa. Dia hanya mahu membuktikan kepada semua yang memandang sinis kepadanya bahawa dia masih lagi mampu menyanyi dan membetulkan persepsi bahawa dia sudah tidak berupaya untuk melontarkan vokalnya.

Malah, jelas Eton dia masih lagi diundang untuk menyanyi di majlis perkahwinan dan apa yang membuatkannya gembira apabila masih ada lagi yang menyokongnya.

Pada majlis yang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor itu, Eton sempat menghiburkan hadirin dengan nyanyiannya dan siapa sangka, dia masih lagi boleh menyanyi dengan baik meskipun vokalnya tidaklah sehebat dan semantap dulu.

Siapa sangka dia mampu menyanyikan lagu rock Black Magic Woman dan Dua Insan Bercinta sehingga mendapat tepukan gemuruh.

"Tetapi itulah masalahnya. Kalau di majlis perkahwinan, perjanjiannya empat lagu sahaja tetapi Eton mahu menyanyi sampai 10 lagu.

"Disebabkan itu, kalau berkesempatan pada setiap malam, saya akan membawanya ke pusat karaoke untuk melepaskan keinginannya selain daripada mengasah vokalnya," ujar Rahim lagi sambil dipersetujui Eton.

Eton yang baru menginjak usia 53 tahun pada 23 Julai lalu berkali-kali memberitahu, dia mahu terus menyanyi dan merakamkan album serta lagu baru.

Bukan itu sahaja, bibirnya juga tidak henti melafazkan syukur dan berterima kasih kepada komposer, A. Ali yang telah membawa namanya ke mercu kejayaan dan mempopularkan dirinya.

"Aku tak nak lah asyik menyanyi kat orang kahwin. Nak juga nyanyi depan audiens. Baru feel. Aku pun harap TV3 nanti panggil aku untuk show macam Muzik-Muzik.

"Bukan itu saja, aku pun nak buat album sebab aku masih lagi boleh menyanyi. Aku nak popular macam dulu," tuturnya yang sesekali diselang seli dengan bahasa Inggeris yang cukup fasih.

Kegembiraan Eton terus melonjak saat Rahim memberitahu, masih lagi ada pihak yang mempercayai bakat penyanyi itu apabila mahu menaja penerbitan album terbaru Eton.

Kali terakhir, Eton muncul dengan lagu Menadah Impian sekitar lima tahun lalu dan masih lagi mendapat permintaan di corong-corong radio.

"Orang itu pernah berkata kepada saya bahawa dia sudi dan mahu menaja kos penerbitan album Eton tetapi kita kena faham dengan situasi sekarang. Susah mahu buat album tetapi Insya-Allah, mungkin kita akan keluarkan dengan single dulu," jelas Rahim yang enggan mendedahkan identiti orang yang dimaksudkan itu.

Eton yang juga cukup popular dengan lagu Kabut Serangkai Mawar dan Rentak Jantung ini juga turut ditanya tentang kehidupannya sekarang.

Menetap di Beranang, Selangor bersama keluarga Rahim, ternyata Eton gembira dengan apa yang dilaluinya hari ini.

"Aku rasa bebas sangat. Minda aku juga mula terbuka. Aku tak boleh hidup terkongkong kerana rimas dan tak boleh nak buat kerja.

"Jadi, bila aku tinggal kat kampung tu, aku bebas pergi ke mana aku nak. Pagi-pagi lepas sembahyang Subuh, aku akan luangkan masa untuk berjoging dan jalan keliling kampung," ujar Eton yang gemar memakan nasi lemak dan pisang goreng sebagai santapan sewaktu sarapan pagi dan minum petang.

Kisah hidup Eton yang penuh warna-warni sememangnya cukup menarik seandainya ia dizahirkan menjadi sebuah naskah yang diangkat ke layar perak.

Malah, penerbitan filem biografi Eton sudah lama dicanangkan sejak sekian lama sehingga ada beberapa nama yang disebut-sebut untuk memegang watak Eton dan salah seorang pilihannya ialah Ziana Zain.

Kisah itu kembali hangat dan heboh diperkatakan apabila projek filem berkenaan dilaporkan akan diterbitkan dalam waktu terdekat ini.

Pihak yang mahu menerbitkan filem itu bukanlah calang-calang iaitu Les' Copaque Production Sdn. Bhd. yang menerbitkan filem box-office, Geng: Pengembaraan Bermula dan siri animasi Upin dan Ipin.

Ditanya perkembangan terkini projek berkenaan itu, Rahim berkata, pihak penerbit kurang berpuas hati dengan skrip yang dihasilkan beberapa orang penulis skrip merangkap pengarah filem berkenaan.

"Untuk itu, beberapa rombakan telah dilakukan dan kita hanya akan menunggu dan melihat apa perkembangannya nanti," ujarnya ringkas.

Filem itu kelak tidak akan mengambil cerita Eton sepenuhnya. Sebaliknya, kisahnya bermula selepas Eton menjuarai Anugerah Juara Lagu '87 sehinggalah sekarang.

Pastinya, ramai yang tertanya-tanya siapakah yang bakal membawakan watak Eton dalam filem itu nanti kerana bukannya mudah untuk merealisasikan watak yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri hiburan tanah air itu.

Buat masa ini, calon utama yang telah menarik perhatian pihak penerbit yang dilihat sesuai membawakan watak itu adalah penyanyi dan pelakon hitam manis, Nurul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: