Wednesday, August 5, 2009

Noryn, Atilia sama hebat


NING Baizura (kanan) juga antara teman artis yang hadir memberikan sokongan kepada Atilia (kiri) dan Noryn.


MUNGKIN nama Atilia dan Noryn Aziz tidak begitu popular di kalangan pencinta muzik arus perdana tempatan.Tetapi, hakikatnya kedua-dua nama itu sememangnya cukup besar bagi mereka yang sudah lama mengikuti perkembangan Atilia dan Noryn sebelum mereka cuba menembusi arus muzik semasa.

Pengalaman yang ditimba mereka bukanlah semalam dua tetapi boleh dikatakan sudah berdekad lamanya.

Menghiburkan masyarakat dan audiens di kelab-kelab malam serta restoran eksklusif sejak azali lagi membuktikan baik Atilia mahupun Noryn mempunyai pengikutnya tersendiri sementelah muzik yang diperjuangkan mereka adalah berbeza.

Sesuai dengan vokalnya yang lunak dan manja, Atilia lebih selesa mendendangkan muzik dan lagu bernuansakan jazz kontemporari seperti mana yang dapat didengar menerusi album sulungnya, Sangkar.

Berlainan pula dengan Noryn yang begitu cocok dengan muzik R&B soul memandangkan dia memiliki kuasa vokal yang cukup hebat, ampuh dan bertenaga sekali.

Biarpun mereka berdua membawa gelombang baru dalam industri muzik tempatan, entah di mana silapnya mereka bagaikan tidak dipandang oleh segelintir pihak yang merasakan muzik mereka tidak mampu memikat pendengar.

Baik Atilia mahupun Noryn cukup sedar akan hakikat. Namun bagi mereka itu bukan satu titik noktah untuk mereka tidak meneruskan perjuangan dalam bidang muzik yang cukup dicintai mereka.

Berbekalkan pengalaman sebelum ini, maka tidak hairanlah dua sahabat sejati ini dengan inisiatif mereka sendiri dalam melaburkan wang untuk menganjurkan persembahan yang menggandingkan mereka berdua.

Malam Nada Biru yang berlangsung di Lambang Sari, Istana Budaya (IB) selama dua malam berturut-turut bermula pada 30 Julai lalu berjaya menterjemahkan luahan jiwa dua anak seni ini.

Hanya dengan kos yang kurang daripada RM40,000 mereka berjaya mempamerkan persembahan yang cukup hebat dan mantap lantas melayakkan mereka untuk digelar penghibur sejati.

Kekuatan Malam Nada Biru bukan sahaja terletak pada kekuatan dan keasyikan alunan vokal mereka berdua tetapi kehebatan keseluruhan produksi itu sendiri.

Biarpun tempatnya kecil, tetapi impak yang ditinggalkan cukup besar dengan sistem bunyi yang cukup hebat dan mantap.

Ternyata Atilia dan Noryn mengotakan janji mereka untuk memberikan persembahan terbaik dan mahu audiens pulang dengan perasaan puas setimpal dengan harga tiket RM80 yang dikenakan untuk persembahan itu.

Untungnya Atilia dan Noryn mereka mendapat sokongan daripada pihak yang tahu dan sedar akan bakat mereka dan untuk itu, ramai yang sanggup membantu semata-mata untuk meletakkan nama mereka di tangga teratas.

Maka itu, tidak hairanlah apabila barisan pemuzik yang terlibat dalam Malam Nada Biru semuanya adalah terbaik dan terunggul sehingga ada yang sudah diiktiraf sebagai yang terbaik di Asia dan juga dunia.

alunan indah

Dikenali sebagai Mujik Majik, Malam Nada Biru diperhebatkan dengan kuasa muzik oleh Lewis Peragasam (drum), Steve Thornton (percussion), Zailan Razak (bass), Jamie Wilson (gitar) serta Sze Wan dan Tok Khon selaku pemain keyboard selain Eric Li yang bertindak sebagai pengarah muzik dan juga pemain keyboard.

Set pertama Malam Nada Biru dimulakan dengan alunan indah Atilia yang berjaya mempamerkan sebuah persembahan yang cukup membuai rasa saat dia menyampaikan lagu Sangkar.

Vokalnya yang merdu dan lunak itu telah meletakkan Atilia di landasannya yang tersendiri dan melihatkan respons audiens pada malam pertama itu jelas membuktikan bahawa Atilia sebenarnya mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

Meneruskan persembahan dengan lagu terbarunya, Indah yang juga judul album keduanya yang akan dipasarkan selepas Aidilfitri nanti membuktikan lagu tersebut masih lagi mengekalkan identiti muzik yang dipegangnya selama ini.

Atilia juga bijak mempromosikan album keduanya dengan menyampaikan sebuah lagu Inggeris berjudul Old Love yang dinyanyikan secara duet bersama vokalis kumpulan Hujan, Noh.

Namun malam itu, Atilia menyanyikannya bersama pemain gitar, Jamie Wilson yang tidak kurang hebatnya.

Malam terus hangat apabila Ratu Lagu Iklan itu menyanyikan semula lagu Gelombang dalam nafas baru yang juga lagu popular ibunya, Salamiah Hassan.

Pemilik nama penuh Raja Puteri Atilia Raja Haron ini juga mengimbau nostalgia audiens sewaktu menyanyikan lagu Leka yang pernah disampaikannya sewaktu membintangi pementasan P. Ramlee The Musical tidak berapa lama dulu.

Antara lagu lain yang dinyanyikan Atilia sebelum mengakhiri persembahannya adalah Harus Bagaimana yang pernah dipopularkan kumpulan Maliq & D'Essentials selain lagu medley Selalu Denganmu dan Ranjau.

Malam Nada Biru terus hangat dengan sorakan penonton apabila Noryn mengambil alih pentas dengan mendendangkan lagu Alam Maya.

Selain kemantapan vokal hebatnya itu, Noryn turut memukau hadirin dengan keanggunannya mengenakan gaun hitam sontok singkat sarat perincian jemeki rekaan Eclipse by Sonny San.

Platform Malam Nada Biru digunakan sebaiknya oleh anak jati Petaling Jaya, Selangor ini untuk memperkenalkan karya-karyanya yang dimuatkan dalam album Alam Maya yang merupakan album kemunculan kembali Noryn di persada seni suara.

Untuk itu, Noryn telah menyampaikan lagu-lagu seperti Make It On My Own, Kembalikan, Lara dan Cerita Cinta yang membuktikan bahawa bakatnya berada di dalam kelas yang tersendiri.

Vokalnya tiada apa yang perlu dipertikaikan kerana ia sudah cukup membuat penonton pada malam itu terkesima dan terpesona dengan kehebatannya sewaktu beraksi di pentas.

Seperti Atilia, pemilik nama penuh Norazmahwati Abd. Aziz ini juga sempat mempromosikan buah tangan ciptaan terbarunya berjudul I'm Alright dan Bila-Bila Saja.

Sebelum mengakhiri persembahan, Atilia dan Noryn sempat berduet menerusi lagu Cerita Cinta dan Sangkar dengan susunan muzik yang berbeza dan unik sekali.

Persembahan mereka pada malam itu turut menyaksikan beberapa nama besar industri yang hadir menonton persembahan mereka sekali gus membuktikan perjuangan mereka disokong sepenuhnya oleh rakan-rakan artis yang lain.

Antaranya ialah Datin Seri Tiara Jacquelina yang hadir bersama suaminya, Datuk Seri Effendi Norwawi, Roslan Aziz, Ning Baizura bersama ibunya, Satilah Abdullah, Yasmin Hani, Aishah Sinclair bersama suami dan Sazzy Falak yang bertindak sebagai pengacara pada malam itu.

Malam Nada Biru sudah cukup membuktikan bahawa industri kita hakikatnya mempunyai bakat-bakat yang cukup hebat dan setanding dengan penyanyi luar.

Cuma, mereka ini langsung tidak diberikan peluang untuk menonjolkan bakat mereka kepada khalayak dan kehadiran Atilia dan Noryn juga membuktikan industri tidak pernah ketandusan bakat yang hebat.

Penyanyi dan penghibur seperti Atilia dan Noryn sewajarnya dipelihara dengan baik kerana mereka merupakan penyambung legasi seni tempatan.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan menonton Malam Nada Biru, usah bimbang kerana ia akan diterbitkan dalam bentuk DVD dan CD serta kemunculan semula siri persembahan itu di tempat yang sama tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: