BARU-BARU ini sedang Joyah syok melayari Internet dan membaca beberapa blog kesukaan, tiba-tiba Joyah terjumpa satu blog yang Joyah kenal sangat empunyanya.
Siapa lagi kalau bukan Engku Emran Engku Zainal Abidin, Ketua Pegawai Operasi radio Suria FM yang juga suami kepada artis popular Erra Fazira.
Dalam blognya, eeblog08.blogspot.com itu, banyak kisah-kisah menarik mengenai diri dan kehidupannya. Satu yang menarik perhatian Joyah adalah tentang kisah 'perang' siapa tiru siapa yang berlaku antara stesen radionya dengan radio Era.
Wah! Nampaknya semakin panas cerita antara radio Era dengan Suria FM. Orang ini kata orang itu tiru, orang itu kata pula, sudah lama mereka buat strategi itu.
Emran dalam blognya mempertahankan Suria FM sebagai stesen pendahulu format 40 minit muzik terbaik tanpa henti iaitu tanpa diganggu sebarang iklan. Kata Emran, dia tak akan bising-bising kalau dia tidak pasti dengan apa yang dilakukan.
Mengakui apa yang diaplikasikan oleh Suria FM itu bukan benda baru kerana banyak lagi radio di dunia ini menggunakan format sebegitu. Namun tegas Emran, pihaknya merupakan yang pertama mengaplikasikannya ketika itu iaitu semasa Suria FM melakukan pembaharuan pada awal tahun.
Itupun setelah dibuat perbincangan dan kajian bahawa tiada satu pun radio ketika itu menggunakan format sedemikian.
Jadi siapa tiru siapa sekarang ini? Entahlah, Joyah pula yang naik bingung dengan situasi itu. Seingat Joyahlah, Suria FM sahaja yang buat kenyataan mereka hadir dengan format baru, 40 minit muzik terbaik tanpa henti.
Sebab dewasa ini semua stesen radio berlumba-lumba putar lagu terkini dengan siaran iklan yang mengganggu halwa telinga.
Joyah faham sangat keperluan iklan dalam stesen radio kerana ia penyumbang kepada keuntungan syarikat.
Tapi kalau dah banyak sangat, orang pun bosan juga mendengarnya, ye tak? Itu yang dibuat oleh kebanyakan stesen tempatan sekarang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: