Tuesday, August 4, 2009

Siti tekankan tajwid semasa rakam lagu ‘Asma Ul Husna’

Album kerohanian Siti bakal dilancarkan pada minggu pertama bulan puasa nanti.

DIAM tak diam, sejak dua minggu lalu penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza telah merakamkan lima buah lagu yang akan dimuatkan dalam album kerohanian, ‘Tahajjud Cinta’.

Bercerita mengenai pengalaman pertama merakamkan album yang juga menampilkan elemen ketuhanan itu, Siti berkata dia banyak mempelajari tajwid dengan betul apabila sesebuah lagu itu melibatkan bahasa Arab.

“Tiada perkara luar biasa kerana proses rakamannya lebih kurang sama seperti saya merakamkan album lain.

“Cuma apabila saya merakamkan lagu Asma Ul Husna, saya lebih menekankan kepada tajwid yang betul.

“Alhamdulillah, mujurlah ada Ustaz Salleh dari kumpulan Brothers yang dijemput untuk meneliti tajwid saya.

“Selagi kita berminat untuk belajar, kita akan berasa lagi seronok. Selepas belajr tentang tajwid dan sebutan yang betul, saya semakin yakin menyampaikan lagu ‘Asma Ul Husna’,” jelasnya dalam nada ceria.

Tambah Siti, “Saya juga suka belajar tajwid dalam lagu selawat. Saya rasa dapat banyak manafaat, seperti dua dalam satu iaitu sambil menyanyi saya juga mengingati Allah.

“Alhamdulillah, saya rasa begitu tenang sekali apabila selesai rakam satu lagu selawat Rasulullah. Perasaan seronok dalam merakamkan album tidak pernah saya dapat sebelum ini.”

Siti juga menerangkan yang seperti biasa dia juga terpaksa mengulangi rakam lagu yang tidak mencapai sasaran yang diinginkan.

“Kadangkala sebuah lagu tu saya akan rakam tidak sampai satu jam dan ada juga lagu yang perlu dirakam lebih dari satu jam.

“Rakaman itu bergantung kepada ‘feel’ dan ilham kita,” kata Siti yang merakamkan lagu di studio milik komposer Azman Abu Hassan di Desa Melawati, Ulu Klang.

Antara lagu-lagu yang dirakamkan oleh pelantun lagu ‘Di Taman Teman’ ini merupakan lagu yang pernah dinyanyikan olehnya semasa ‘Muzikal Teater Sirah Junjungan’ iaitu lagu ‘Ya Rasulullah’, ‘Asma Ul Husna’ dan ‘Selawat Atas Nabi’.

Sementara lagu yang dinyanyikan untuk filem Indonesia - Perempuan Berkalong Sorban, seperti ‘Ketika Cinta’ dan ‘Batasku Asaku’, Siti sendiri yang mencipta lagu 'Batasku Asaku'.

“Selepas ini (semalam), Siti akan sambung untuk merakam dua buah lagu yang tinggal iaitu sebuah lagu ciptaan Audi Mok manakala lagu yang kedua adalah lagu ‘Tahajjud Cinta’ ciptaan Kak Erma Fatima.

“Alhamdulillah, saya sudah selesai ‘shooting’ untuk ‘cover’ album. Insya-Allah, minggu pertama puasa nanti kita akan lancarkan album ini,” kata Siti yang akan merakamkan album duetnya dengan penyanyi Indonesia Kris Dayanti pada November depan.

Kata Siti, dijangka kira-kira tujuh buah lagu yang akan dimuatkan dalam album duet itu dengan sentuhan komposer tempatan dan Indonesia iaitu Aubrey Suwito, Sharon Paul dan Aidit Alfian.

“Saya masih menunggu lagu duet yang akan dipilih oleh Kris dari Indonesia. Selepas ini kami akan merakamkan lagu di sini dan mungkin separuh lagu lagi akan dirakamkan di Indonesia.

“Saya tak kisah untuk bekerjasama dengan mana-mana komposer dari Indonesia dan saya lebih memberikan kelonggaran kepada dia (Kris),” cerita Siti yang pernah bekerja dengan komposer Melly Goeslow dan Glenn Fredly.

Semalam, Siti ketika dihubungi memberitahu yang dia baru balik menghantar suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K ke lapangan terbang untuk mengerjakan umrah.

“Dia (Datuk K) mengerjakan umrah dengan anaknya, Asyraf. Saya tak dapat ikut kerana pada 6 Ogos ini saya sudah terikat dengan majlis makan malam Jusco.

“Saya tak boleh nak batalkan untuk menghadiri majlis itu kerana mereka sudah membuat persiapan,” katanya mengenai majlis yang akan dilakukan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu.

1 comment:

  1. edan pasti membeli album Siti!!! mesti best lah!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: