Tuesday, August 4, 2009

Liyana Jasmay elak bercakap pasal Aizat kerana takut dikutuk

Bakat Liyana semakin menyerlah dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.

KERNA sibuk berlakon filem ‘Niyang Rapik’, pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay terpaksa bercuti sebulan daripada menyiapkan album mininya, ‘Liyana Jasmay’.

Album berkonsepkan ‘rock remaja popular’ itu sepatutnya diterbitkan dalam bulan ini namun disebabkan dia baru sahaja menamatkan pengambaran filem arahan Ahmad Idham itu, jadi Liyana dijangka akan mengeluarkan album itu pada Oktober depan.

Lima buah lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah ‘Aku Jatuh Cinta’, ‘Kejam’, ‘Aku Tak Percaya Cinta’, ‘Pelik’ dan ‘Penyelamat Cinta’.

Selepas selesai menjalani pengambaran filem selama sebulan, kini Liyana akan menumpukan perhatiannya kepada nyanyian serta mempromosikan filem ‘Papadom’ dan ‘Pisau Cukur’ yang dijangka muncul di pawagam mulai 8 Oktober dan 5 November depan.

Liyana juga sedang menyambung pengajiannya di Kolej Sunway yang dijangka selesai pada tahun 2011.

Saban hari meniti nama sebagai anak seni, Liyana berkata dia tidak pernah mengenal erti jemu malah seronok dengan kehidupan yang dilaluinya sekarang.

Liyana memulakan kariernya sejak tahun 1997 dan mungkin ramai yang lupa, gadis berusia 21 tahun ini pernah berlakon sebagai pelakon pembantu drama kanak-kanak, ‘Si Lembik’.

Zaman kanak-kanak dan remajanya dilalui dengan suasana yang berlainan kerana Liyana membesar sebagai seorang selebriti.

Namun, jelas Liyana dia akan meneruskan kerjayanya ini selagi dia mengecapi kebahagiaan dengan hasil usaha yang dilakukan.

“Saya berlakon bukan kerana terpaksa tetapi keluarga saya sangat membantu dan buat kerja ini bukan kerana kewangan semata-mata.

“Saya masih menjalankan kehidupan seperti remaja lain dan gembira bersama keluarga.

“Memanglah kadangkala saya akan tertekan dengan orang keliling tetapi bukan kerana kerja yang saya buat .

“Jika saya sudah tidak bahagia dengan apa yang saya lakukan, mungkin saya akan berhenti daripada melakukannya,” luahnya yang akan menghabiskan masa melancong bersama keluarga, berehat di rumah atau bersiar-siar dengan kawan-kawan apabila mempunyai masa lapang.

Mengenai cinta, Liyana akui yang dirinya juga mempunyai naluri semulajadi yang sama seperti remaja lain.

Baru-baru ini tersiar cerita mengatakan Liyana sedang bercinta dengan Aizat namun sehingga sekarang mereka masih tidak mengakuinya.

“Saya seorang yang berfikiran panjang dan tidak boleh membuat kenyataan sesuka hati mengatakan yang saya bercinta dengan orang itu dan ini.

“Saya tidak mahu minda orang lain terikat mengatakan saya dan seseorang itu sedang bercinta kerana sebolehnya saya ingin menumpukan kepada karier..lagipun bukan semua orang suka bercakap tentang hal ini.

“Cukuplah orang mengetahui yang sekarang ini saya hanya berkawan dengan Aizat. Kami memang rapat selepas saya mengenalinya sejak setahun lalu.

“Bukan saya takut untuk mengaku yang kami sedang bercinta tetapi saya nak elak dari dikutuk apabila perkara negatif berlaku.

“Saya tak suka perkara seperti itu berlaku lagipun saya ada banyak perkara yang ingin dilakukan.

“Baik saya biarkan saja pada sesiapa yang tahu tentang cerita ini..,” tegas Liyana yang tidak akan menipu sekiranya mereka benar-benar bercinta.

Tambah Liyana, dia juga menafikan Aizat merupakan insan yang banyak mendorongnya dalam bidang nyanyian sebaliknya komposer Ajai dan AG (Coco) yang banyak berpengaruh di awal pembabitannya sebagai penyanyi.

Masih ingat drama ‘Si Lembik’

Bercerita mengenai pengalamannya ketika berlakon drama ‘Si Lembik’, Liyana berkata waktu itu usianya baru mencecah sembilan tahun.

Sekarang, drama itu pun telah tertinggal jauh lebih sedekad lalu dan Liyana tidak pernah terfikir yang drama arahan Aznil Hj. Nawawi itu akan dibikin semula.

“Cerita itu memang ‘cute’ namun saya tidak pasti sama ada cerita itu akan dibuat semula atau tidak kerana setahu saya syarikat yang menerbitkan drama itu juga sudah tiada lagi.

“Saya masih ingat tentang bagaimana seronoknya saya menjalani pengambaran dengan kanak-kanak yang lain.

“Perasaan saya waktu tu bersifat semulajadi dan tidak terlalu serius,” kata Liyana mengenai drama yang mengambil inspirasi cerita ‘Little Rascal’ itu.

Selain 'Si Lembik', Liyana turut berlakon drama 'Najwa', 'Dendam Terlerai', 'Cinta Sempadan', 'Balqis', 'Kami', telefilem 'Laila Sari', filem 'Kami The Movie', 'Castelo' dan 'Maut'.

Liyana juga merupakan jurucakap Maybelline sejak Mac lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: