Thursday, August 6, 2009

Senandung kerinduan Jac


JAC berharap tidak akan ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan kemenangan filem Talentime seandainya filem itu menang pada Festival Filem Malaysia Ke-22, Sabtu ini.


ADA suara Jaclyn Victor cukup tenang di hujung talian saat kami berbicara tentang kejayaannya membolosi tembok kebal pencalonan Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) yang akan berlangsung Sabtu ini (8 Ogos) di Kota Kinabalu, Sabah.

Memang dia mengakui perasaannya bercampur baur sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai salah seorang finalis dalam kategori sebagai Pelakon Harapan Wanita.Terkejut, terharu dan gembira dalam masa yang sama dia juga berasa bertuah kerana menerusi sebuah karya yang cukup hebat dia berjaya mencuri perhatian juri untuk dicalonkan sebagai salah seorang yang terbaik.Semuanya atas tiket filem Talentime arahan sutradara genius, Allahyarham Yasmin Ahmad yang meninggal dunia pada 25 Julai lalu akibat pendarahan dalam otak.Termasuk pencalonannya dalam kategori Pelakon Harapan Wanita, Talentime meraih 11 pencalonan dalam festival tahun ini sekali gus menjadikannya filem paling banyak yang menerima pencalonan.Jaclyn atau Jac tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi untuk menggenggam gelaran itu, cuma apa yang diharapkan, tidak akan ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan keputusan FFM22 seandainya Talentime menjulang kejayaan pada malam itu nanti."Saya tidak mahu akan ada yang kata kemenangan Talentime nanti atas dasar simpati hanya kerana Mak (panggilan untuk Yasmin) sudah tiada. "Jika mahu mengiktiraf Talentime, biarlah penilaian itu dilakukan secara jujur dan ikhlas," luah Jac berkongsi pandangan mengenai filem pertama dan terakhir lakonannya bersama pengarah hebat itu.Malah, Jac juga percaya seandainya pada malam itu nanti kejayaan berpihak kepada mereka yang terlibat dalam Talentime akan berterima kasih kepada Yasmin atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepadanya.Begitu juga dengan dirinya. Berkali-kali dia menyatakan betapa bertuah dirinya apabila dapat berlakon di bawah arahan Yasmin yang dia sendiri tidak pernah mengimpikannya untuk berlaku.Jac percaya dengan perjalanan hidup serta suratan takdir yang tertulis apabila dapat membintangi dalam sebuah filem yang cukup sarat dengan aspirasi dan semangat kenegaraan dalam filem berkenaan.Membawakan watak Bhavani, pemilik nama penuh Jaclyn Joshua Thanaraj Victor ini menjelaskan, proses membintangi filem berkenaan bukanlah semudah yang disangka.Tetapi, disebabkan kepercayaan dan bimbingan yang diberikan oleh Yasmin kepada dirinya dalam menyelami watak Bhavani itu, ia telah terakam sebagai momen yang cukup indah dalam hidupnya.Baginya, bukan mudah dan tidak mungkin baginya untuk meraih pengalaman seperti itu lagi dan dia percaya, seandainya kemenangan berpihak kepada dirinya pada malam itu, Yasmin akan tumpang gembira untuknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: