![]() |
| FAUZIAH Nawi (tiga dari kanan) bersama para pelakon Lorong Blues (dari kiri) Raja Emy Shahril, Ungku Hariz Faizal, Ard Omar, Adrina Badri, Syalizawani Ramlan dan Chie Azim. Teater berkenaan dipentaskan di Stor Teater, DBP, Kuala Lumpur sehingga esok. |
'LORONG belakang' secara simboliknya menggambarkan suatu jalan yang terpaksa dilalui oleh seseorang dalam meniti kehidupan seharian selepas tiada pilihan kerana masalah-masalah sosial yang membelenggu di sekelilingnya.
Ia juga sebagai alternatif bagi meneruskan survival dalam menelusuri kehidupan seharian bersama insan-insan lain yang turut mengharungi nasib dan permasalahan tersendiri di satu lorong kehidupan yang yang penuh sisi gelap.
Dalam konteks teater Lorong Blues arahan Fauziah Nawi pula, 'lorong belakang' yang diterjemahkan menerusi naskhah seni ini iaitu sebagai 'lorong blues' banyak memaparkan tentang masalah dan rencah kehidupan tersebut.
Teater terbitan Stefani Events itu antara lain memaparkan tentang sebilangan penyakit sosial seperti gejala penagihan dadah, pelacuran dan kes pembuangan anak yang banyak melingkari kehidupan sosial masyarakat hari ini.
Fauziah berkata, blues digunakan dalam judul teater yang sedang dipentaskan di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur sehingga esok ini secara tidak langsung menggambarkan sisi gelap lorong tersebut.
"Saya mahu menggambarkan bahawa perkataan blues di sini membawa maksud kedukaan. Lorong yang ingin saya paparkan dalam teater ini penuh dengan segala macam masalah sosial orang-orang yang pernah mendiaminya.
"Daripada dialog dan permasalahan yang diketengahkan dalam watak-watak teater ini, para penonton akan didedahkan dengan masalah-masalah yang biasa timbul di lorong-lorong belakang.
"Daripada situ jugalah kita akan dapat menyelami punca masalah sosial berlaku dan signifikannya lorong belakang dengan sisi gelap dalam kehidupan manusia," katanya kepada Hits ketika ditemui selepas pementasan Lorong Blues baru-baru ini.
Lorong Blues yang antaranya dilakonkan oleh Ard Omar sebagai (Selamat), Syalizawani Ramlan (Mak Jah), Adrina Badri (Linda) dan Ungku Hariz Faizal (Kudin) itu tidak ketinggalan memaparkan watak wanita hari ini yang ramai terkeliru dengan identiti mereka sendiri.
Watak Linda misalnya, digambarkan sebagai seorang gadis yang berubah identitinya sebagai lelaki atau pengkid dengan alasan pernah dirogol oleh bapanya sendiri ketika dia masih kecil.
Menurut Fauziah, senario itu merupakan perkara yang semakin lumrah berlaku dalam masyarakat hari ini tetapi ia kurang diberi perhatian serius mungkin kerana mahu menjaga maruah pihak-pihak tertentu yang belum bersedia membicarakannya secara terbuka.
Kepelbagaian rencam kehidupan manusia yang melalui sisi gelap itu dapat diperhalusi juga menerusi petikan daripada teater yang mengenakan tiket berharga RM30 (dewasa) dan RM20 (pelajar) itu seperti berikut:
"Dunia punya hal dalam ada macam-macam juga cerita. Hey! baghal... semua yang di lorong ini adalah satu! Kau orang ni manusia ke binatang? Kasihan syaitan... Kebenaran menyakitkan bukan?".
Selaku penulis skrip naskhah ini, Fauziah seolah-olah mahu menggambarkan manusia yang terjebak di lorong belakang merupakan mereka yang bermasalah. Walaupun masalahnya berbeza-beza tetapi ia adalah masalah yang biasa diceritakan di lorong seperti itu.
Malah, masalah-masalah sosial yang dipaparkan menerusi Lorong Blues bukan statik pada satu-satu masa, sebaliknya ia merupakan permasalahan yang akan berlanjutan sehinggalah matahari terbit dari arah Barat (kiamat).
Relevan
"Saya sengaja menggunakan Lorong Blues sebagai judul teater ini kerana ia lebih mudah menarik perhatian. Saya menulis skrip teater ini pada tahun 1998. Walaupun sudah 11 tahun tetapi permasalahan yang diketengahkan dalam teater ini akan relevan sampai bila-bila," ujarnya.
Selain menggunakan dialog sebagai tunjang kekuatan penceritaan, teater yang dipentaskan pada pukul 9 malam sejak 24 Julai lalu itu juga banyak dikesankan menerusi alunan lagu-lagu latarnya.
Iryanda Mulia selaku pemetik gitar akustik banyak mencetuskan lirik-lirik lagu yang diselitkan dalam penceritaan teater ini sambil dinyanyikan oleh beberapa penyanyi latar dalam nada yang sentimental.
Selain watak Linda yang terjerumus ke kancah menjadi seorang pengkid, watak Kudin digambarkan terbabit dengan masalah kumpulan haram, sementara Mak Jah pula mewakili golongan ibu muda yang lupa akan tanggungjawab terhadap anaknya yang masih kecil.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: