Sekumpulan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kulim, Kedah terus gigih berjuang mengumpul dana sebanyak RM250,000 demi kepentingan ‘anak-anak tersayang’ di Kiulu, Sabah.
Begini bermulanya cerita yang ingin disampaikan. Pada 20 Mac 2007, akhbar Daily Express News di Sabah memaparkan sebuah artikel yang cukup menyayat hati. Sesiapa sahaja yang membacanya dapat membayangkan kedaifan hidup sebuah keluarga yang terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang untuk terus bernyawa.
Kisah itu menceritakan bagaimana enam orang adik-beradik dan ibu mereka sekadar 'kenyang' dengan menjamah bubur nasi dan sayur kangkung. Menyingkap kisah hidup mendiang Donni John Duin, 11, dia ialah seorang anak yang pendiam dan tidak bermasalah. Penderitaan yang terpaksa dilalui sejak bapanya disumbat masuk ke penjara akibat dadah begitu menyentuh hati.
Menurut ibunya, Hina Joloni, 39, setiap kali pulang dari sekolah, wajah Donni begitu murung kerana tertekan dengan ejekan dan cemuhan rakan sekelas. Menyarung pakaian yang kusam dan hanya mampu menikmati sajian ringkas, Donni merasai keperitan yang teramat pedih.
Kali pertama, dia cuba membunuh diri tetapi gagal. Namun dalam percubaan kedua, Hina menemui anaknya yang sudah tidak bernyawa. "Apabila saya menegur perbuatannya yang cuba membunuh diri pada kali pertama, Donni memberitahu bahawa dia sanggup berbuat demikian bagi meringankan beban keluarga."
"Setidak-tidaknya, kurang seorang anak untuk diberi makan dan bahagian makanannya boleh dibahagi kepada adik-beradik lain," luah Hina mengenangkan kata-kata anak kesayangannya dengan penuh hiba.
Sebaik sahaja membaca kisah itu, entah berapa ramai daripada kita mampu mengimbau kembali kisah pilu tersebut. Mungkin ia sudah lenyap daripada ingatan kita ketika ini tetapi bukan bagi Raja Ali Raja Othman, Hamidi Baharuddin, Kamaruddin Yusop, Noor Bakri Ahmad, Mashitah Puteh, AR. Meor Wazir Zul'Aidin dan rakan-rakan mereka yang lain.
Raja Ali berada di bumi Sabah semasa kejadian pilu yang menimpa Donni berlaku. Selepas mengadakan perjumpaan dengan Sabah Credit Corporation (SCC) atas dasar kerja, beliau berbual dengan Pengurus Besar SCC, Datuk Vincent YK Pung. Ketika itu jugalah, isu Donni dibincangkan.
Di Sabah, hampir 5,000 remaja dilaporkan terpaksa berhenti sekolah sebelum sempat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Bukan kerana tidak berminat tetapi dibelenggu kemiskinan dari generasi demi generasi. Selain itu, mereka juga menghadapi kesukaran perjalanan berulang-alik dari sekolah yang terletak jauh dari rumah.
SCC menerusi kelab sukannya sentiasa menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat seperti mendirikan asrama sekolah dan surau di Sabah. "Pada tahun 2007, saya difahamkan sebanyak lapan buah sekolah masih menunggu mendapatkan bantuan membina asrama," kata Raja Ali ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur.
"Sebagai seorang bekas pelajar yang pernah menikmati faedah kemudahan asrama, saya meminta Vincent supaya menyediakan asrama di sekolah yang benar-benar memerlukan di Sabah. Sekolah itu akan menjadi projek 'kami' yang diusahakan secara bersatu padu," ujarnya sambil merujuk 'kami' adalah rakan-rakan sekolahnya yang popular dengan gelaran Killerbatch.
Killerbatch merupakan sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kulim, Kedah yang pernah tinggal di asrama maktab tersebut dari tahun 1979 sehingga 1983. Mujur disediakan sebuah tempat tinggal yang berdekatan dengan tempat pembelajaran, mereka tidak perlu risau tentang cuaca panas atau hujan sekali gus berpeluang belajar dalam suasana selesa dan tenang. Berdasarkan pengalaman manis itu, Killerbatch memahami betapa susahnya kehidupan bagi sesetengah kanak-kanak di Sabah tanpa asrama.
Pada hujung tahun 2008, SMK Tun Fuad Stephens di Kiulu, Sabah muncul dalam senarai sekolah yang menantikan pembinaan asrama. Sebanyak 100 daripada 1,400 pelajar di sekolah itu memerlukan asrama dengan kadar segera.
Sebahagian besar para pelajar ini berjalan kaki selama dua hingga tiga jam merentasi hutan dan sungai menuju ke sekolah. Menurut ahli Killerbatch, Megat Zulkarnain Mohd Nazri, dia pernah terserempak dengan seorang pelajar tingkatan lima, Jefri di jambatan Poturidong, Kiulu yang bangun seawal pukul 4 pagi agar tidak terlambat ke sekolah.
"Apabila dilanda banjir besar, sebahagian jambatan gantung ini hanyut," katanya.
SMK Tun Fuad Stephens mempunyai sebuah asrama desa tetapi ia telahpun dihuni oleh 100 pelajar. Dengan 16 orang ditempatkan dalam sebuah bilik, ia menyukarkan Guru Besar, Marsha Anthony Bongkok dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Joisin Rumut mencari ruang kosong. Ada juga yang terpaksa berkongsi katil dengan adik sendiri meskipun sempit.
Mengetahui keadaan genting yang dialami di sekolah ini sejak bertahun-tahun, Raja Ali, Hamidi, Kamaruddin, Bakri, Mashitah dan Meor sepakat meminta ahli-ahli Killerbatch lain mengutip derma yang disasarkan berjumlah RM250,000.
Secara kebetulan, tahun ini menyaksikan sambutan ulang tahun Killerbatch yang ke-30. Pada majlis keraian yang diadakan pada 4 Februari 2009 di Taman Ekuestrian Putrajaya, ramai hadirin termakan pujukan mereka. "Bagi menjadikan acara ini lebih bermakna selain bersuka-ria, sesi kutipan derma dilakukan pada hari itu juga."
"Proses itu diteruskan sehingga bulan Mei lalu apabila kami berjaya mengumpul sebanyak RM57,426," ujar Bakri yang kerap mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli jawatankuasa projek Asrama Donni.
Sebagai ibu bapa, mereka semua amat memahami kesegeraan bagi membina Asrama Donni sebelum bermulanya sesi persekolahan tahun 2010.
"Walaupun kami sibuk dengan kerjaya masing-masing, berulang-alik ke luar negara dan menyediakan yang terbaik buat keluarga sendiri, kami komited untuk menjayakan projek sulung ini dalam apa juga cara sekalipun," kata Bakri lagi sambil disokong ole Mashitah.
Pada 16 Mei 2009, satu sejarah manis terpahat apabila majlis penyerahan cek bernilai RM57,426 kepada pihak SCC diadakan. Kutipan itu digunakan sepenuhnya untuk kerja-kerja pembinaan Asrama Donni di SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu, Sabah. Seramai 10 delegasi yang terdiri daripada Raja Ali dan rakan-rakannya datang ke Kiulu bagi menyaksikan majlis pecah tanah pada keesokan harinya.
Turut dijemput hadir ialah seorang guru yang mengajar pada era Killerbatch iaitu Teh Sharifudin Abdullah. "Dahulu mereka terkenal dengan kenakalan yang memeningkan kepala guru. Sekarang, mereka sudah berjaya dalam bidang masing-masing dan saya bangga dengan anak-anak didikan saya yang menyahut konsep 1Malaysia yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Teh menerusi perbualan telefon dengan Kosmo!.
"Killerbatch, rata-ratanya terdiri daripada mereka yang beragama Islam manakala SMK Tun Fuad Stephens mengisi hampir 70 peratus pelajar beragama Kristian. Inilah yang dikatakan keikhlasan yang lahir merentasi agama, bangsa dan sempadan geografi," tambahnya.
Terima kasih kerana menyiarkan semula rencana ini. Untuk makluman, Asrama Donni telah siap dibina dan menerima penghuni-penghuni pertamanya pada sesi persekolahan 2010.
ReplyDelete