
Tentu saja konsert ini mencipta sejarah baru dalam karier seni Search yang dianggotai Suhaimi Abdul Rahman atau Amy, Nasir Daud, Yazid Ahmad, Nordin Taib dan Hillary Ang kerana dianggarkan 25,000 peminat menyaksikan persembahan bertenaga mereka itu.
Keterujaan menyaksikan persembahan kumpulan rock legenda itu dapat dilihat apabila peminat sanggup menempuh kesesakan lalu lintas yang agak teruk dan berasak-asak untuk menyaksikan persembahan hebat Amy dan rakan-rakannya. Konsert yang sepatutnya bermula jam 9 juga terpaksa dianjak sedikit apabila anggota Search turut terperangkap dalam kesesakan itu.
Tirai persembahan dibuka dengan lagu Panggung Khayalan, diikuti dengan Balada Pemuzik Jalanan. Ketika Amy sedang menyanyikan lagu Balada Pemuzik Jalanan, berlaku sedikit kerosakan teknikal mengakibatkan persembahan beliau terhenti lebih kurang 10 minit sebelum beliau meneruskan semula kehangatan konsert setelah kerosakan tersebut dibaiki.
Walaupun Amy, 52, tidak selincah zaman mudanya namun beliau tetap sedaya upaya mempamerkan kekuatan vokalnya yang tersendiri yang nyata tidak dimamah usia di samping kesan khas pancaran bunga api yang menambahkan lagi kehangatan malam itu.
Ditambah pula dengan skill profesional dua gitar hero, Hillary dan Nordin dengan ‘gorengan’ gitar yang mempersonakan, hentakan drum oleh Yazid dan dentuman gitar bass Yazid mengimbau kembali nostalgia ‘rock kapak’ yang begitu kental sehingga mengangkat mereka sebagai kumpulan legenda tanah air.
Setelah mempersembahkan sejumlah 20 buah lagu popular seperti Laila Namamu Teratas, Pelesit Kota, Gothic Malam Edan, Isi Atau Kulit dan banyak lagi termasuk lagu yang pernah mencipta fenomena, Isabella, peminat masih menjerit-jerit mahukan lagi beliau meneruskan persembahan.
Seperkara yang menarik mengenai persembahan Serach kali ini, mereka menampilkan bekas gitaris, Kid yang turut beraksi buat pertama kalinya sepanjang siri konsert jelajah ini diadakan. Penampilan Kid sekali gus mengimbas kembali detik kegemilangannya bersama kumpulan rock tersohor tersebut dan terus mendapat sorakan Search mengakhiri persembahan mereka dengan dua buah lagu yang ber’hantu’, Pawana dan diikuti dengan lagu Fantasia Bulan Madu.
Ketika sidang media yang diadakan sejurus selepas tamat konsert, Amy mengucap ribuan terima kasih kepada Celcom selaku penaja utama konsert siri jelajah Konsert Penghargaan Search di Awan Biru.
“Selepas berakhirnya konsert malam ini, konsert Search akan diteruskan di Sabah dan Sarawah bagi menghargai peminat-peminat Search di sana. Kemudian kami akan mengadakan persembahan di luar negara seperti di Indonesia, Manchester, Ireland dan Dublin sebelum memutuskan apa yang bakal berlaku kepada kumpulan Search pada Februari tahu hadapan,” katanya.
Amy juga melahirkan rasa puasnya dengan sambutan peminat terhadap siri konsert yang diadakan.
Siri konsert tajaan Celcom di Bukit Kiara, ini merupakan yang kelima dijayakan oleh Search selepas di Seberang Jaya, Pulau Pinang; Jengka, Pahang; Johor Bahru, Johor dan Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.
Dua lagi lokasi konsert iaitu di Sabah dan Sarawak akan diumumkan selepas Hari Raya Aidilfitri ini bagi melengkapkan siri Konsert Di Awan Biru itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: