Atilia (kiri) dan Noryn. |
HUJUNG Julai lalu, Cik Normah berkesempatan menonton Malam Nada Biru di Lambang Sari, Istana Budaya. Cik Normah menonton pun sebab anak saudara berminat dan beriya-iya nak menonton persembahan Noryn Aziz dan Atilia. Cik Normah beli tiket sebab nak rasa keseronokan bergelar penonton biasa. Harap tak ada yang perasaan kehadiran Cik Normah di situ.
Secara jujurnya, Cik Normah terhibur dengan persembahan dua penyanyi yang memperjuangkan jalur muzik jazz itu. Ironinya, memang tak dapat dinafikan betapa sukar genre muzik itu untuk bertakhta di hati masyarakat Malaysia. Bukan semua yang layan muzik itu. Malahan, ada yang lebih teruk mengandaikan muzik itu untuk dinikmati golongan tertentu saja, yakni yang kaya raya.
Cik Normah lebih suka bersifat terbuka tanpa ada sebarang rasa prejudis. Ada yang suka kepada kita dan begitulah sebaliknya. Kita tidak boleh paksa orang sukakan apa yang kita buat. Tapi, apa yang Cik Normah boleh simpulkan Malam Nada Biru yang diilhamkan daripada siri persembahan Blue Note Nite di New York itu boleh dikatakan berjaya mencapai misi.
Memilih ruang kecil di premis Istana Budaya itu juga dilihat sebagai langkah permulaan untuk menarik minat orang awam untuk berhibur dan menghargai bakat anak seni tempatan. Tak perlu ruang besar untuk berkarya atau menghiburkan orang kerana soal kebesaran ruang bukan satu isu yang perlu diperbesarkan di sini.
Sebaliknya apa yang Cik Normah puji ialah semangat Noryn dan Atilia untuk terus memperjuangkan muzik mereka. Sekurang-kurangnya, mereka memilih untuk melakukan permulaan kepada siri persembahan yang dijangka akan menjadi kalendar tahunan di Istana Budaya mulai 2010. Tapi semua ini masih dalam peringkat perancangan.
Anak saudara Cik Normah pun senyum sampai ke telinga dapat tengok persembahan mereka cuma dia segan nak bergambar dengan dua penyanyi itu. Dengan keupayaan vokal mereka yang tersendiri, Noryn dan Atilia menjadi bukti kita masih ada bakat yang sewajarnya diberi perhatian. Tak perlu mengagungkan bakat luar kerana Malaysia pun boleh.
| Sazzy mengacara persembahan di IB secara percuma. |
Usaha Noryn dan Atilia perlu dipuji kerana jelas kesungguhan dan keikhlasan mereka untuk terus menghiburkan peminat. Yang cukup membuatkan Cik Normah terharu ialah Malam Nada Biru ini seperti projek kawan-kawan. Ada yang membantu tanpa balasan wang ringgit tapi lebih kepada menghargai nilai persahabatan yang terjalin.
Contoh terdekat ialah Sazzy Falak yang mengacarakan persembahan malam pertama pada 30 Julai secara percuma. Mulia sungguh hati mereka. Daphne Iking pun sudi mengacarakan sidang media Malam Nada Biru beberapa minggu lalu tanpa dibayar biarpun ada komitmen pada hari yang sama. Inilah namanya erti persahabatan yang tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: