| BERDIRI di atas pentas sambil menyanyi dan bermain gitar selama dua jam mungkin memenatkan golongan penyanyi berumur, tetapi bagi artis pop yeh-yeh 60-an, Datuk A Rahman Hassan, 63, ia sebahagian cabaran artis veteran ketika membuat persembahan. |
Malah, Rahman yang juga Presiden Majlis Artis Hiburan Tanahair (Mahkota) begitu bersemangat bercerita mengenai persembahannya di Karnival Rakyat 2009 di Pandamaran, Klang, esok.
Dalam persembahan itu, Rahman mahu membuktikan aksinya bersama kugiran kesayangan, Orkes Nirwana bersama empat artis jemputan masih ceria dan bertenaga.
"Bagi saya, irama pop 60-an sebati dalam diri saya. Sekalipun pada awalnya dipengaruhi gaya muzik pop barat terutamanya The Shadows (Hank Marvin) dan The Beatles, saya akhirnya dapat mencari identiti sendiri.
"Kugiran masih bertahan sejak ditubuhkan pada 25 Mac 1965 hingga sekarang sedangkan kebanyakan angkatan sezaman seperti The Jayhawkers, A Ramlie & Rhythm Boys, Eddie Ahmad & Antartics dan Jefridin & The Siglap Five sudah berpecah atau membawa haluan masing-masing.
"Dua atau tiga jam berdiri di pentas ketika membuat persembahan sudah menjadi perkara biasa.
"Matlamat persembahan Orkes Nirwana tetap sama, menghiburkan penonton atau peminat, sama ada golongan veteran seperti saya atau lima atau 10 tahun lebih muda dari saya atau belia berumur 30 hingga 40 tahun yang membesar ketika kugiran kami mengadakan konsert pop yeh-yeh sekitar tahun 1985.
"Ia tidak berubah, muzik pop yeh-yeh mengekalkan gaya, bunyi tersendiri dari dulu hingga sekarang," katanya.
Rahman berkata, empat penyanyi undangan irama 60-an dijemput menjayakan Karnival itu adalah L Ramlie, A Halim, J Sham dan Roziah Latiff, masing-masing mendendangkan tiga lagu sementara beliau dan isteri, Datin Azizah Mohamad bersama Orkes Nirwana menyampaikan 24 lagu.
Antara lagu bakal dipersembahkan ialah lagu utama yang juga menjadi identiti pop yeh-yeh, Tak Mengapa, Semoga Berjaya, Kerana Fitrah, Perpaduan Hidup dan banyak lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: