| KUNJUNGAN delegasi artis dari semenanjung ke Kota Kinabalu, Sabah sempena Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) disambut meriah. |
Sejak Isnin lalu, artis yang hadir secara berperingkat disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan kalungan manik hiasan berwarna-warni yang diberikan penyambut tetamu yang mengenakan pakaian tradisi etnik Sabah.
Kemeriahan tidak hanya tertumpu pada malam kemuncak anugerah yang akan berlangsung esok di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), tetapi pelbagai aktiviti sampingan lain turut disediakan.
Bertempat di Centre Atrium, 1 Borneo, majlis perasmian FFM22 diadakan kelmarin.
Berbeza dengan penganjuran sebelum ini, acara diadakan secara terbuka dengan pembabitan artis termasuk produser, pengarah dan pelakon.
Turut berkongsi kemeriahan acara ini, memberi peluang kepada orang ramai setempat menyaksikan FFM22 secara langsung.
Sebanyak 10 anugerah disampaikan pada malam pembukaan iaitu Pelakon Harapan Lelaki dan Wanita, Pelakon Kanak-kanak Terbaik, Lagu Tema Asal Terbaik, Poster Terbaik, Filem Box Office, Filem Dokumentari Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Animasi Terbaik dan Filem Digital Terbaik.
Nyata, kemenangan pelakon cilik Muhamad Hadziq Mohd Hazem lebih mencuri tumpuan ramai dengan aksi spontan yang melompat gembira ketika naik pentas.
Hadziq mula dikenali menerusi program Macam-Macam Aznil dan Tom Tom Bak di Astro dan mencipta nama sebagai pelakon menerusi filem Syurga Cinta arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Mungkin ramai yang tidak tahu, Hadziq pernah berseloroh untuk menang anugerah berkenaan ketika membintangi filem itu.
Kata Hadziq, dia sangat gembira dengan kemenangan itu yang dianggap sebagai pendorong semangat untuk terus berlakon.
Hadziq yang juga pelajar darjah tiga Sekolah Kebangsaan Taman Megah, Petaling Jaya menyatakan dia berlakon kerana minat mendalam.
"Sebenarnya sebaik saya tahu nama saya menjadi calon untuk FFM22, saya terlalu gembira hingga tidak selera makan. Bila sudah menang, saya tidur sambil peluk trofi.
"Sejak muncul di TV, saya banyak terima tawaran berlakon, tetapi ia bergantung pada jadual persekolahan saya. "Ketika terbabit dengan Syurga Cinta, saya hanya berlakon selepas waktu sekolah dan perlu pulang ke rumah sebelum jam 10 malam.
"Hingga kini, lakonan tidak menjejaskan tumpuan saya pada pelajaran. Malah, saya juga tidak tertekan apabila berlakon dan menghafal skrip.
"Saya seronok bekerja dengan Ahmad Idham termasuk produser David Teo yang memberi banyak tunjuk ajar pada saya untuk menjadi pelakon berjaya," katanya.
Mengenai perkembangan terbaru, Hadziq berkata dia kini masih terbabit dengan penggambaran drama bersiri, Belalang Epik Anakanda Nujum Diraja.
Bagi Zahiril Adzim yang menang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik, kemenangan yang diraih dianggap sebagai kejutan. Dia yang menerima trofi dan wang tunai RM10,000, berjaya menarik perhatian juri menerusi lakonan filem Kami The Movie.
Zahiril menewaskan empat calon lain, Isma Yusoff menerusi Setem, Nabil Ahmad (Sifu dan Tongga), Mohd Radhi (Antoo Fighter) dan Faizal Ramli (Momok The Movie).
"Saya jangka Isma yang akan menang dan saingan calon lain untuk kategori ini juga sengit.
"Sebelum ini, saya pernah tercalon untuk Anugerah Seni Boh Cameron menerusi kategori Pelakon Harapan Terbaik untuk tahun ini, tetapi tidak menang.
"Kemenangan ini mengubat kekecewaan saya yang lalu. Walaupun saya juga berlakon teater, tetapi saya tidak mahu memberi fokus pada satu bidang lakonan semata-mata. Matlamat saya mahu mengembang lakonan dalam tiga bidang berbeza iaitu drama, teater dan filem," katanya.
Sementara itu, penyanyi Jaclyn Victor atau Jac yang menang Pelakon Harapan Wanita Terbaik tidak kelihatan sebaik namanya diumumkan sebagai pemenang menerusi penampilan pertamanya dalam filem Talentime arahan Yasmin Ahmad.
Jac menewaskan Heliza Helmi (Syurga Cinta), Zalina (Jin Hutan), Yasmin Khaniff (Jalang) dan Yuhana Yahya (Histeria).
Ketika dihubungi, Jac menyatakan dia masih mempunyai jemputan persembahan pentas sebelum berpeluang hadir pada Malam Anugerah FFM22 pada Sabtu ini. Katanya, dia bersyukur dengan anugerah yang diterima sebagai pengiktirafan pada bakat lakonan filem pertamanya.
"Saya tidak tahu sama ada puas hati atau tidak apabila saya menang anugerah ini. Saya sebenarnya tidak terfikir untuk menang apatah selepas kehilangan Yasmin fikiran saya juga terganggu.
"Namun, kejayaan saya ini atas tunjuk ajar Yasmin dan semua pelakon serta kru yang terbabit menjayakan Talentime. Sudah tentu saya mengharapkan yang terbaik untuk setiap pencalonan filem ini pada FFM22 kali ini.
"Kejayaan ini untuk semua dan bukan hanya saya seorang. Jika filem ini tidak menang anugerah lain, ia tetap istimewa pada peminatnya," katanya.
SENARAI PEMENANG
1. Pelakon Harapan Lelaki Terbaik - Zahiril Adzim (Kami The Movie)
2. Pelakon Harapan Wanita Terbaik - Jaclyn Victor (Talentime)
3. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik - Muhammad Hadziq Mohd Hazem (Syurga Cinta)
4. Filem Box Office - Geng: Pengembaraan Bermula
5. Poster Terbaik - Histeria
6. Lagu Tema Asal Terbaik - Jin Hutan (Sayangku Di Sisimu)
7. Filem Dokumentari Terbaik - Gaza (Primeworks Studios)
8. Filem Pendek Terbaik - Permata Bonda (Universiti Sains Islam Malaysia)
9. Filem Animasi Terbaik - My Telatori (The One Academy of Communication Design)
10. Filem Digital Terbaik - Aathma (Demaz Entertainment Sdn Bhd)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: